3 Mac 2010

Pengundi Nibong Tebal Marah, Tertipu Dengan Tee Beng

keputusan Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng yang membuat keputusan keluar daripada Parti KEADILAN Rakyat dan mengumumkan dirinya sebagai Ahli Parlimen bebas disambut dengan kekecewaan dan rasa tertipu oleh penduduk kawasan Nibong Tebal.

Tee Beng yang memenangi pilihan raya umum ke-12 atas tiket KEADILAN berjaya meraih undi sebanyak 20,210 undi mengalahkan Zainal Abidin Osman daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 3,087 undi.

Jelas tindakannya dianggap menipu dan mengecewakan para pengundi Nibong Tebal yang setia menyokongnya.

Suara Keadilan menemu bual para penduduk Nibong Tebal bagi mengetahui sikap dan perasaan mereka terhadap tindakan Tee Beng itu.

Sivakami Arumugam, 25, menyifatkan Tee Beng sebagai penipu besar kerana janji beliau akan tetap bersama KEADILAN.

Namun keputusan Tee Beng, 1 Mac lalu yang memutuskan keluar parti benar-benar mengecewakan para pengundi yang menyokong beliau selama ini.

“Tan Tee Beng juga mempermainkan pengundi-pengundinya yang menyokong beliau semasa pilihan raya. Jika tiada 20,210 pengundi dan penyokong KEADILAN sudah pasti dia tidak akan merasai dan menjadi Ahli Parlimen kawasan ini,” katanya yang ditemui berhampiran pusat khidmat Tee Beng di Taman Cenderawasih, Nibong Tebal.

Bagi Raj Anthony, 54, yang juga pengundi di Parlimen Nibong Tebal berpendapat tindakan Tee Beng keluar dari parti, adalah tindakan yang kurang bijak kerana telah menghilangkan kepercayaan rakyat terhadapnya.

Jelas Raj, tindakan Tee Beng bukan sahaja merugikan penduduk Nibong Tebal malah merugikan dirinya sendiri kerana sudah pasti masyarakat tidak akan mempercayainya selepas ini, ekoran tindakan 'masuk keluar' beliau.

Sementara itu, Sharani Shuib, 45, anak jati di kawasan itu memberitahu keluarnya Tee Beng dari KEADILAN adalah episod ditunggu-tunggu oleh masyarakat disini.

"Beliau bukan sahaja tidak berguna malahan tidak memberi apa-apa kebaikan terhadap pengundinya setelah memenangi pilihan raya umum lalu,

“Semenjak menjadi Ahli Parlimen dia tak buat kerja. Beliau jarang bertemu rakyat dan boleh dikira dengan jari berapa kali dia turun padang berjumpa dengan penduduk dan bertanyakan masalah,” kata Sharani.

“Pusat khidmatpun bukannya selalu buka, kalau buka pun dia tak ada. Kalau dia keluar dari KEADILAN pun kami tak kisah. Lebih baik dia letak jawatan Ahli Parlimen dan kami boleh pilih wakil rakyat yang betul-betul sesuai dan boleh buat kerja,” tambah Sharani lagi.

Disoal sama ada tindakan Tan Tee Beng akan memberi kesan kepada pengundi dan masyarakat di Nibong Tebal, Sharani berpendapat, tindakan itu akan memberi kesan kepada masyarakat, kerana beliau hanya menjadi Ahli Parlimen bebas, pastinya tidak mempunyai dana untuk membantu masalah yang disuarakan oleh rakyat kelak.

Pendapat yang sama juga disuarakan oleh Khaw Kay Wang, 60, yang cukup marah terhadap tindakan Tee Beng keluar dari parti.

Kay Wang menyifatkan tindakan Tee Beng sebagai manusia yang tidak mengenang budi dan harus 'berambus' dari Nibong Tebal.

“Kami tak perlukan orang seperti dia, kami mahukan orang yang benar-benar boleh diharapkan. Jadi dia perlu letak jawatan dan bagi kami pilih semula orang yang betul-betul layak duduk di kerusi Ahli Parlimen,” kata Kay Wang dalam nada marah. -SK/TVS



Tiada ulasan: