17 Ogo 2011

Memang SPR Penipulah! Bekas Tentera Mengaku "Tolong Pangkah" Undi

Tiga lagi anggota bekas tentera hari ini mengaku pernah memanipulasi kertas undi pos Pilihan Raya Umum (PRU) atas arahan pegawai atasan semasa tempoh perkhidmatan mereka.

Selain pernah ditawarkan habuan, mereka mengaku telah diarahkan supaya memangkah beratus-ratus kertas undi pos bagi pihak anggota tentera lain yang sedang bertugas termasuk undi isteri.

Dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS hari ini, Mejar (B) Risman Mastor mendedahkan semasa PRU ke 6 tahun 1978, beliau yang ketika itu bertugas di sempadan Malaysia-Thailand telah menerima dua karung guni (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri) yang berisi beratus-ratus undi pos.

Kemudiannya, beliau mendakwa pihak atasan telah mengeluarkan arahan supaya memangkah kertas tersebut kepada calon pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan layanan kerajaan terhadap anggota tentera pada ketika itu.

“Sebelum PRU6 seorang menteri wanita Umno-Barisan Nasional (BN) dalam ucapannya di Parlimen telah menganggap kami anggota tentera tidak berkelulusan tinggi untuk ditawarkan gaji yang sama seperti guru sekolah.

Guru anak emas, tentera anak tiri

“Kami cuba diketepikan sehinggakan wujudnya kain rentang ‘guru dianak emas, tentera dianaktirikan’,” katanya yang mahu membuktikan undi pos merupakan sistem yang amat mudah dimanipulasi oleh parti dan individu namun tidak meberi keuntungan mana-mana pihak sama ada BN mahupun pembangkang.

Sementara itu, Kamarul Zaman Ibrahim, 53, berkata semasa berkhidmat sebagai kerani di Markas Tentera 3 Divisyen Terendak, Melaka, beliau turut melakukan perbuatan sedemikian termasuk menandatangani borang pengesahan undi selama tiga hari iaitu sepanjang tempoh undi pos dijalankan.

“Tiga hari saya berpanas dalam sebuah bilik memangkah dan tandatangan nama anggota tentera yang bertugas daripada seluruh negeri sampai terpaksa sediakan tiga batang pen biru dan hitam dalam poket,” katanya yang mengaku tidak pernah berdaftar sebagai pengundi pos namun namanya wujud dalam sistem apabila disemak.

Namun beliau berkata tindakannya itu hanya sia-sia apabila hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja.

“Tentera berkorban jiwa raga untuk negara tetapi kami hanya diberikan tanah tiga kaki lebar, tujuh kaki panjang dan tujuh kaki dalam sahaja (saiz keluasan kubur),” katanya kesal.

Namun tidak bagi bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mohd Kamil Omar, 49, yang pada mulanya diarahkan memangkah sekotak kertas undi pos semasa PRU tahun 1999 di Kem Butterworth.

Menceritakan pengalamannya, Mohd Kamil atau dikenali Komando Kamil yang keliru dengan arahan tersebut kemudiannya naik berang apabila pihak atasan menjanjikan habuan jika selesai melakukannya dalam tempoh setengah jam.

“Saya tahu itu salah dan tidak mahu bersubahat, ia seperti mengkhianati negara,” katanya.


Sementara itu, bekas anggota tentera yang pernah mengaku memanipulasi kertas undi pos semasa bertugas di Kem Sandakan, Sabah sebelum ini, Mohamed Nasir Ahmad, 50, berkata mereka tidak sedar perbuatan mereka ketika itu mampu membawa kesan serius, dan tidak mampu berbuat apa-apa ketika berkhidmat sebagai kakitangan awam.

“Tentera ibarat ‘Yes Man’. Kalau kami lawan negara akan jadi huru-hara.
“Selepas wujudnya Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) baru tersedar apa yang kami buat itu tak betul,” katanya.

Undi pos mudah dimanipulasi

Sementara itu Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat menegaskan undi pos adalah sistem yang boleh dimanipulasikan oleh sesiapa sahaja termasuk pemantauan yang lemah oleh SPR.

“Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof dengan yakin pernah berkata perkara sedemikian tidak wujud lagi di zaman pentadbirannya.

“Namun bagi saya ia tetap wujud dari dulu sampai sehinggalah sekarang terutamanya ketika Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang 2009,” katanya

Justeru kata beliau pihaknya akan terus mendesak kerajaan dan SPR dengan mendedahkan lagi beberapa penyelewengan dari semasa ke semasa sehinggalah pembaharuan sistem pilihan raya dilaksanakan sebelum PRU13. -FMT


Bekas tentera mengaku "tolong pangkah" undi

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Empat bekas anggota tentera mengakui pilihanraya di negara ini tidak bersih dan tidak adil, sehingga mereka sendiri mengakui pernah memangkah ribuan kertas undi pos anggota-anggota tentera lain dan kertas-kertas undi isteri anggota tentera, atas arahan pegawai atasannya.

Ketika itu, mereka melakukannya tanpa rasa bersalah setelah diarahkan berbuat demikian, tambahan pula mereka sendiri tidak pernah mengambil berat soal pilihanraya, pembuangan undi dan politik tanah air.

Seorang bekas tentera, Mohamed Nasir Ahmad, 50, mengakui pernah memangkah 400 kertas undi pos bagi pihak anggota tentera lain pada pilihanraya umum tahun 1986 lalu ketika bertugas di Sabah.

Menurut beliau, perbuatan itu dilakukan setelah menerima arahan pegawai atasannya dan arahan itu pula dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab sesuai dengan disiplin tentera.

"Saya bertugas di bahagian perkeranian. Saya bertugas di Sabah selama 4 tahun. Sebelum bertugas di Sabah, saya pernah bertugas di Mindef dan kemudian di beberapa tempat lain lagi.

"Walaupun arahan dan pekerjaan itu hanya sekali sahaja saya terima dan saya lakukan sepanjang saya berkhidmat dalam tentera sehingga saya bersara cukup tempoh pada tahun 1998 lalu, tetapi saya tetap rasa bersalah sehingga sekarang," jelasnya pada sidang media di Pejabat Agong PAS, di sini, hari ini.

Seorang lagi bekas anggota tentera, Kamarulzaman Ibrahim, 53, mengakui telah memangkah ribuan kertas undi pos selama 3 hari sehingga lenguh.

Perbuatan tersebut dilakukan setelah menerima arahan dari pegawai atasannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-7 pada tahun 1986 lalu ketika sedang bertugas di Kem Terendak, Melaka.

Beliau yang bertugas sebagai kerani tadbir menjelaskan, selain memangkah kertas-kertas undi pos tentera sebanyak dua karung dengan angka ribuan itu, beliau turut menandatangan setiap borang yang dikepilkan bersama kertas-kertas undi tersebut.

"Ketika memangkah kertas-kertas undi itu, saya terpaksa menggunakan tiga jenis pen berlainan warna bagi mengelak dikesan. Jumlahnya memang banyak, sebanyak 2 karung, tetapi saya tak tahu jumlahnya, yang nyata ribuan, hingga lenguh tangan.

"Pen tiga batang ada dalam kocek saya dan saya isu borang sampai terpaksa tanggal baju kerana panas sebab dulu mana ada kipas. Saya perlu isi banyak nama dan pangkah banyak borang, jadi pen nak kena banyak,” katanya yang bersara pada tahun 1991 lalu.

Beliau yang tinggal di Johor turut mengakui kertas-kertas undi pos yang dipangkahnya itu melibatkan anggota-anggota tentera di seluruh negara dan melibatkan pengundian untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).

