19 Okt 2011

Bekas Juara Formula1, Jody Scheckter Gesa Anaknya Tinggalkan Perlumbaan IndyCar

Las Vegas: Kematian Dan Wheldon (gambar kecil) dalam tragedi perlumbaan Ahad lalu bagaikan tidak boleh dielakkan.

Pemandu dari Britain itu sedang bersaing untuk memenangi perlumbaan yang menawarkan hadiah cepumas sebanyak AS$5 juta dalam perlumbaan Indy 300 Las Vegas apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan nyawa pemandu berusia 33 tahun itu.

Wheldon, yang pernah menjadi juara dua kali Indianapolis 500, gagal menjadi pemandu sepenuh masa pada kempen musim ini.

Barangkali telah menjadi suratan, beliau mengambil bahagian kerana ketua IndyCar, Randy Bernard, menawarkan AS$5 juta untuk pemandu bukan sepenuh masa untuk turut mengambil bahagian.

Ayah dua anak, Wheldon memulakan perlumbaan pada kedudukan ke-34 dan kemudian berada di tempat ke-24 pada pusingan ke-13 apabila sebanyak 15 kereta terlibat dalam nahas yang mengerikan itu.

Kereta yang dipandu oleh Wheldon tercampak tinggi sehingga ke kawasan pagar keselamatan sebelum ia terhempas semula ke litar perlumbaan.

Beberapa jam sebelum insiden itu, Wheldon telah mencapai persetujuan untuk mengambil alih tempat Danica Patrick dalam perlumbaan Andretti Autosport pada musim akan datang.

Beberapa pakar menegaskan bahawa perlumbaan itu tidak seharusnya dianjurkan.

Bekas juara Formula Satu, Jody Scheckter, menyifatkan perlumbaan ini sebagai perlumbaan tidak siuman.

Bahkan, beliau menggesa anaknya, Tomas, meninggalkan perlumbaan IndyCar.

'Ia adalah perlumbaan kereta yang paling berbahaya. Saya harap insiden ini akan memberikan kesedaran kepada anak saya dan ada banyak perkara yang boleh dilakukan daripada perlumbaan ini.'


Tetapi Tomas tetap menegaskan: 'Saya akan meneruskan perlumbaan ini. Tetapi saya akan menggesa para pemandu lain supaya hadir apabila peraturan perlumbaan ini dibuat nanti.

'Kami tahu tentang risiko perlumbaan ini tetapi kami tidak mahu melakukan sesuatu yang bodoh semata-mata untuk hiburan.'

Perlumbaan Formula Satu tidak selaju perlumbaan IndyCar. Bayangkan, Fernando Alonso menjuarai perlumbaan Grand Prix Formula Satu British dengan purata kelajuan 207.6 kilometer satu jam.

Sejauh ini, empat pemandu perlumbaan IndyCar telah terkorban sejak kematian Ayrton Senna di Imola pada 1994.

Bekas pelumba IndyCar, Mark Blundell, berkata: 'Apabila kereta anda terlalu hampir dengan kereta-kereta lain, nahas bagaikan tidak boleh dielakkan jika sesuatu terjadi dalam perlumbaan tersebut.' - Reuters.

[Bergambar & Video] Kecelakaan Babitkan 15 Kereta Lumba IndyCar, Seorang Maut
Sila klik imej bawah

Wheldon


Tiada ulasan: