25 Dis 2010

Lagi Pemimpin UMNO Dibebaskan Dari Tuduhan Rasuah

Bekas ADUN Semenyih, Ahmad Kuris bebas tuduhan rasuah

SHAH ALAM: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Ahamad Kuris Mohd Nor hari ini dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM30,000 dan cuba memperoleh rasuah RM170,000 daripada seorang kontraktor, tiga tahun lalu, tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Sazali Omar membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas bekas ADUN itu, yang kini seorang ahli perniagaan.

Seramai 24 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Ahamad Kuris, 53, didakwa cuba memperoleh suapan sebanyak RM170,000 daripada pemilik syarikat Ufuk Rafa Sdn Bhd, Azlan Ahmad Marshid di pejabat syarikat itu di No: 10B, Tingkat 1, Jalan Mesra Niaga, Batu 13, Jalan Cheras, Kajang dekat sini, kira-kira 11.53 pagi pada 26 Febuari 2007.

Wang itu adalah sebagai dorongan untuk membantu syarikat Ufuk Rafa mendapatkan tender bagi pembinaan jalan keluar-masuk 30 meter di Taman Impian Ehsan, Balakong, Cheras.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Ahamad Kuris yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kajang (semasa kejadian) didakwa menerima rasuah RM20,000 dan RM5,000 daripada Azlan sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama di Pejabat UMNO Bahagian Hulu Langat, Tingkat 2, Bangunan UMNO, Jalan Tuanku Hishamuddin, Kajang, pada 12.30 tengah hari, 11 Mei 2007 dan 17 Ogos 2007.

Bagi tuduhan keempat, Ahamad Kuris didakwa menerima rasuah RM5,000 daripada individu sama dalam membuat bayaran kad kreditnya dengan tujuan sama, di Malayan Banking Berhad, Menara Maybank, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, pada 27 Februari 2007.
Untuk semua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahamad Kuris juga menghadapi tiga pertuduhan alternatif bagi tuduhan kedua, ketiga dan keempat iaitu dengan curang menyalahgunakan wang milik UMNO Bahagian Hulu Langat untuk kegunaan sendiri.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fariza Hamzah hadir bagi pihak pendakwaan sementara Ahamad Kuris diwakili peguam Akbardin Abdul Kadir.

Dalam penghakimannya, Ahmad Sazali berkata isu mengenai wang suapan itu hanya timbul selepas Azlan berjaya memperoleh tender dan perbincangan (mengenai wang) tidak pernah wujud sebelum Azlan memperoleh tender itu.

"Apa yang ada, saksi ke-19 pendakwaan (Azlan) telah maklumkan kepada tertuduh bahawa dia ada masuk tender dan jawapan tertuduh tidak menunjukkan yang ada usaha daripada tertuduh untuk bantu saksi ke-19 pendakwaan dapatkan tender.

"Isu dorongan tidak berjaya dibuktikan dan sebaliknya pihak pendakwaan cakap ia adalah sebagai upah. Saya dapati tidak ada keterangan yang jelas bahawa ia satu upah yang ada kaitan dengan projek jalan itu secara khususnya," katanya.

Mengenai pertuduhan alternatif, Ahmad Sazali berkata tidak ada keterangan yang menunjukkan bahawa Ahamad Kuris telah menggunakan wang milik UMNO Bahagian Hulu Langat untuk kegunaan sendiri dan tiada bukti menunjukkan bahawa wang itu digunakan atau ditukar untuk kegunaan bekas ADUN itu sendiri.

"Sehubungan itu saya mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kesemua pertuduhan dan saya putuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri," katanya.

Sejurus Ahmad Sazali membacakan keputusannya, Ahamad Kuris yang berdiri di kandang tertuduh mengangkat tangan tanda kesyukuran dan isteri serta anak-anaknya yang berada di galeri awam dilihat berpelukan dan menangis kegembiraan.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Ahamad Kuris memanjatkan kesyukuran kerana dibebaskan daripada kesemua pertuduhan itu.

"Alhamdulillah... saya tahu saya tidak bersalah," katanya sambil tersenyum. -
- BERNAMA

Ulasan GB

Seperti ramalan GB sebelum ini:

Dakwa lepas lu dilepaskan jugak.
Alasan penghakiman nanti: tiada kes prima facie, atau pendakwaan tidak mempunyai bukti mencukupi atau macam-macam lagi...

Ia berdasarkan kepada beberapa kes pemimpin UMNO BN yang pernah dibawa ke mahkamah selepas itu dibebaskan, seperti :

Bekas Ketua Pemuda UMNO WP, Datuk Norza Zakaria,
ADUN Lenggeng, Mustafa Salim,
Bekas Setiausaha UMNO Bhgn Wangsa Maju, Ramli Abdul Manan,
ADUN Mesra UMNO, Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi
Bekas ADUN Jelai, Datuk Omar Othman

dan ramai lagi.


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Takutilah penghakiman Allah Taala semasa di PADANG MAHSYAR nanti. Dalam dunia masih ada ruang untuk berhelah. Di sana tiada yang tersembunyi, segalanya akan diperjelas dan menerima balasan setimpal dengan Maha Adilnya Allah Taala itu.

din tok diah berkata...

Tok Akim kata soal wang tidak timbul sebelum tender diperolehi. Jadi kalau selepas dapat tender baru ada urusan wang, itu bukan rasuah la itu namanya sedekah, baguih la tu !

Waris berkata...

Tuan... ada sekor lagi yg bakal dilepaskan iaitu anak TOYOL yg sdg dibicarakan. Tak kiralah menghina mahkamah ke apa ke sebab dah tau jalan ceritanya. Pegi mampos dgn mahkamah kalau hakim mahkamah syariah yg tau agama pun sama rasuah. Itu lebih HINA drp aku yg menghina mahkamah.