"Saya berbuat demikian kerana "sekadar menurut perintah." Kini saya sedar apa yang saya lakukan itu adalah salah. Jadi saya turut tampil membuat pengakuan pada hari ini supaya semua orang tahu mengenai kepincangan pilihanraya di negara kita," katanya.

Sementara itu, Mejar (B) Risman Mastor, 64, pula mengakui turut diarahkan memangkah puluhan kertas undi pos ketika bertugas di Kem Kampung Sawah, Port Dickson, Negeri Sembilan pada PRU tahun 1978 lalu.

"Jika kepada rakan-rakan saya yang lain, mereka diarahkan memangkah BN, kepada saya berbeza pula. Saya diarah oleh pegawai atasan saya supaya memangkah pembangkang sebagai tanda protes kepada kerajaan.

“Puncanya, ketika itu kami marah pasal gaji sebab ketika itu gaji kami sangat rendah jika hendak dibandingkan dengan guru. Kami dianaktirikan, kami berjuang demi negara, kawan-kawan kami ada yang kudung kaki, kami berjuang demi mempertahankan negara, tapi apa yang kami dapat?”

"Disebabkan tidak puas hati dengan perkara itu, pegawai atasan kami telah mengarahkan saya memberikan undi kepada pembangkang, walaupun jumlahnya sekitar 20 hingga 30 kertas undi sahaja," katanya yang bersara pada tahun 1996 lalu.

Manakala seorang lagi bekas tentera, Mohd Kamil Omar, 49, dari unit Komandor TUDM menjelaskan, meskipun tidak pernah menerima arahan memangkah kertas-kertas undi pos, tapi beberapa karung kertas undi pos yang telah dipangkah oleh rakan-rakannya bagi pihak rakan-rakan tenteranya yang lain pernah dilihat dengan jelas di hadapan matanya sendiri.

"Namun ketika itu, kami anggota tentera tidak mempedulikan sangat tentang politik, tentang pilihanraya. Kami tak pernah mengambil tahu sama ada pilihan raya di negeri kita besih atau tidak, adil atau tidak.

"Kini menerusi perjuangan Bersih 2.0, barulah banyak anggota tentera yang sedar mengenai perkara itu. Mujur jugalah adanya perjuangan Bersih 2.0. Kalau tidak banyak anggota tentera akan terus tidak mengetahui perkara itu, malah ada yang langsung tak tahu hak mereka sendiri dalam pilihanraya," ujar beliau.

Kunjungan mereka ke Pejabat Agung PAS ditemani Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi, Dewan Pemuda PAS Malaysia yang juga Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat. -Hd


6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Laporan ini bukan sahaja wajar dikemukakan kepada SPR,yang turut penting dihantar kepada Nazri Aziz.Memang sewaktu bertugas dulu,depa tak berani nak buka mulut,termaklum khuatir terlingkup periok nasi.Sekarang depa dah pun buat pendedahan.Ucapkan taniah dan syabas kepada mereka.

Beruk Ketawa berkata...

Apa yang diceritakan oleh bekas2 Tentera itu cuma 25% sahaja untuk tatapan umum.

Aku boleh cerita lagi 75% pasal undi pos tentera ni.

Bukankah aku ni 'Captain America'...kah kah kah..kah kah

zairil berkata...

Haiihhhh...cukup cukuplah gunakan orang bawahan ni. Janganlah pulak nanti diapa-apakan mereka. Janganlah pulak menteri dahi terang tuduh mereka dapat RM50 sorang untuk buat citer. TAHNIAH atas kejujuran anda semua - Inilah yang dikatakan berjuang demi negara!

Tanpa Nama berkata...

Siapakah agaknya pegawai atasan tentera yang mengarahkan perbuatan ini?, harapkan pagar,pagar makan padi. Hidup pasti tak berkat.

Tanpa Nama berkata...

kalau macam ni, bila nak BERSIH lagi?

Tanpa Nama berkata...

himpun BERSIH 3, memang SPR gila kuasa macam BN juga