23 Feb 2011

Siasatan Teoh: Jawapan Penyiasat Polis Ini Timbulkan Banyak Tandatanya

Siasatan kematian Teoh Beng Hock yang hari ini masuk hari kelapan diperluaskan dengan menyelidik dan memeriksa semula beberapa barang milik setiausaha politik itu.

Suruhanjaya Siasatan juga mengarahkan Pegawai Penyiasat Ahmad Nazri Zainal meneliti dan memeriksa semula beberapa kawasan di tempat kejadian yang tidakdiberi perhatian sepenuhnya dalam inkues lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen, berkata barang milik Teoh seperti kamera video, cakera padat (CD), thumbdrive dan cakera padat digital (DVD) akan diserah kepada penyiasat persendirian bagi mendapatkan maklumat di dalamnya.

Kelima-lima anggota suruhanjaya pada awalnya kelihatan terkejut apabila diberitahu Ahmad Nazri bahawa beliau tidak pernah mengarahkan sebarang siasatan dibuat ke atas barang terbabit kecuali kamera video.

"Saya ada lihat sendiri kamera video itu tetapi ia hanya tunjuk Teoh sedang bekerja," katanya ketika disoal pegawai pengendali Amarjeet Singh pada prosiding
siasatan bagi mengenal pasti punca kematian Teoh.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Mengenai pemeriksaan semula di tempat kejadian, arahan itu dibuat berikutan kegagalan Ahmad Nazri mengesan kepala jam tangan (bahagian permukaan yang menunjukkan jarum dan waktu) milik Teoh di tingkat lima Plaza Masalam.

Ketika itu Ahmad Nazri hanya menjumpai tali jam tangan
.

Fokus utama pencarian baru itu ialah di dalam satu lubang berhampiran mayat Teoh ditemui terbaring kerana Ahmad Nazri pernah mencuba mencari di dalamnya tetapi gagal memasukkan tangan kerana itu lubang terlalu kecil.

Hakim Foong memerintahkan pegawai penyiasat itu pergi ke tempat itu sekali lagi petang ini dan cuba mengoreknya menggunakan peralatan yang sepatutnya dengan dihadiri wakil Majlis Peguam dan SPRM.

Isu pemeriksaan semula itu timbul setelah Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh menyatakan terdapat kemungkinan kepala jam terbabit jatuh ke dalam lubang itu.

Suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka' berhubung kes itu.

Sementara itu, Ahmad Nazri ketika ditanya anggota suruhanjaya kenapa beliau tidak mencatat segala penemuan barang Teoh ketika kali pertama melihatnya, berkata, pada masa itu beliau perlu menumpukan pada mayat mangsa kerana timbul kekecohan berikutan pihak media dan ahli politik yang cuba memasuki tempat kejadian.

Bagaimanapun kenyataan Ahmad Nazri itu dipersoalkan Abdul Kadir yang berpendapat beliau sepatutnya meminta bantuan daripada anggota yang lain bagi menyelesaikan kekecohan itu dan memberi perhatian ke atas beg itu.


Ahmad Nazri kemudiannya berkata, beliau menyelidik beg itu (peringkat awal) hanya untuk mengetahui pemilik dan kehadiran Teoh di tingkat 14 (pejabat SPRM) dan ia dibuat secara kasar sahaja tanpa mencatatnya.

Katanya, beliau memeriksa semula kandungan itu di pejabatnya pada jam 12 malam, 17 Julai 2009 tetapi tidak mencatat kesemua barang yang berada di dalamnya kerana dianggap kecil nilainya.

Beliau membuat pemeriksaan sekali lagi pada 7 Oktober 2009 dan ketika itulah menemui beberapa nota tulisan tangan dalam rumi dan Mandarin.

Pada inkues sebelum ini Ahmad Nazri mendedahkan bahawa ada di antara tulisan tangan itu mengandungi tulisan Teoh yang tercatat 'selamat tinggal'.

Pada awal prosiding, pegawai penyiasat itu memberitahu bahawa kakitangan di pejabat SPRM enggan memberi kerjasama dengan hanya berdiam diri ketika disoal pada hari kejadian (16 Julai 2009) manakala kebanyakan pegawai lelaki diarahkan ke Putrajaya.

"Ada pegawai SPRM tetapi tidak pasti dengan jumlah bilangan dalam pejabat itu. Tiada yang ke tempat itu (di tepi tingkap yang dipercayai digunakan mangsa)."

Dalam prosiding hari ini juga, Hakim Foong memberitahu bahawa suruhanjaya menolak permohonan Majlis Peguam dan SPRM untuk menempatkan dua pakar psikiatri ketika perbicaraan tetapi membenarkan pakar itu menemu bual saksi dalam sesi berasingan dan hasil laporannya diserahkan kepada suruhanjaya.

Suruhanjaya juga memutuskan meneruskan penayangan prosiding secara langsung di luar mahkamah.

Prosiding disambung esok. - BERNAMA

Ulasan GB

Ada dua hal yang menarik perhatian rakyat di dalam prosiding hari ini.

Pertama kelihatan pihak polis yang menyiasat kes Teoh TIDAK melaksanakan kerjanya dengan sbeaik mungkin.

Malah polis berkenaan mengakui TIDAK mencatatkan kandungan barang yang berada di dalam beg Teoh. Ini satu negligence (kecuaian) paling serius.

Kemudian, beliau (Ahmad Nazri) menyatakan pernah mencuba mencari kepala jam di dalam lubang tetapi gagal memasukkan tangan kerana itu lubang terlalu kecil. Jika tangannya terlalu besar, mengapa tidak diusahakan cara lain?

Dan sebelumnya, beliau menyatakan beliau tidak pernah mengarahkan sebarang siasatan dibuat ke atas barang terbabit kecuali kamera video. Mengapa?

Hal yang kedua, pegawai penyiasat itu memberitahu bahawa kakitangan di pejabat SPRM enggan memberi kerjasama dengan hanya berdiam diri ketika disoal pada hari kejadian (16 Julai 2009) manakala kebanyakan pegawai lelaki diarahkan ke Putrajaya.

Siapa yang mengarahkan pegawai-pegawai SPRM ini tutup mulut dan siapa mengarahkan pegawai lelaki pergi ke Putrajaya? Pihak pegawai atasan SPRM? Mengapa mereka berbuat demikian? Untuk menutup satu rahsia besar supaya jangan terbongkar?

3 ulasan:

Putra IJ80 berkata...

Penat membaca,penat memikirkan nya,

Jawapan nya mudah saja.

Orang Kampung pun dah tahu ,apa kesudaahan nya.

Correct!correct!correct!

Putra IJ80 berkata...

Penat membaca,penat memikirkan nya,

Jawapan nya mudah saja.

Orang Kampung pun dah tahu ,apa kesudaahan nya.

Correct!correct!correct!

Tanpa Nama berkata...

dah lama dah tak selesai lagi? agak-agak sampai bila rakyat nak ditipu terus? ni macam kes liwat saifool tu laa.