19 Okt 2011

Tak Cukup SKMM, Polis Pula Tekan Aziz Bari Di Bawah Akta Hasutan

Profesor Dr Abdul Aziz Bari dipanggil untuk memberi kenyataan kepada polis berkaitan pandangan beliau tentang titah Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama baru-baru ini.

Aziz (gambar) yang dihubungi memberitahu bahawa beliau telah dihubungi polis Shah Alam semalam dan diminta untuk hadir memberi kenyataan berhubung isu tersebut di bawah Akta Hasutan.

“Saya ada dipanggil polis semalam, mereka mahu menyiasat saya di bawah Akta Hasutan . . . saya akan pergi bersama peguam saya hari ini,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa ini kepada The Malaysian Insider.

Kelmarin beliau diambil kenyataan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia berhubung isu yang sama ekoran satu laporan yang telah dibuat Jumaat lalu.

Minggu lalu, beberapa pihak membuat laporan ke atas Aziz.

Antaranya, Senator Ezam Mohd Nor menggesa agar portal berita MalaysiaKini dan Aziz disiasat dibawah Akta Hasutan 1948 atas alasan mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama.

“Aziz Bari telah berlaku biadap dan derhaka kepada Institusi Raja Melayu dengan menghasut orang ramai untuk membenci institusi Raja-raja Melayu.

“Kenyataan Aziz ini dikeluarkan oleh laman portal MalaysiaKini,” kata Ezam selepas membuat laporan polis di Shah Alam.

Katanya, Aziz dan MalaysiaKini menunjukkan sikap biadap, kurang ajar, dan melampaui batas yang dipercayainya perbuatan terancang dan mempunyai agenda jahat disebaliknya.

Aziz dipetik berkata tindakan Sultan Selangor untuk campur tangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja itu bukan sesuatu tindakan yang biasa terjadi.

Menurutnya, sebagai ketua agama Islam di negeri itu, baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ini perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Beberapa Ahli Parlimen juga membidas Aziz kerana kenyataannya ketika menyertai perbahasan di Dewan Rakyat. -TMI

Ulasan GB

Masing-masing nak tunjuk kuasa sekarang nak pulas telinga Aziz Bari.

Tak cukup dengan SKMM, kini polis pula melakukan siasatan ke atasnya di bawah Akta Hasutan.

Entah ayat yang mana dikatakan menghasut di dalam kenyataan Aziz kita pun pelik.

Lebih pelik lagi polis dilihat mengambil sikap berpilih di dalam tindakan mereka.

Berapa banyak laporan polis dari mereka yang tidak berpihak kepada kerajaan dan UMNO BN tetapi tidak pernah disiasat oleh polis?

Kenyataan-kenyataan berbaur perkauman yang lantang disuarakan dan ditulis oleh mereka dari kalangan yang menyokong kerajaan tidak disentuh malah adakalanya diberikan perlindungan. Sampaikan tulisan "parang sudah diasah" pun boleh didiam dan dibiarkan hanya semata-mata kerana ianya dilakukan oleh mereka yang pro-UMNO.

Tidak mengapa. Hukum kebenaran akan mengambil tempat di akhirnya. Tindakan polis yang pilihkasih dan berpihak itu akan dihukum oleh rakyat dengan mengalahkan UMNO BN di dalam pilihanraya akan datang.

Dan pembersihan terhadap agensi/institusi kerajaan terutama polis akan dilakukan sejurus itu supaya mereka bertindak dengan lebih profesyenal, bukan dengan dipengaruhi sentimen sehingga dilihat oleh rakyat, mereka hanya diperkudakan oleh kerajaan yang sedia ada.

Tiada ulasan: