19 Okt 2011

Himpunan Sejuta Umat: PAS Umum Pendirian: TIDAK TERLIBAT!

Himpun: PAS tidak terlibat

KUALA LUMPUR, 18 Okt: PAS yang mengadakan mesyuarat lajnah politik pada malam ini telah membincangkan isu Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Mempertahankan Aqidah yang dijadualkan pada 22 Oktober 2011 ini.

"PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program," ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu, sebentar tadi.

Berikut kenyataan penuh beliau.

PAS yang mengadakan mesyuarat lajnah politik pada malam ini telah membincangkan isu Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Mempertahankan Aqidah yang dijadualkan pada 22hb Oktober 2011 ini. PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program.

PAS memperingatkan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan ini agar bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang negara, dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama. Sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. PAS memandang berat sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya.

Agenda menyelamatkan aqidah merupakan agenda murni tetapi ianya mesti diurus dengan cara berhemah. PAS menyokong segala usaha memantapkan aqidah oleh badan-badan NGO dan pelbagai pihak bagi memperkasakan aqidah umat Islam.

PAS mengambil pendirian bahawa pengukuhan aqidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai sebagaimana Islam telah diterima oleh masyarakat rantau ini secara damai.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS


Himpunan Sejuta: Pemuda PAS perlu patuh keputusan parti, kata SU Agung

KUALA LUMPUR, 18 Okt — Pemuda PAS perlu mematuhi keputusan diambil kepimpinan parti berhubung Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang akan diadakan di Shah Alam Sabtu ini, kata Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali.

Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat hari ini memutuskan bahawa biro politik PAS, yang akan bertemu malam ini, akan mengambil pendirian sama ada Himpun merupakan strategi Umno untuk menggunakan isu etnik menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Mereka berada di bawah kami. Apa sahaja kami putuskan, mereka mesti patuh,” kata Mustafa kepada The Malaysian Insider selepas sidang media Pakatan Rakyat hari ini.

PAS pusat akan membuat pendirian sama ada akan menyertai kempen Himpun ataupun sebaliknya malam ini.

Dalam satu kenyataan awal pagi tadi, Pemuda PAS berkata pihaknya menyokong perhimpunan tersebut yang bermatlamat mahu menegaskan pendirian mempertahankan akidah Islam dengan memfokus isu murtad.

Ketuanya Nasrudin Hassan berkata, pihaknya akan memberi sokongan sebagaimana diperlihatkan ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman berkata, kepimpinan pusat akan mengadakan mesyuarat khas malam ini dan keputusan itu akan menentukan sama ada mereka akan menyertai Himpunan yang akan diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor Sabtu ini.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia mengambil pendekatan serupa sewaktu menyokong gabungan lebih 60 buah NGO Bersih 2.0 yang berjuang menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihan raya negara kita. Pemuda PAS bersama dengan himpunan dan denyut nadi puluhan ribu rakyat pada 9 Julai yang lalu.

“Insya-Allah, saya dan rakan-rakan Dewan Pemuda PAS mengambil sikap yang sama terhadap Himpunan Sejuta Umat pada 22 Oktober kelak,” kata Nasrudin.

Dr Rani yang juga Adun Meru berkata, PAS berharap penganjuran himpunan itu tidak dijadikan agenda politik yang bertujuan menyerang kerajaan Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu sidang media bahawa biro politik akan melihat sama ada terdapat agenda politik di sebalik penganjuran Himpun.

“Ya, anda mesti mempertahankan akidah anda tetapi tidak harus bertindak tidak adil ke atas kepercayaan-kepercayaan lain. Ketegangan kaum tidak harus dicetuskan,” kata beliau.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, PAS akan mengetuai isu itu dan perikatan akan membuat keputusan akhir selepas pertemuan biro politik komponen tersebut malam ini.

“Kami sedang mengumpulkan maklumat sama ada terdapat pembabitan Umno. Adakah mereka benar-benar mempertahankan akidah? kata Ketua Umum PKR ini.

Beberapa jam sebelum sidang media itu, penganjur Himpun menegaskan, gerakan itu tiada kaitan dengan elemen politik ataupun akan digunakan bagi menyerang mana-mana kumpulan termasuk kaum lain.

Pengerusi Bersama Himpun Mohd Azmi Abdul Hamid berkata perhimpunan itu juga tiada kaitan dengan beberapa ahli politik yang kontroversial termasuk Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru Datuk Zulkifli Noordin yang dilaporkan akan berucap pada majlis tersebut.

“Zulkifli Nordin, Senator Ezam Mohd Noor dan (Ahli Parlimen Pasir Mas) Datuk Ibrahim Ali tidak terlibat dalam kepimpinan Himpun. Mereka juga tidak terlibat dengan ucapan tokoh pada hari perhimpunan.

“Jika mereka mengeluar sebarang kenyataan berkait dengan perhimpunan, itu tidak mewakili Himpun,” kata beliau dalam satu kenyataan. -TMI


Ulasan GB

Majoriti ahli-ahli PAS boleh menarik nafas lega dengan penguman Presiden PAS menyentuh hal Himpunan Sejuta Umat yang dijadualkan pada pada 22 Oktober 2011 ini.

Jawapan yang diberikan adalah tepat dan bijak.

PAS tidak terlibat kerana penganjur sendiri menyatakan majlis itu tidak melibatkan parti-parti politik. Justeru tiada sebab untuk PAS sebagai sebuah parti politik perlu melibatkan diri.

Keputusan itu hendaklah dipatuhi oleh semua pihak di dalam parti. Termasuklah Pemuda PAS yang melalui Ketuanya, Nasruddin Hassan Tantawi yang sebelum ini bertegas hendak menyertai Himpunan tersebut.

GB benar sebelum ini dan awal-awal GB sudah menyatakan bahawa tindakan Ketua Pemuda PAS itu bersalahan dengan adab dan akhlas berorganisasi. Komen-komen yang diberikan oleh pembaca blog ini rata-rata menentang sikap Ketua Pemuda PAS tersebut.

Berikut disalinkan kembali apa yang GB nyatakan sebelum ini:

Pendirian Pemuda PAS semakin pelik. Setiap kali sesuatu isu timbul, Pemuda PAS akan terburu-buru membuat pendirian sekalipun PAS Pusat belum pun memberikan lampu hijau atau membuat kata putus mengenainya.

Sikap yang ditunjukkan oleh Ketua Pemuda PAS itu tidak mengikut kaedah 'Amal Jamaiyy' dan bertentangan dengan Fiqh al-Harakah.

Mana mungkin anda boleh mmbuat dan menentukan keputusan sebelum PAS Pusat mengizinkannya? Sekalipun ada kemungkinan PAS Pusat akan membuat keputusan malam ini membenarkan ahli PAS menyertainya, Pemuda PAS tetap bersalah kerana telah melanggar adab dan akhlak tanzim. Kekalahan Perang Uhud tidak dijadikan pelajaran.

Seperkara lagi, Himpunan Sejuta Umat tidak boleh samasekali disamakan dengan Himpunan Bersih 2.0.

Himpunan Sejuta Umat ada motif tersirat disebaliknya. Permit polis begitu mudah diperolehi. Sedangkan permit Bersih dulu tidak diberikan. Mengapa? Tidak mungkin polis boleh memberi permit begitu mudah kepada Himpunan Sejuta Umat jika ia tidak memberikan apa-apa menafaat kepada pihak tertentu. Hanya jauhari mengenal mutu manikam!


Pergilah berarak bersama-sama UMNO, Perkasa, Zul Noordin dan sekalian watak-watak yang menentang PAS selama ini.

Apakah PAS bakal terperangkap lagi dengan kebodohan Pemuda PAS seperti isu kenyataan Hassan Ali menyokong tindakan JAIS dan kes Hantu Bonceng?

GB teringat kata-kata Presiden PAS satu ketika dulu: "Jika mereka mahu kepada Islam merekalah yang perlu masuk ke dalam saf kita, bukan kita berpaling ke arah mereka."



Laporan sebelum ini
Klik untuk baca






17 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Org muda tentu tergesa-gesa sifatnya..
Sbb itu kita perlukan org tua..
Ilmu utk dihadam dlm bentuk tindakan,bukan ikut perasaan,krn itu para Kasyaf memberatkan lisannya..

Tanpa Nama berkata...

Kalau Ketua Pemuda PAS nak pergi juga, kau pergi sorang-sorang, dan pergilah atas kapasiti individu.

ST berkata...

yaa... KP nampaknya teruk laa kena belasah dengan lu orang... rileks beb. KP sorang2 je ke yg buat keputusan? tak de meeting langsong ke? lu orang bantai akhlak KP dlm berjamaah, yg lu org maki KP tu akhlak mulia ke? i'm not saying this to GB, but for those who stupidly charge toward KP. nak tegor KP, tegor, memang wa pun nampak KP terlalu tergesa2. tp pandang laa situasi. pegi tanya dia dulu, kenapa tak tunggu keputusan pusat. nasihatkan dia. kalau lu org jd KP boleh ke urus mcm din tantawi? belum tentu kan? ini bab strategi. mungkin lu terer, KP pulak terlepas pandang. manusia bukan perfect. nasihat laa elok, bukan main maki je mcm beberapa komen yg wa tgk. komen cara GB boleh tahan lah, membina. jgn laa memaki , nnt taraf lu jd mcm papagomo.

mohd shahran berkata...

Sifir yang mudah. . Malang bagi PAS kerana mempunyai seorang Ketua Pemuda yang bebal. . Macamana ahli pemuda boleh memilih si bebal. . Pemilihan akan datang selidik dulu pemimpin yang berwibawa. .

mohd shahran berkata...

Betul kata ST bukan salah KP . . sifirnya mudah salah orang yang memilih KP semasa pemilihan. . Pemuda memang agresif tapi kenalah rujuk dulu bro. Bukan main hentam keromo aje. . Katalah KP dah buat mesyuarat keputusan bersama. . Tapi kena rujuk juga Dewan Harian, Biro Politik, Dewan Ulamak. . Baru lah senada. . Jangan kerana kebodohan dan kesombongan kita di jadikan point untuk musuh. . Lebih baik berhenti. . KP2 sebelum ini bukan orang berjubah n serban tapi kepimpinan terserlah bro. . Belajar ler dari orang lama mereka lebih banyak makan garam., . Kalau takut dilambung ombak jangan bertanding jadi KP

Tanpa Nama berkata...

ada majlis majlis syura..apapun buat ikut keputusan mensyuarat..jgn duk buat keputusan sendiri,,jadi harubiru

Tanpa Nama berkata...

malang bagi PAS hendak menghadap PRU13 tetapi mempunyai barisan Pemuda yang lemah sifir politiknya dan tidak mempunyai akhlak berjemaah.

Itulah masa pemilihan pemuda dahulu, hendak sgt pertahankan jawatannya dengan diaturkn "penipuan" sehingga dia menang tanpa bertanding.

Allah Maha Mengetahui, dan kini datanglah ujian dan basalan daripadaNya.

Tanpa Nama berkata...

Inilah diantara bahana UG. Sampai skrg tak habis lagi "celaka" yang didatangkan kepada parti.

Dan yang seorang itu ... masih bermain dengan kata-kata, menyatakan PAS masih di hatinya sedangkan beliau pengatur bersama Himpunan Sejuta Umat... Hassan Ali namanya.

Ketua pemuda sgt akur dan patuh kepadanya.

Ada masyuk ker? (maaf kerana berprasangka, tetapi semacam "ya")

Tanpa Nama berkata...

Kecewalah musuh dlm selimut PAS berdasarkan keputusan yg dibuat pimpinan PAS ni...

Maned berkata...

Satu lagi modal PRU Umno.. Harap2 pimpinan PAS telah bersedia untuk menangkis serangan Utusan dan Umno lepas ni..
Silapnya KP ialah dia bercakap atas platform pemuda.. Patutnya atas platform NGO forkad, tapi rasanya ketua forkad orang lain..
Ustaz Nas asalnya tak mau kekal KP, dia sedar kemampuan dia.. Tapi ada pimpinan PAS yg tekan dia sampai taknak mengaku anak murid, pimpinan lain macam Suhaizat pulak tak mau kedepan, jadi dia terpaksa.. Jangan terlalu over salahkan dia..

Waris berkata...

Macam mana KP ni tak di tuduh bebal? Setiap idea yang keluar dari kepalanya langsung tak boleh diterima. Idea yang keluar boleh dikatakan kebanyakannya idea bodoh.

Bijaklah sikit. Kadang-kadang kita lihat brahim ali lagi bijak. Letih nak sokong pas dengan idea-idea bodoh tak realistik. Kemudian guna Islam untuk tangkis serangan.

Kalau tak bodoh orang tak serang. Masa mat sabu dan salahuddin ayub pimpin pemuda dulu kurang serangan kerana kurang idea bodoh dari mereka.

Kita tau nobody's perfect. Tapi bila sentiasa tak perfct bermakna something wrong with that guy.

Tanpa Nama berkata...

Salah seorang pengerusi himpunan tu dah buat kenyataan bahawa perhimpunan tu tak ada kaitan dengan politik.Eloklah PAS tak ikut sama sebab PAS sebuah parti politik.Dah pun ada alasan kalau UMNO nak main kotor.Yang tak faham-faham tu siTantawi ni.Otaknya masih berkarat dengan UG dan dia diasak oleh 2 orang wira UG dalam Pemuda PAS - anak TGNA dan anak TGHA.Apa nak jadi Pemuda PAS ni?

hussin berkata...

"dia sedar kemampuan dia.. Tapi ada pimpinan PAS yg tekan dia sampai taknak mengaku anak murid."

lol! macam ni ke parti islam? tok guru paksa anak murid kencing berlari, anak murid akur sebab tok guru kata 'aku kencing berdiri...'

ahmad berkata...

Kenyataan yang ringkas, mudah dan bijak dari Pres PAS bersama Lujnah Politik. Syabas. Bagi Dewan Pemuda PAS Pusat pula ianya lebih berupa kenyataan peribadi ketuanya sahaja. Diharapkan DPPP mengambil inisiatif meneladani Lujnah Politik PAS Pusat.

Tanpa Nama berkata...

Salam
Memang patut pun pihak Pas tidak terlibat secara rasmi sb awal-awal lagi penganjur beritahu tidak terlibat dg mana2 parti politik. Kalau tidak parti politik, Ngo yg mana satu? Perkasa pun bukan. Selama ini Pas yg bertungkus lumus memperjuangkan soal-soal spt ini. Objektifnya utk mendesak kerajaan mengubal Akta Murtad. Kalau memang dpd atau bagi pihak Umno kenapa tidak dibuat sejak dulu atau dibawa usul tergempar bila2 masa? Wakil umat Islam di Parlemen sudah tentu menyokong sebulat suara dpd semua parti jika disignalkan PM. Akta Murtad perlu digubal segera untuk menyelamatkan akidah umat Islam , sebagaimana yg disarankan Pakar undang-undang di UIA. Setelah itu terserahlah samada Majlis Ugama negeri-negeri utk menguatkuasakan nya. Ini termasuk sebahagian dpdnya yg membolehkan Negeri-negeri melaksanakan HUkum Hudud dinegeri Kelantan sebagai percubaan utk melihat keberkesanannya. Dipercayai semua negeri berminat melaksanakannya atas dasar iman.

Albahri berkata...

Yang menganjurkan himpunana itu jugalah yang menolak hukum ALLAH, tolak hukum ALLAH dikira murtad... org tengah sibuk nak berhimpun di Makkatulmukarramah, kat sini buat himpunan yang takde makna, nak selamatkan akidah bukan camtu caranya, nak selamatkan aqidah kena berilmu dan yakin dengan segala perintah ALLAH.

Albahri berkata...

Yang menganjurkan himpunana itu jugalah yang menolak hukum ALLAH, tolak hukum ALLAH dikira murtad... org tengah sibuk nak berhimpun di Makkatulmukarramah, kat sini buat himpunan yang takde makna, nak selamatkan akidah bukan camtu caranya, nak selamatkan aqidah kena berilmu dan yakin dengan segala perintah ALLAH.