5 Feb 2011

Masalah Baru Selepas Banjir: Ada Gajah Liar Masuk Kampung

Rompin: Penduduk Kampung Denai dan Kuala Kembar, di sini, yang terputus hubungan selepas jalan utama menghubungkan penempatan itu dengan pusat bandar ditenggelami banjir sejak lima hari lalu kini berdepan masalah baru apabila diancam gajah liar yang menghuni hutan bersebelahan.

Kumpulan kira-kira 20 gajah liar itu dipercayai masuk ke penempatan penduduk untuk mencari makanan terutama pada waktu senja dan malam selepas habitatnya turut dinaiki air.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pianggu, Mohd Azli Abdullah berkata, penduduk menyedari gajah menghampiri kediaman mereka selepas mendengar bunyi tempikan haiwan itu.

“Penduduk bimbang keselamatan mereka terancam dengan kemunculan sekumpulan gajah liar yang berkeliaran di kawasan tidak jauh dari rumah penduduk.

“Pada waktu itu, penduduk tidak berani keluar rumah untuk menghalau gajah terbabit kerana bimbang diserang haiwan berkenaan yang turut memusnahkan tanaman,” katanya.

Katanya, penduduk Kampung Denai yang berjumlah kira-kira 50 keluarga Orang Asli suku kaum Jakun, manakala 10 keluarga warga Kemboja di Kuala Kembar kerap diancam gajah liar berikutan penempatan mereka berhampiran Taman Negara Endau-Rompin.

“Namun, setakat ini belum ada kes penduduk diserang gajah atau haiwan buas lain, sebaliknya hanya merosakkan tanaman seperti sawit, getah dan pokok buah-buahan. Selain gangguan gajah, penduduk turut mengadu diancam babi hutan yang kerap merosakkan tanaman,” katanya.

Penduduk Kampung Denai, Long Abdul Aziz, 41, berkata dia yang menetap di perkampungan itu sejak 1987 memelihara anjing untuk menjaga keselamatan keluarga terutama daripada gangguan haiwan liar.

“Saya membela lima ekor anjing bagi menghalau kehadiran binatang liar seperti babi hutan yang banyak berkeliaran di kawasan rumah. “Pada musim tengkujuh ini, haiwan terbabit kerap datang kerana mahu mencari makanan menyebabkan saya meningkatkan keselamatan, selain membawa isteri dan dua anak berpindah ke pusat penempatan sementara mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Denai,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain berkata, penduduk terbabit diingatkan supaya berwaspada terhadap haiwan liar itu bagi mengelakkan mereka diserang.

“Kejadian haiwan liar mengancam penduduk kerap berlaku di kawasan penempatan berhampiran pinggir hutan dan sungai. Mereka yang terbabit dinasihatkan supaya menghubungi pihak berkuasa jika ancaman semakin buruk,” katanya.

Mengulas keadaan banjir di kawasan berkenaan, Ahmad Johari berkata, penduduk yang menghuni di pusat penempatan sementara berikutan rumah mereka dinaiki air sudah kembali ke kediaman masing-masing selepas banjir surut.

Bagaimanapun, katanya, masih ada penempatan penduduk yang terputus hubungan akibat jalan ditenggelami banjir menyebabkan mereka sukar mendapatkan bekalan makanan dan perubatan.

“Selain Kampung Denai dan Kuala Kembar, kawasan paling teruk terjejas ialah Mentalong membabitkan 57 keluarga apabila bukan saja jalan utamanya ditenggelami air malah jambatan di kampung berkenaan juga runtuh,” katanya.

Tiada ulasan: