11 Apr 2011

Mayat Lelaki Rentung Dalam Kereta

Lelaki mati dibunuh dalam kereta hangus

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai dibunuh ditemui rentung dalam sebuah kereta hangus terbakar di Happy Garden, Bangsar di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, sebelum kejadian empat lelaki menculik mangsa dan bertindak kejam membunuh serta membakar mayat mangsa.

Menurut sumber, mangsa yang dipercayai ahli kumpulan samseng dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya beberapa hari lalu.

“Mangsa dipercayai diculik sekumpulan samseng lain dipercayai tidak berpuas hati dengan mangsa dan bermotif dendam. Bagaimanapun, mayat ditemui itu masih belum dikenal pasti,” katanya.

Sumber berkata, akibat dendam mangsa dibunuh dengan beberapa kesan tikaman sebelum kumpulan itu membawanya ke tempat kejadian dan membakarnya.

“Penjenayah seolah-olah tidak mempunyai belas kasihan apabila mencurahkan petrol ke atas kereta milik mangsa sebelum membakar mayat mangsa bertujuan menghilangkan bukti jenayah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mayat mangsa yang ditemui sudah terbakar 90 peratus.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui dokumen peribadi mangsa.

“Mengikut keterangan saksi, pada mulanya sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih dilihat berhenti berhampiran sebuah kereta jenis Honda Civic di tepi jalan.

“Selepas itu, seorang daripada empat lelaki dalam kereta berkenaan keluar dan menyimbah petrol ke atas kereta Honda Civic itu,” katanya.

Menurutnya, sebaik api mula marak, lelaki terbabit masuk ke dalam kereta Perodua Myvi berkenaan lalu memecut laju bagi mengelakkan perbuatan mereka dilihat orang awam.

Saksi yang terkejut dengan insiden itu bertindak menghubungi polis dan bomba sebelum usaha memadamkan kebakaran berjaya dilakukan.

“Apabila api berjaya dipadamkan polis menemui mayat seorang lelaki yang berusia lingkungan 30-an hampir 90 peratus rentung di dalamnya,” katanya.

Ku berkata identiti mayat mangsa masih belum dikenal pasti dan polis kini giat memburu empat lelaki terbabit. -hm


Mayat lelaki dalam Honda Civic

KUALA LUMPUR – Kelibat empat lelaki yang menyimbah sejenis cecair ke arah sebuah kereta Honda Civic lama di satu tempat letak kenderaan membongkar satu rahsia apabila satu mayat lelaki ditemui rentung di dalam kereta tersebut di Happy Garden, Jalan Klang Lama di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, tindakan empat lelaki itu disedari oleh seorang awam pada pukul 3.30 pagi ketika dia melalui kawasan letak kereta itu.

“Pada mulanya keempat-empat lelaki yang menaiki kereta Perodua Myvi warna putih didakwa mendekati kereta mangsa yang berhenti di kawasan letak kereta tersebut.

“Keempat-empat lelaki itu terus masuk ke dalam kereta Honda Civic itu sebelum mereka keluar dalam keadaan tergopoh-gapah,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.


Tiada ulasan: