4 Mac 2010

Khir Toyo, Mari Protes GST – Dr Hatta

Pakatan Rakyat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan demonstrasi besar-besaran secara aman bagi menentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di perkarangan bangunan Parlimen pada 15 Mac ini.

"Demonstrasi ini akan di adakan sebagai protes terhadap pelaksanaan GST apabila sidang Parlimen bersambung semula di sini nanti," kata Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS di sini semalam.

Dr Hatta yang juga Bendahari PAS dan penyelaras perhimpunan itu berkata, "GST merupakan satu bentuk cukai yang akan membebankan lagi golongan berpendapatan rendah ketika ekonomi negara belum lagi pulih sepenuhnya.

"Demonstrasi aman bertujuan untuk menarik perhatian Yang Di Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang akan tiba di Parlimen pada jam 9.00 pagi pada hari itu," terang beliau.

Beliau menerangkan bahawa GST, yang akan diperkenalkan pada pertengahan 2011 adalah satu bentuk cukai ke atas setiap pengguna apabila membeli barangan dan perkhidmatan.

Kertas mengenai GST mula dibaca di Parlimen pada 16 Disember lalu, bacaan kedua dijangka dalam bulan Mac ini dan akan dilaksanakan 18 bulan kemudian.

Beliau turut mencabar bekas menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo yang didakwa turut menentang pelaksanaan GST ini supaya bersama-sama hadir memprotes di hadapan Seri Paduka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, "matlamat kami ialah untuk memberi mesej kepada Yang Di Pertuan Agong bahawa majoriti rakyat menolak cadangan pelaksanaan GST ini.

"Kami berharap dalam perhimpunan itu nanti, pihak Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Pengeluar-Pengeluar Malaysia (FMM) yang menentang GST turut menyertai kami dalam perhimpunan nanti.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan menolak hujah Timbalan Menteri Kewangan Kedua Datuk Ahmad Husni Hanadzlah bahawa kerajaan dapat mengutip RM1 bilion setahun dari pelaksanaan GST.

Beliau berkata, terdapat banyak kaedah lain untuk menampung hasil negara, bukan melalui GST sahaja. Sebagai contoh, setiap tahun sebanyak 60,000 permit AP (permit untuk mengimport kenderaan) diberi kepada kroni-kroni Barisan Nasional.

"Sekiranya kerajaan mengeluarkan permit AP menerusi tender, kerajaan boleh memungut hasil sebanyak RM2.4 bilion dan jumlah ini melebihi pendapatan melalui GST yang dijangka sebanyak RM1 bilion setahun.

Selain dari MTUC dan FMM, NGO lain yang dijangka akan menyertai protes ini ialah Suaram, JERIT dan GMI. -FMT

1 ulasan:

katak emas berkata...

MINTA AJAK IBRAHIM ALI AL-KATAKI DAN GENG PERKASA (DIBACA PERKOSA) SERTA KRONI-KRONINYA BERSAMA MENENTANG GST YG TERNYATA MEMBEBANKAN RAKYAT 1MALAYSIA SERTA ORG MELAYU KHUSUSNYA. ADA BERANI????