4 Mac 2010

Ong Tiada Pilihan, Pemilihan Semula MCA Perlu Diadakan

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek Khamis meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden MCA dan mahu agar pemilihan baru diadakan dalam tempoh sebulan untuk menyelesaikan krisis parti itu.

Ketika mengumumkan keputusannya itu pada satu sidang akhbar di Wisma MCA di sini Khamis, beliau berkata tujuh lagi anggota jawatankuasa pusat (CC) MCA juga telah meletak jawatan.

Sebelum ini, 13 anggota jawatankuasa itu berbuat demikian. Ini bermakna 21 orang iaitu dua pertiga daripada anggota CC yang dipilih telah meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

Ketika ditanya sama ada beliau telah memberitahu presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat mengenai tindakannya itu, Dr Chua berkata beliau tidak berbuat demikian.

Beliau juga meminta supaya mesyuarat agung tahunan MCA hujung minggu ini ditangguhkan.

"Peletakan jawatan ini adalah untuk memenuhi janji saya pada EGM (mesyuarat agung luar biasa) tahun lepas di mana saya telah mengutarakan pandangan bahawa kita mungkin perlu pemilihan baru agar kemelut parti dapat ditangani.

"Yang penting ialah parti bukannya soal pemimpin atau kepentingan diri melebihi parti," kata beliau.

Chua berkata sejak Januari hingga semalam, beliau telah menerima surat peletakan jawatan daripada tujuh anggota CC yang dipilih.

Mereka ialah naib presiden Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Gan Tian Loo, Dr Por Choo Chor, Datuk Seri Tan Chai Ho, Tee Siew Keong, Datuk Chong Itt Chiew dan Loh Seng Kok.

Dr Chua berkata beliau dan kumpulan yang telah meletak jawatan itu tidak akan menghadiri mesyuarat CC esok atau mesyuarat sayap Pemuda dan Wanita dan juga sambutan ulang tahun parti itu esok.

"Kami tidak akan hadir kerana kami telah meletak jawatan. Saya minta semua ahli CC yang terpilih seharusnya mereka sedar dan insaf tentang tanggungjawab dan hak mereka.

"Saya kata tidak ada satu pemimpin yang lebih penting daripada parti, sebab itu saya tolak tawaran sebagai pengerusi akhbar The Star," katanya.

Ketika ditanya sama beliau akan bertanding semula jawatan timbalan presiden atau jawatan lain pada pemilihan akan datang, Dr Chua berkata beliau akan membuat keputusan selepas parti menetapkan tarikh penamaan calon dan pemilihan parti.

Mengikut Fasal 41 perlembagaan MCA, pemilihan perlu diadakan dalam tempoh sebulan jika 21 anggota CC meletak jawatan.

Antara 13 anggota CC yang meletak jawatan sebelum ini ialah naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Menteri Kesihatan.


Tindakan Dr Chua hari ini adalah satu pergolakan terbaru dalam kemelut kepimpinan yang melanda MCA sejak Ogos tahun lepas apabila beliau dipecat kerana didakwa mencemar nama baik parti ekoran skandal video seks melibatkannya.

Bekas Menteri Kesihatan itu bagaimanapun diterima semula sebagai ahli parti pada satu mesyuarat agung luar biasa yang turut meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Ong sebagai presiden parti.

Pendaftar Pertubuhan kemudiannya mengisytiharkan Dr Chua kembali menjadi timbalan presiden, menyebabkan Liow yang mengisi jawatan itu, mengambil semula tempatnya sebagai naib presiden.

Dr Chua juga telah berbaik-baik semula dengan Ong bagi mewujudkan satu pelan damai parti tetapi terus mendapat tentangan daripada Liow dan penyokong-penyokongnya termasuk Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun, yang masing-masingnya mahu supaya pemilihan baru diadakan.


Ini merupakan kali kedua Dr Chua meletak jawatan daripada parti. Pada 2 Jan 2008, beliau meletak jawatannya ketika itu sebagai naib presiden setelah mengaku bahawa dirinya adalah orang yang dipaparkan dalam satu video seks yang tersebar luas.

Namun, Dr Chua, 62, terbukti masih popular dan menewaskan tiga yang lain bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan yang lepas.

Sementara itu, presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata beliau akan mengumumkan tindakan beliau seterusnya apabila tiba masanya.

"Saya akan bertemu penyokong-penyokong dan pasukan saya tidak lama lagi dan akan mengumumkan keputusan apabila tiba masanya," kata Ong dalam blognya selepas timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, naib presiden Datuk Kong Cho Ha dan enam anggota lagi Jawatankuasa Pusat (CC) MCA yang dipilih mengumumkan keputusan meletak jawatan pada Khamis.

Sebelum ini, 13 yang lain termasuk seorang lagi naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai meletak jawatan bagi mendesak supaya pemilihan baru diadakan bagi menyelesaikan krisis kepimpinan parti itu.

Disebabkan 21 anggota CC iaitu dua pertiga daripada anggota yang dipilih meletak jawatan, perlembagaan parti menetapkan supaya satu pemilihan baru perlu diadakan dalam tempoh sebulan.

Dalam blognya itu, Ong tidak menyentuh mengenai tindakan Dr Chua atau Liow itu kecuali mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong dan mereka yang bersimpati dengan beliau kerana menelefon atau menghantar SMS dan e-mel bagi memberi kata-kata semangat.

"Saya diberitahu 21 anggota CC dipilih meletak jawatan untuk membolehkan pemilihan baru diadakan dalam tempoh 30 hari seperti yang dikehendaki oleh perlembagaan parti," katanya.

Beliau berkata pemilihan baru merupakan satu daripada penyelesaian secara demokratik kepada krisis MCA dan berharap ianya dijalankan dengan adil dan teratur.

Ong, yang memimpin MCA sejak Oktober 2008, berkata beliaulah yang mula-mula mencadangkan supaya pemilihan baru diadakan tetapi ini dibantah keras oleh pelbagai pihak.

"Pada masa itu, saya berkata bahawa kita perlu mengambil kira tentang waktu yang sesuai bagi pemilihan diadakan dan juga supaya parti meletakkan keutamaannya dengan betul," katanya.


1 ulasan:

Jebon berkata...

Apa-apa pun tahniah diucapkan kepada pemimpin MCA yang gentleman. Tidak WALAK tak tentu pasal pada pemimpin yang BODOH. Buat EGM, baru realistik.