11 Apr 2011

Menjelang Muktamar: Angin Perubahan Sedang Bertiup Dalam PAS?

Husam dicalon tanding presiden PAS

Dalam satu keputusan yang mengejutkan, PAS Kawasan Bukit Bintang telah mencalonkan exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa untuk bertanding jawatan presiden PAS dalam muktamar Jun ini.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat agungnya Jumaat lalu bertempat di Markas PAS kawasan Batu.

Mesyuarat itu juga mencalonkan bekas naib presiden, Mohamad Sabu untuk bergandingan dengan Husam bagi jawatan timbalan presiden.

Bagi tiga jawatan naib presiden pula, kawasan tersebut sebulat suara mencalonkan untuk mengekalkan penyandangnya, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Seorang lagi calon naib presiden ialah bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, kata yang dipertua PAS Bukit Bintang, Mohd Radzi Hashim.

Manakala calon bagi jawatankuasa PAS pusat pula, diserahkan untuk diputuskan oleh jawatankuasa kawasan itu.

Pada 2009, PAS Bukit Bintang pernah mencalonkan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk bertanding presiden. Bagaimanapun mursyidul am PAS itu menolak pencalonan tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Radzi berkata pencalonan itu dibuat kerana Bukit Bintang percaya pemimpin berkenaan “boleh memimpin dalam suasana politik sekarang”.

“Akar umbi mahukan pemimpin yang boleh membawa perubahan dengan kehendak semasa tanpa memperlekehkan peranan (presiden sekarang) Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Beliau (boleh) lebih (berperanan dengan) diletakkan di Majlis Syura. (Oleh itu) Majlis Syura dapat diperkasakan dengan mengawasi dan memandu jawatan eksekutif,” katanya.

Menurutnya lagi, jika Abdul Hadi menganggotai Majlis Syura, maka beliau boleh membantu Nik Aziz antaranya menasihati ahli supaya tidak melanggar disiplin parti.

Mohd Radzi berkata, pencalonan bagi kepimpinan baru itu dilihat mampu untuk menarik golongan muda yang mahu perubahan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Gabungan antara ulama dan profesional dapat memperkasakan bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata beliau dan barisan kepimpinan kawasan itu dikekalkan dalam pemilihan kali ini. -mk

Ulasan GB

PAS Kawasan Bukit Bintang telah memulakan satu pencalonan "yang lain daripada yang lain" untuk jawatan Presiden. Ia agak memeranjatkan tetapi tidak menyalahi perlembagaan atau adab jemaah.

Yang pasti, melalui pencalonan yang dikemukakan, Bukit Bintang mahu satu perubahan untuk jemaah. Ia juga gambaran suara hati akar umbi di dalam parti.

GB tidak mahu ulas panjang, kecuali satu, selain Husam yang dicalonkan sebagai Presiden, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin turut dicalonkan sebagai Naib presiden oleh Bukit Bintang. Datuk Seri Nizar memang diperlukan sekarang ini di dalam pimpinan jemaah sekurang-kurangnya di jawatan Naib Presiden. GB berharap Datuk Seri Nizar akan sedia mempertimbangkannya kali kali setelah beliau menolak pada muktamar yang lepas.

PAS perlu menonjolkan pemimpin yang boleh diterima oleh masyarakat Malaysia, kerana kita pada bila-bila akan diserahkan Allah kuasa untuk mentadbir negara, bukan sekadar mentadbir PASTI atau negeri lagi.

Justeru itu persediaan ke arahnya perlu ada dan muktamar kali ini adalah muktamar pemilihan pemimpin yang akan diketengahkan oleh parti untuk ke Putrajaya.

Allah BERHAK untuk memilih sesiapa yang dikehendakinya hatta "yang hitam dari Habsyi" untuk memimpin hizbullah ini.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pada pandangan peribadi saya, langkah yang diambil Bukit Bintang amat tepat sekali bersesuaian dengan matlamat PR dan PAS sebagai mengantikan UMporNo.

Keputusan tersebut juga bersesuaian dengan selera generasi MUDA sebagai pemangkin kebangkitan PAS yang bersemangatkan PAS BARU.

Semoga Allah mencucuri RAHMAT dan KEKUATAN kepada kepimpinan PAS.

SELAMAT BERMUKTAMAR DAN SEMOGA BERJAYA.

abu shahid berkata...

Salam bro GB

Hamba jugak berfikiran macam tuan..

Pas perlu mempersiapkan diri untuk menjadi peneraju politik Malaysia alaf baru.

Bab lain kita wait n see dulu no.

Shannaro berkata...

kalau ada pertandingan, pasti TGHH akan berundur daripada bertanding. TGHH pasti orang yang hebat. Husam? pasti husam dapat baca perkara ini. dia tahu ulamak spt TGHH akan menarik diri dari bertanding spt TG Haron din tarik diri dr bertanding. Husam mmg licik. Dia tahu jika bertanding timbalan, pasti ada pencabar, yg takkan tarik diri. Takut2 nanti ada pula watak pemecah undi seperti dulu, dia akan gagal. nah, sekarang biar dia cabar kerusi presiden. mana ada orang lain berani. Dia takkan dicop melawan TGHH kerana bacaan politiknya, TGHH akan undur dari bertanding. betul atau tidak, tak tau la...

Tanpa Nama berkata...

Ceh...Dapat satu pencalonan dah define suara akar umbi mahu perubahan...habis tu yang kawasan2 lain yang mencalonkan TGHH kekal sebagai presiden tidak pula dicakap sebagai suara akar umbi...