4 Mac 2010

Ramai Sokong Langkah Ahmad Awang Anjur Solat Hajat

Banyak pihak mengalu-alukan langkah Ahli Majlis Syura Ulama PAS Ahmad Awang yang akan menganjurkan solat hajat selama tujuh hari tujuh malam supaya Ahli parlimen Bagan Serai yang melompat parti, Mohsin Fadzli Samsuri diberikan hukuman setimpal kerana mengkhianati perjuangan.

"Pengkhianatan Mohsin tidak dapat dimaafkan. Ini kerana di dalam Al-Quran (Al-Anfal:27) jelas tercatat ayat yang melarang orang-orang yang diberikan amanah mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadanya," tegas seorang pemimpin PAS Kawasan.

Malaysiakini melaporkan Ahli parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri diberi tempoh tujuh hari untuk mengosongkan kerusinya ataupun menghadapi tindakan dikenakan solat hajat supaya dihukum oleh Allah.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS Ahmad Awang berkata pihaknya akan menganjurkan solat hajat selama tujuh hari tujuh malam supaya Mohsin diberikan hukuman setimpal kerana mengkhianati perjuangan.

“Kita beri tempoh tujuh hari supaya beliau letak jawatan. Jika tidak kita akan anjurkan solat hajat tujuh hari tujuh malam supaya Allah menghukumnya kerana khianat pada perjuangan.

“Bentuk hukuman tersebut, biarlah Allah sahaja yang menentukannya,” kata Ahmad yang juga pesuruhjaya PAS negeri Perak pada pilihan raya umum sebelum ini.

Bekas naib presiden PAS itu mengulas tindakan Mohsin yang keluar PKR dan menjadi wakil bebas dengan alasan tidak bersetuju dengan pendirian PKR berhubung isu kalimah Allah.

Pada sidang media bagi mengumumkan perkara itu semalam, Mohsin (kanan) dilaporkan berkata, beliau telah membangkitkan perkara itu melalui saluran dalaman tetapi mendakwa ia tidak dihiraukan.

Ketika menghubungi Malaysiakini semalam, Ahmad berkata, tempoh tujuh hari yang diberikan kepada Mohsin untuk meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat bermula semalam apabila pengumuman itu dibuat.

Ditanya sama ada program berkenaan akan dianjurkan oleh PAS negeri, Ahmad berkata ia anjurannya sendiri yang bertanggungjawab menerima Mohsin sebagai calon kawasan tersebut pada masa itu.

Bagaimanapun, tambah Ahmad, beliau juga mengajak pengundi kawasan itu, penyokong PAS sekitar kawasan parlimen berkenaan dan kira-kira seribu pelajar daripada sebuah pusat pengajian agama yang diasaskannya di Perak bagi menyertai solat tersebut.

Ahmad sebelum itu telah dua kali bertanding pada pilihan raya umum di kawasan parlimen tersebut pada 1999 dan 2004. Bagaimanapun beliau tewas kedua-dua kali di tangan calon BN.

Mengimbau semula detik-detik ketika Mohsin dipilih sebagai calon bagi Pakatan Rakyat, ketika itu Ahmad berkata, bukan sahaja pengundi, tetapi penyokong PAS juga tidak mengenalinya.

“Semua orang tanya siapa beliau,” kata Ahmad yang berkata pihaknya bertungkus lumus berusaha bagi memastikan Mohsin menang.

“Waktu berkempen itu, kita bawa dia, iring ke sana ke mari. Saya (sendiri) cakap pada pengundi-pengundi, kalau tuan-tuan undi Mohsin, samalah macam tuan-tuan undi saya,” katanya.


Ahmad juga dilihat menunjukkan keraguannya terhadap tindakan politik Mohsin tersebut yang menurutnya berlaku secara tiba-tiba.

Katanya, beliau difahamkan, ketika seorang aktivis PAS kawasan tersebut berhubung dengan Mohsin kelmarin, soal peletakan jawatannya tidak timbul langsung.

“Berdasarkan sidang media beliau, daripada cara dia baca kenyataan akhbar, dengan salah sebut beberapa kali, saya rasa itu bukan beliau yang buat,” kata Ahmad.

Sementara itu, kira-kira jam 10 pagi ini, sejumlah 200 orang berhimpun di depan pejabat Mohsin di Bagan Serai bagi mendesak wakil rakyat itu meletakkan jawatan segera.


4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jangan laa terlalu taksub kepada politik...kenapa kalau ada orang dari parti BN masuk PR, takde pun yang kecoh2 dari kalangan PR? ....jangan ada perangai double standard...org melompat ke BN, kita bising...org melompat ke PR, senyummmm meleret....

Martoiriat berkata...

Memang beliau adalah pengkhianat kpd pengundi2nya dan beliau seharusnya meletak jawatan kerana belok kpd perjuangan. Saya sokong 100% solat hajat, biar tuhan yg menentukan segala2nya.

Tanpa Nama berkata...

Saya sokong saranan Ustadz 100% jugak.

Malah saya berharap Ustadz akan turut menganjurkan solat hajat untuk membersihkan parti kita, PAS dari pembelot-pembelot.

Ustadz sendiri yang satu ketika pernah mendedahkan kewujudan kumpulan ini di dalam muktamar yang lalu.

Kita berserah dan berharap hanya kepada Allah untuk menghukum mereka yang telah menyebabkan ahli-ahli PAS berpecah-belah.

Tanpa Nama berkata...

setuju.
setuju juga dgn anon 6.03

parti PAS wajar dibersihkan dari pembelot dan pengkhianat parti.

terutama kepada yang masih bercita-cita nak bersama dgn umno.

kita serahkan kepada Allah untuk memberishkan pas dan menhukum mereka