23 Feb 2011

UPM Hilang Akal, Batal Kemenangan Calon Pro Mahasiswa

Kuala Lumpur — Kesemua calon barisan Pro Mahasiswa termasuk 10 daripada mereka yang memenangi pilihan raya kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) kelmarin dibatalkan kemenangan pihaknya atas alasan berkempen secara berkumpulan.

Menurut jurucakap Pro Mahasiswa UPM, Mohd Ramzul Nasri Kamarusaman, keputusan pembatalan kemenangan itu dimaklumkan melalui panggilan telefon dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) malam tadi.

Jelas Mohd Ramzul, kesemua calon Pro Mahasiswa yang bertanding dalam pilihan raya kampus 2010/2011 turut dibatalkan kelayakan bertanding.

Usaha The Malaysian Insider mendapatkan pengesahan pengurusan UPM belum berhasil.

Calon-calon Pro Mahasiswa walaupun gagal menguasai pilihan raya kampus UPM kali ini tetapi memperlihatkan prestasi lebih baik berbanding sesi lalu.

Salah satu syarat dikenakan sistem pilihan raya kampus ialah calon-calon tidak boleh bertanding secara berkumpulan atau berpuak.

Label Pro Aspirasi dan Pro Mahasiswa tidak diiktiraf oleh pengurusan universiti-universiti awam.

Jika langkah itu disahkan bermakna pengurusan UPM mengulangi keputusan yang dibuat ketika pilihan raya kampus sesi lalu apabila tujuh calon Pro Mahasiswa UPM dibatalkan kemenangan mereka, antara lain kerana menggunakan media baru untuk berkempen.

“Kita di UPM calon yang menang seramai 11 orang tapi yang dibatalkan hanya 10 orang kerana seorang calon menang tanpa bertanding.

“Setiap calon dihubungi HEP malam tadi dengan mengatakan kemenangan dibatalkan atas alasan berkempen secara berkumpulan dan kita dikehendaki membayar RM100 jika ingin membuat rayuan,” kata Mohd Ramzul ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini.

Katanya, pihak pengurusan HEP gagal menunjukkan resit pembatalan kepada calon Pro Mahasiswa sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia benar atau tidak.

“Kalau ada pembatalan mesti ada orang yang buat bantahan dan kena bayar RM100, kita minta nak tengok resit tapi pihak HEP tak bagi.

“Kita nak tahu siapa yang batalkan sebab kalau ada 33 calon bertanding bermakna mereka kena bayar RM3,300, tapi HEP tak bagi sebaliknya suruh kita buat rayuan dengan bayar RM100 setiap seorang,” katanya.

Mereka dibenarkan membuat rayuan sebelum 10 pagi ini.

Di UPM kumpulan Pro Aspirasi mempertahankan kemenangan apabila memperoleh kemenangan besar menewaskan Pro Mahasiswa.

Pro Aspirasi menang dengan majoriti besar apabila menguasai 32 kerusi termasuk lima kerusi umum berbanding Pro Mahasiswa yang hanya mendapat 11 kerusi.

Sebanyak 43 kerusi dipertandingkan termasuk sembilan kerusi umum dan barisan Pro Mahasiswa bertanding di 33 kerusi. -TMI

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

macam2 isu dalam pilihanraya mahasiswa.....

benda kecil boleh dibesarkan.. harap2 demokrasi akan dpt ditegakkan.. amiin



Mari tengok contoh manipulasi Media massa Benda baik boleh jadi buruk kalau dimanipulasi oleh madia massa. Jangan biarkan kita dimanipulasi. Mari baca dan tengok gambar di sini