10 Jun 2011

Definisi Arak & Bir Kabur Dan Mengelirukan

Definisi arak kabur

KUALA LUMPUR: Penetapan definisi arak di negara ini perlu dibuat selari mengikut hukum syarak supaya tidak mengelirukan umat Islam, kata Timbalan Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin.

Beliau berkata, terdapat perbezaan penetapan peratusan alkohol untuk diklasifikasikan sebagai arak antara agensi penguat kuasa dengan hukum syarak hingga menyukarkan tindakan penguatkuasaan.

Dari segi syariah, ditetapkan minuman melebihi 0.01 peratus kandungan alkohol sebagai arak, sebaliknya di bawah Akta Kastam Diraja Malaysia (KDRM) pula menetapkan minuman itu sebagai arak jika melebihi dua peratus kandungan alkohol.

“Justeru, tindakan penguatkuasaan seperti rampasan tidak boleh dilakukan bagi minuman kurang daripada dua peratus kandungan alkohol di pasaran sedangkan jumlah itu sudah melebihi apa yang ditetapkan dalam syarak dan kita bimbang ia mengelirukan umat Islam,” katanya pada sidang media selepas sesi Persidangan Meja Bulat ‘Arak dan Pencegahannya : Pengalaman Agensi Berkaitan’ di Ikim di sini, semalam.

Baru-baru ini, umat Islam dikejutkan dengan pendedahan Harian Metro mengenai ujian makmal yang dijalankan terhadap minuman yang popular sebagai ‘bir halal’ di kalangan pengguna Islam dikesan mengandungi alkohol pada kadar melebihi jumlah dibenarkan syariat.

Penemuan kandungan alkohol sebanyak 0.5 peratus itu terbongkar selepas pengguna meragui minuman itu membuat aduan kepada Jabatan Agama Johor (JAJ) dengan membawa sendiri ‘bir halal’ untuk dianalisis bagi mendapatkan kepastian.

Malah Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini memutuskan kandungan alkohol dalam makanan serta minuman dibenarkan syariat Islam tidak melebihi 0.01 peratus.

Persidangan itu dihadiri empat panel jemputan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ia bagi mengenal pasti langkah pencegahan yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan agensi berkaitan selain mengenal pasti cadangan berkesan bagi mengemas kini langkah pencegahan sedia ada serta membantu merangka dasar kerajaan berkaitan kesihatan mental dan penyelesaian isu arak.

Hasil perbincangan dan penyelidikan berkaitan isu terbabit akan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk tindakan selanjutnya.

Zaleha berkata, definisi arak di negara ini dilihat masih samar dan perlu dibincangkan lebih terperinci selain mencari jalan penyelesaian segera untuk mengelak umat Islam terjebak dengan pengambilan arak yang semakin berleluasa.

“Selain itu, sudah sampai masanya kerajaan memberikan tumpuan lebih terhadap pencegahan arak kerana ia memberi kesan lebih buruk daripada dadah dan rokok terhadap rakyat negara ini.


“Kita juga akan berbincang Jabatan Peguam Negara mengenai penetapan undang-undang berkaitan arak supaya memenuhi kehendak syariah,” katanya.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Orang Melayu masih menyukai air tapai. Berapa peratus alkohol dalam air tapai ni ek?

Boleh tak sesiapa tolong hantar sample ke JAKIM atau JAIS utk dianalisa kandungan peratus alkohol dalam air tapai?

Azmi Rawang

Tanpa Nama berkata...

mengelirukan....
bir....arak....ape bezanyer????

Tanpa Nama berkata...

arak dengan bier dihukumkan umno/bn sebagai halam.

wan alwan berkata...

macam mana nak ubah akta kastam berkaitan arak supaya kandungan alkohol dibawah 2% dan keatas juga dikategorikan sebagai arak . selari dengan akta berkenaan memp6nyai alkohol 2% keatas iaitu harus mempunyai lesen dan sebagainya.
terima kasih.