23 Mei 2011

[Video] Jadikan Tragedi Sebagai Iktibar, Pernah Berlaku Runtuhan Kecil

TTanah Runtuh : Ambil Musibah Sebagai Iktibar Untuk Perbaiki Masa Depan

KUALA LUMPUR 22 MEI : Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merakamkan jutaan takziah kepada keluarga, pewaris mangsa dan pihak rumah anak yatim yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini semalam.

Beliau turut menggesa kajian menyeluruh dilakukan ke atas bangunan dan kawasan sekitar insiden kerana bencana melibatkan kehilangan nyawa katanya tidak boleh diambil mudah.

Ia penting kata Azizah bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga yang telah kehilangan nyawa dan semualah yang telah ditimpa malapetaka ini tetapi kita mesti redha.

“(Namun) kita mesti cari penyelesaian kerana kalaulah tragedi ini berulang dan berlaku banyak kali, jadi kita mesti tengok puncanya. Apakah dengan pembangunan bangunan yang tanpa mengira persekitaran?,” katanya kepada TV Selangor selepas melawat mangsa yang terselamat di Hospital Ampang petang tadi.

Beliau turut diiringi isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut, Exco Selangor Rodziah Ismail dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Haniza Talha.

Dalam kejadian tanah runtuh semalam, 16 mangsa maut manakala sembilan lagi mengalami kecederaan dan dilaporkan dalam keadaan stabil kini.

Azizah turut mengingatkan tentang amalan beringat yang bersifat sementara di kalangan masyarakat.

Katanya, semua pihak seharusnya melihat dan belajar terhadap apa yang berlaku serta menjadikanya panduan supaya boleh mengharungi masa depan dengan lebih baik.

Jelasnya, peristiwa malang yang berlaku ini amat menyedihkan kerana ia melibatkan kehilangan nyawa yang besar serta di kalangan mereka yang masih anak-anak.

“Kadang kala kita nampak macam beringat sedikit bila lepas tragedi untuk seketika tetapi kejadian yang sama masih berulang.

“Nyawa (yang diambil seharusnya) menjadi pelajaran tetapi kita tak belajar dari pelajaran ini,” katanya. -tvsnews


Tanah Runtuh: Pernah Berlaku Runtuhan Kecil

KAJANG: Tanah bukit di kawasan belakang Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat, iaitu lokasi kejadian tanah runtuh yang meragut 16 nyawa pernah berlaku pergerakan kecil dan runtuhan pasir.

Bagaimanapun jurucakap rumah anak yatim berkenaan, Roslan Othman, 69, berkata, runtuhan pasir berkenaan dianggap perkara biasa kerana ia berlaku beberapa kali terutama ketika hujan serta dinggap tidak berbahaya.

"Sebelum ini pun memang pernah runtuh, tapi hanya runtuhan pasir halus dan tanah.

"Kami anggap ia perkara biasa, bila jatuh (tanah) kami sapu dan bersihkan. Tidak pernah terfikir perkara begini (runtuhan besar) berlaku," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan orang Islam Dusun Naning di sini, Ahad.

Namun Roslan berkata, tragedi yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang Sabtu yang melibatkan jumlah mangsa keseluruhan yang tertimbus seramai 25 orang adalah teruk dan begitu menyayat hati.

"Ini adalah tragedi yang teruk, saya tak kata ia paling teruk kerana ia pertama kali berlaku...jadi kita tak boleh buat perbandingan," katanya yang sudah berkhidmat sebagai sukarela di rumah anak yatim berkenaan selama lebih 10 tahun.

Dalam pada itu Pengetua Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Idris Musa ketika ditemui enggan mengulas mengenai tragedi berkenaan.

"Saya tidak mahu cakap apa-apa, anak-anak saya baru sahaja pergi (meninggal).


"Tolong bagi saya masa untuk bertenang, harap anda faham," katanya ringkas. -mstar



Tiada ulasan: