21 Mac 2011

Benjy Dibebaskan

Kuala Lumpur: Ibu pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 33, yang ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak, Muar, Johor sejak 25 Mac tahun lalu bersyukur dengan pembebasan anaknya, Khamis lalu, meskipun diletakkan di bawah Ordinan Pencegahan Jenayah (PCO).

Azean Irdawaty berkata, berkat doa dan permohonan bertulisnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Benjy akhirnya dibebaskan.

Benjy sebelum ini ditahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Peguam Benjy ada hubungi saya sehari sebelum dia dibebaskan, minta saya datang ke mahkamah jam 8.30 pagi keesokan harinya sebab nak terima perintah daripada KDN bagi membawa pulang Benjy. Bila saya dengar perkhabaran gembira itu, saya jadi kelu dan bersyukur sangat.

“Lepas itu, kira-kira jam 11.30 malam, saya dapat panggilan daripada Benjy minta kami sekeluarga menjemputnya kerana dia sudah dibebaskan.

“Kami sekeluarga bertolak ke Muar malam itu juga untuk membawa dia balik,” katanya ketika dihubungi semalam.

Azean berkata, walaupun Benjy dibebaskan dengan pemantauan polis dan dikehendaki berada di Kuantan, Pahang, selama 14 bulan, dia masih boleh bekerja serta bergerak bebas dengan kebenaran.

Katanya, Benjy masih boleh meneruskan kariernya dan bekerja di ibu negara dengan mendapat keizinan daripada polis berikutan anaknya dikenakan perintah sekatan dalam tempoh terbabit.

“Kalau rekod dia baik, tempoh sekatan ke atas dirinya akan dipendekkan, macam tempoh tahanan selama dua tahun di pusat pemulihan yang dikenakan,” katanya.

Benjy ditahan polis pada 12 Mac tahun lalu di sebuah kondominium di Kepong di sini, berkaitan kes dadah.

Dia kemudian ditahan di pusat pemulihan akhlak terbabit selama dua tahun, namun dibebaskan pada 17 Mac lalu.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tempoh buang daerah adalah tempoh untuk menginsafkan diri.