4 Mac 2010

Mereka Yang Melompat Adalah Pemimpin Yang Bermasalah (updated)

Timbalan Presiden KEADILAN Dr Syed Husin Ali berkata parti akan tetap kukuh dan mantap walaupun beberapa daripada pemimpinnya bertindak keluar meninggalkan perjuangan.

Malah tindakan mereka dilihat sebagai proses penyucian parti daripada elemen yang boleh merosak masa depan dan melemahkan parti kata beliau.

"Peristiwa beberapa orang Ahli Parliamen melompat keluar dari Parti Keadilan Rakyat merupakan proses penyucian yang dialu-alukan.

"Kami percaya apabila sudah tidak ada daki, kulit menjadi lebih bersih dan badan lebih sihat.

"Sejarah menunjukkan PAS dan DAP mengalami cabaran lebih buruk pada peringkat permulaan mereka. Beberapa pimpinan utama mereka keluar parti. Dari DAP Goh Hock Guan (Setiausaha Agung), Richard Ho (pemimpin kanan), Lee Lam Thye dan lain-lain keluar parti. Ada pihak menganggap DAP akan lingkup. Sebaliknya ia menjadi lebih kuat sehingga kini," jelas beliau yang juga anggota Dewan Negara.

Begitu juga nasib yang pernah menimpa PAS apabila beberapa pemimpin parti itu bertindak keluar namun PAS tetap kekal sebagai sebuah parti yang kuat dan berpengaruh.

"Daripada PAS pula, Asri Muda (Presiden), Osman Abdullah (Setiausaha Agung), Nakhaie Ahmad (Naib Presiden) dan ramai lagi meninggalkan parti. Para pemimpin Umno menyangka dan mengharapkan PAS akan gulung tikar. Tetapi apa berlaku? PAS menjadi lebih teguh seperti yang terbukti sekarang.

"Kita jangan lupa Umno juga melihat ramai pemimpin, termasuk tiga orang Presidennya – Onn Jaafar, Tunku A bdul Rahman dan Hussein Onn - keluar parti dan tidak masuk semula sehingga mati. Tidak seperti Mahathir Mohamad, yang bercerai sekejap dan kemudian rujuk kembali. Berbeza dengan PAS dan DAP, Umno lebih parah keadaannya kini," tegas Dr Syed Husin dalam kenyataan beliau hari ini.

Dr Syed Husin berkata pemimpin yang keluar daripada KEADILAN mempunyai masalah peribadi yang menjejaskan prestasi mereka sebagai wakil rakyat.

"Ahli-ahli Parlimen yang melompat katak dari KEADILAN akhir-akhir ini, seperti Ahli-ahli Dewan Negeri yang berbuat serupa terdahulu darinya, menghadapi masalah pribadi serta kewangan dan ada yang mula disiasat oleh pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah).

"Selain itu mereka tidak menjaga kawasan, tidak pernah menyuarakan rintihan apatah lagi membela hak rakyat. Mereka tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam Parlimen – tidak pernah atau jarang sekali bercakap atau berbahas.

"Pimpinan Umno meraih peluang dari kelemahan mereka. PM Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor menemui hampir semua sebelum mereka keluar – termasuk juga beberapa orang bukan ADUN atau AP yang boleh diperalatkan – dengan menjanjikan berbagai-bagai habuan untuk memikat mereka. Kami mendapat maklumat bahawa berpuluh juta dana disediakan oleh PM serta kroni korporatnya untuk membeli ADUN dan AP, terutama dari KEADILAN.

"Najib dan pemimpin Umno yang lain berikrar konon hendak berusaha menghapuskan korupsi. Sebaliknya mereka sentiasa melakukan korupsi politik dan kewangan besar-besaran. Tindakan korupsi mereka pasti akan menjadikan KEADILAN lebih teguh dan mantap dan disokong rakyat ramai," ujar beliau lagi.



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sepatutnya kita menerima pemikiran mereka. Mereka tidak mahu wala' membabi buta seperti apa yang berlaku dalam PAS sekarang.