23 Feb 2011

Nahas Langgar Belakang Kereta

Pasir Gudang – Seorang penunggang motosikal masih belum sedarkan diri sehingga jam 5 petang semalam, selepas terlibat dalam kemalangan di kawasan susur masuk lampu isyarat Jalan Rinting Masai kira-kira jam 1.15 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Roslan Zainuddin berkata, hasil siasatan awal polis dipercayai motosikal jenis Honda Wave 125 yang ditunggangi mangsa hilang kawalan.

Menurutnya, mangsa, Mohamad Firdaus Mat Kassim, 20, yang menunggang motosikal seorang diri gagal mengawal motosikalnya sehingga berlaku perlanggaran secara langgar belakang pada bahagian kiri sebuah kereta Myvi berwarna putih.

“Secara tiba-tiba sebuah kereta yang sedang berhenti di kawasan susur masuk ke lampu isyarat dilanggar belakang oleh sebuah motorsikal yang dipercayai hilang kawalan.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri dipercayai mengalami kecederaan dalaman telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) oleh orang awam yang berada di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mohd Roslan berkata, sehingga jam 5 petang semalam, mangsa yang beralamat di Jalan Cenderai 14 Taman Megah Ria masih belum sedarkan diri di HSI.

Menurutnya, kereta yang dipandu seorang lelaki beralamat di Jalan Ketapang, Taman Rinting hanya mengalami kerosakan pada bahagian belakang kereta.

“Kes disiasat di bawah RULE 10 LN 166/59,” katanya.

Tiada ulasan: