3 Mac 2010

Prestasi PAS Merosot Pada PRU13 Kerana Harakahdaily?

Rakyat mungkin tidak asing dengan teori 3M, iaitu Money (wang), Machinery (jentera kerajaan) and Media yang memenangkan Barisan Nasional dalam semua pilihan raya umum (PRU) yang lalu. Bagaimanapun, teori 3M ini hampir gagal, apabila internet menembusi gelanggang media pada PRU ke-12, membawa impak "tsunami" kepada politik tanahair Malaysia.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Ahmad Badawi akhirnya terpaksa mengakur, bahawa media internet merupakan punca kekalahan BN yang dipimpininya dalam PRU ke-12. Jelas, perang siber pada PRU ke-12 memihak kepada PKR, PAS dan DAP yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat. Persoalannya, apakah kecenderungan ini akan berlanjutan sehingga PRU ke-13, menyaksikan kemenangan PR secara besar-besaran; ataupun PR bakal termakan dengan senjata ini?

Zulkifli Sulong, Ketua Pengarang Harakah Daily membuat ramalan bahawa prestasi PR bakal menurun, seandainya PRU ke-13 diadakan pada hari esok, ketika berucap dalam forum berjudul "Media: Kuasa politik baru PRU ke-13", anjuran bersama oleh Gerakan Muslimah Sejagat (GEMS) dan Free Public Forum di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, beberapa hari lepas.

Selain Zulkifli Sulong, ahli panelnya termasuk Abu Hassan Hasbullah, pensyarah kajian media Universiti Malaya dan Fathi Aris Omar, Ketua Pengarang Malaysiakini. Forum ini dipengerusikan oleh Nurul Suhadah, menarik kehadiran kira-kira 50 orang.

Harakah menangkis propaganda "Tengkolok"

Zulkifli Sulong, yang juga bekas Ketua Pengarang Harakah, berkongsi pandangan sejauh manakah kepentingan lidah parti, khususnya terhadap parti pembangkang dalam konteks Malaysia, yang mana media arus perdana dikuasai sepenuhnya oleh parti pemerintah.

Menurut Zulkifli Sulong, Harakah, lidah parti PAS yang mula diterbitkan pada tahun 1987, telah memenangkan PAS di Kelantan, menyapu bersih kerusi yang dipertandingkan di Kelantan bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada PRU tahun 1990.

Ketika itu, UMNO Baru di bawah pimpinan Mahathir Mohamad berada dalam keadaan yang terdesak, sehingga terpaksa memainkan isu "tengkolok Tengku Razaleigh" untuk menumpaskan musuh politik sebelum hari pengundian. Walau bagaimanapun, Zulkifli Sulong mendakwa Kelantan "terselamat" daripada serangan propaganda tersebut, kerana Harakah sempat membalasnya dengan menyiarkan gambar Mahathir yang pernah memakai tengkolok yang sama ketika melawat ke Malaysia Timur.

Dalam PRU ke-10 pula, PAS berjaya menyapu 27 kerusi parlimen, di samping menguasai dua kerajaan negeri, iaitu Kelantan dan Terengganu. Lantaran daripada pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998, yang mencetuskan gelombang "Reformasi", pengedaran Harakah mencecah kemuncaknya, iaitu 380,000 naskah untuk satu keluarannya.

Persempadanan semula kawasan pengundian

Walau bagaimanapun, melihat kepada kecenderungan jatuh-naiknya prestasi PAS, Zulkifli Sulong menjangkakan prestasi parti tersebut akan menurun pada PRU ke-13, seandainya diadakan dalam masa terdekat ini. Malah, beliau mengingatkan bahawa persempadanan semula kawasan pengundian akan dilakukan untuk mengurangkan kerusi PR.

Beliau mengambil contoh PRU tahun 1999, yang menyaksikan sokongan Melayu-Islam kepada Barisan Alternatif. Maka, persempadanan kawasan pengundian dibuat sebelum PRU tahun 2004, untuk memasukkan pengundi bukan Melayu ke dalam kawasan pengundian, sebagai taktik menambah undi kepada BN. Antaranya, dua orang pemimpin PAS, Mohamad Sabu yang bertanding di Kuala Kedah, dan Mahfuz Omar yang bertanding di Pokok Sena telah menjadi mangsa kepada taktik tersebut, dakwa Zulkifli Sulong.

Justeru itu, Zulkifli Sulong mendakwa bahawa UMNO kini cuba mendapatkan kerusi daripada PKR dan PAS, dengan mendendangkan retorik "perpaduan Melayu", agar mereka memperolehi semula majoriti dua pertiga dalam parlimen, lantas memberi laluan kepada persempadanan semula kawasan pengundian. Beliau berharap agar PAS tidak terperangkap oleh UMNO dalam permainan ini.

Superman adalah wartawan

Abu Hassan Hasbullah pula memulakan ucapannya dengan mengimbas sejarah bagaimana kerajaan/regim dalam tamadun manusia dijatuhkan oleh kuasa media, sambil berseloroh bahawa watak hero (wira) yang ditayangkan zaman kini seperti superman dan spiderman, adalah wartawan.

Malah, beliau menyajikan data daripada sekumpulan penyelidik di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menolak andaian bahawa media baru (internet) dilihat sebagai negatif dan media primitif (tradisional, seperti cetakan dan elektronik) lebih dipercayai. Malah, beliau begitu optimis terhadap zaman teknologi maklumat, bahawa media baru bakal bangkit tanpa boleh dihalang oleh sesiapapun.

Abu Hassan Hasbullah juga berkongsi pengamatan dan pengalaman dirinya, dalam proses bagaimana media baru telah membawa perubahan dalam demokrasi. Untuk berdepan dengan media baru, beliau menekankan bahawa arus sedemikian "tidak boleh" dan "jangan (di-)halang". Mereka yang berbeza pendapat bakal bangkit dan menyanggah sesuatu pandangan yang lain.

Beliau juga menceritakan bagaimana media primitif kehilangan kredibilitinya, dengan menunjukkan data bahawa kajian mendapati 73% kanak-kanak yang berusia antara 6 hingga 12 tahun berminat terhadap perbuatan sodomi kerana ingin tahu. Beliau sebagai anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) baru-baru ini "mengamuk", meluahkan ketidakpuasannya kerana mereka terpaksa melanggani Berita Harian atau Utusan Malaysia untuk anak mereka, bagi mendapatkan akhbar Didik yang terselit dalamnya. Dengan kata lain, segala liputan akhbar tersebut untuk isu liwat akan dibaca oleh anak-anak mereka.

Beliau mendakwa bahawa dirinya sedia bangkit untuk menentang keadaan ini, kerana untuk dirinya, demokrasi dan kebebasan bermaksud "participate" (penyertaan).

Keasyikan terhadap Internet

Fathi Aris Omar berkongsi pengamatannya bahawa wujudnya fenomena di mana media kini lebih cenderung untuk memainkan isu politiking, personaliti daripada isu sebenarnya. Beliau mengambil contoh bagaimana berita Zahrain Mohamed Hashim, Tan Tee Beng dan Zulkifli Noordin keluar (atau mungkin keluar) parti dimainkan untuk tiga minggu, sedangkan isu yang memberi impak dalam kehidupan seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diabaikan.

Berbanding dengan Abu Hassan Hasbullah, beliau lebih pesimis terhadap "kebangkitan media baru", kerana meragui kecapaiannya kepada khalayak yang lebih ramai, bahkan sejauh manakah kandungan media tersebut mampu berfungsi untuk "convert" audien lain.

Ketika mengulas fenomena keasyikan kepada internet dan keghairahan untuk blog dan facebook, beliau berkata, "Jangan-jangan perkara itu mengasyikkan dan melekakan pembangkang sehingga pembangkang tak buat kerja, kerana dalam konteks Malaysia, mahu atau tidak, suka atau tidak, pendekatan tradisional untuk mendampingi (approach) pengundi masih penting." -MR

Ulasan GB

GB akan fokuskan ulasan kepada apa yang disampaikan oleh Zulkifli Sulong.
Pertama soal persempadanan semula kawasan pengundian akan dilakukan untuk mengurangkan kerusi PR. Saya petik semula kata-katanya:
UMNO kini cuba mendapatkan kerusi daripada PKR dan PAS, dengan mendendangkan retorik "perpaduan Melayu", agar mereka memperolehi semula majoriti dua pertiga dalam parlimen, lantas memberi laluan kepada persempadanan semula kawasan pengundian. Beliau berharap agar PAS tidak terperangkap oleh UMNO dalam permainan ini
.
Kepada siapa sepatutnya Zulkifli suarakan hal tersebut? Bukankah ianya sepatutnya ditujukan kepada Tuan Presiden PAS sendiri kerana Presiden PAS yang telah membuat gesaan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah kerusi Parlimen di kawasan-kawasan majoriti masyarakat Melayu seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Rujuk SINI.

GB pernah menyatakan di SINI
Penambahan kerusi di kawasan yang "Melayu" melalui SPR adalah satu agenda politik UMNO sekian lama, kini Presiden PAS pula yang memperjuangkannya yang setentunya disukai oleh UMNO.


Tetapi kemudian GB diserang oleh penyokong wala' kepada Presiden menyatakan berbagai-bagai terhadap GB.

Hal kedua yang lebih penting tapi tiada di dalam rencana di atas. iaitu mengenai kemerosotan kualiti harakahdaily yang begitu ketara.

Mengapa harakahdaily menjadi seperti yang ada pada hari ini?

Tidak dikemaskinikan secara sempurna. Bercampur baur artikelnya diantara Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Iklannya berterabur. Tahap penulisan tidak bermutu. Susun-aturnya menelirukan sehingga para pembaca terpaksa menjeling kiri kanan kiri semula atas dan bawah untuk mencari-cari isu semasa dan berita serta artikel terkini.

Adalah amat tidak wajar sebuah badan yang mempunyai pekerja-pekerja bergaji tetap, yang kini dah tak terlibat dengan kerja-kerja IT di dalam membangunkan portal berita itu (kerana Harakahdaily telah menswastakan kerja-kerja I.T. kepada Altfa Solution) tetapi mutu harakahdaily semakin merosot!

Bukankah itu petanda-petanda PAS nak kalah dalam PRU13?

GB berhadap GB tidak akan diserang oleh pengikut wala' Terengganu lagi kerana mengkritik harakahdaily yang diterajui oleh Zulkifli hari ini. Atau kena guna saluran yang betul jugak untuk menegur harakahdaily?


5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ya..ya.. ikut saluran betul.. tak payah kecoh2.. orang terima pendapat kita, kita istigfar. orang tak terima, ucap alhamdulillah. Tak payah nak nak bermiang-miang mengulas secara terbuka. lebih baik diam daripada menulis yang boleh memecahbelah PAS.

wan zia

Tanpa Nama berkata...

kahkahkah

wan zairahsufi di atas sure dari puak taksub UG dari trengganu.

baik hantar puak ni ke dalam hutan dan tubuh pas di situ,,,

zemy berkata...

Pengerusi Harakah ialah Stopa Ali.

Dasar org Trengganu bila dpt kuasa, ia jadi tamak dan salahguna kuasa.

Akhirnya Allah tak berkatkan.

Itulah petunjuk PAS hancur bila puak Trengganu ini berkuasa di dalam parti.

hussin berkata...

pas, selepas pru12, telah dengan ‘sukarela’ memilih untuk memerangkapkan dirinya dalam “perpaduan melayu”. peranan “minyak pelincir” telah berjaya ‘menawan’ hati kepimpinan pas yang berkuasa di jalan raja laut sehingga sanggup menggadai prinsip perjuangan yang diperjuangkan pas sejak 28 tahun yang lalu.

dengan “minyak pelincir” inilah bermula ribut kecelaruan apabila diperkenalkan “kepimpinan ulama tercabar” demi mempertahankan “presiden dan timbalan presiden mestilah ulama” yang tidak pernah didengar sebelum muktamar ke 55 di shah alam. keputusan muktamar “memperkasakan pakatan rakyat” didendangkan bersama dengan lagu “ketuanan islam dan melayu”. menyebabkan pas berdiri dengan sebelah kaki dalam pakatan rakyat dan sebelah kaki lagi dalam umno. persis makhluk yang hidup di dua alam.

maka dalam keadaan inilah pas meletakkan dirinya bagi mendepani rakyat pada pru 13. pas sanggup dan bersedia untuk menerima hukuman dari para pengundi. pas dengan ‘sukarela’ menghampiri umno dengan bantuan oksijen yang diperlukan. pas merasakan bahawa dia mempunyai ‘excess oxygen supply’ selepas kebangkitan rakyat pada pru 12. cerdiknya pas ialah ketidakupayaan untuk menterjemahkan bahawa ‘excess oxygen supply’ itu sebenarnya yang dipindahkan oleh rakyat dari tangki oksijen umno. apabila pas memilih untuk ‘menyumbang’ bantuan oksijen itu kepada umno, maka dengan sendirinya pas “membazirkan” lebihan tersebut. pas dilihat tidak mampu untuk mengoptimumkan lebihan oksijen tersebut ‘to her advantage’. amat naïf! hukuman2 yang dijatuhkan oleh jk disiplin terhadap hassan dan khalid, memaafkan haron din kerana menetang presiden serta meremehkan laporan abdullah karim sebagai tiada merit dengan nada yang bersahaja diiringi ketawa yang dibuat2, mencerminkan ‘penyakit’ yang sedang dialami pas. mengenepikan perlembagaan sudah menjadi rutin oleh ‘pengendali’ di jalan raja laut.

peringatan dari ketiga2 ahli panel tersebut akan hanya tinggal peringatan. namun untuk dihayati dan dijadikan panduan oleh jalan raja laut, jauh sekali. mereka akan memilih untuk bertindak ‘at a slow pace’ demi memastikan lebihan oksijen dapat ‘ditransferkan’ kepada umno.

kata zul - kalian jangan terperangkap dengan "perpaduan melayu" umno.

kata abu hassan - kalian perlu bangkit untuk menentang keadaan ini, kerana demokrasi dan kebebasan bermaksud "participate" (penyertaan).

kata fathi - kalian mahu atau tidak, suka atau tidak, pendekatan tradisional untuk mendampingi (approach) pengundi masih penting.

sekiranya ada sekelumit kesangsian di dalam diri mereka yang bertapak di jalan raja laut walaupun kepada salah satu saranan di atas, percayalah mereka sudah tidak lagi layak untuk mengemudikan pas mendepani pru 13. amat malang bagi pas, sekiranya pru 13 mendahului egm/muktamar ke 57 dan teramatlah malang jika pru 13 mengikuti egm/muktamar 57 selagi perubahan tidak berlaku di jalan raja laut.

wallahu'alam

Tanpa Nama berkata...

geng UG dalam Pas memang tiada semangat, semangat 1 penggal saja, macam terengganu