23 Mei 2011

Kaki Mangsa Terpaksa Dipotong Di Tempat Kejadian Untuk Selamatkan Nyawanya

Kaki seorang mangsa tragedi tanah runtuh yang tersepit dan tertimbus dari paras pinggang terpaksa dipotong di tempat kejadian bagi menyelamatkan nyawanya yang ketika itu sudah lemah akibat terlalu lama menanggung kesakitan.

Mangsa, Zulkhairi Aminuddin, 13, terpaksa mengharungi keadaan mengerikan itu selepas kaki kirinya didapati hancur dan mula bertukar menjadi kebiruan.

Menurut sumber hospital, pasukan perubatan yang ditugaskan terpaksa membuat keputusan sukar itu bagi menyelamatkan nyawa mangsa yang semakin lemah akibat kehilangan banyak darah.

“Sebaik menemui mangsa di lokasi runtuhan, kami diarah melihat keadaan mangsa terlebih dulu dan mendapati lebih 90 peratus kakinya dalam keadaan parah.

Kami terpaksa memotong kaki mangsa sehingga paras lutut di kawasan kejadian dan memberi rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang (HA) bagi rawatan lanjut,” katanya.

Mangsa kini masih berada dalam keadaan lemah dan masih dirawat di ICU HA.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd Erwan Zakaria, 33, juga kehilangan kaki kanan selepas mengalami kecederaan dan pendarahan dalaman yang dikhuatiri mengancam nyawanya.

Sumber itu berkata, selepas dikeluarkan dari runtuhan tanah, Mohd Erwan dikejarkan ke HA dan menjalani pembedahan selama kira-kira empat jam oleh sekumpulan doktor pakar tulang sebelum ditempatkan di ICU bagi rawatan lanjut.

“Kaki Mohd Erwan tidak hancur tetapi mengalami pendarahan dan kecederaan dalaman yang serius akibat tersepit terlalu lama dan tidak dapat diselamatkan. “Sekiranya kakinya dibiarkan dan hanya diberikan rawatan, kami bimbang ia akan dijangkiti kuman sehingga menjadi busuk seterusnya mengancam nyawa,” katanya.

Katanya, seorang lagi mangsa, Mohd Aizat Khusyairi Abdul Karim, 12, juga dirawat di ICU HA kerana kecederaan di kepala.

Menurutnya, setakat ini, keadaan ketiga-tiga mangsa stabil dan masih dipantau secara berterusan oleh pegawai perubatan dan jururawat.

“Hanya keluarga terdekat dibenarkan melawat mangsa kerana pihak hospital tidak mahu emosi mereka terganggu dan boleh memudaratkan kesihatan kerana mereka masih trauma,” katanya.

Sumber itu berkata, pihak hospital sudah melakukan rawatan terbaik bagi memastikan mangsa yang terselamat mendapat rawatan sempurna dan kembali pulih sama ada fizikal atau mental. -hm

1 ulasan:

muqlis04 berkata...

Allahuakbar....berat cubaan yg terpaksa dilalui oleh adik2 kita ni..