4 Okt 2010

Zon Umur Subsidi Perlu Digunakan Sebaik-baiknya

Dr M semakin sembuh

KUALA LUMPUR, 3 Okt — Tun Dr Mahathir Mohamad memberi respons baik terhadap rawatan yang beliau terima di Epworth Hospital Melbourne Australia, setelah dimasukkan ke hospital itu kerana mengadu sakit dada semalam.

“Para doktor gembira dengan perkembangan kesihatan Dr Mahathir dan beliau memberi respons baik kepada rawatan antibiotik serta fisioterapi,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat bekas perdana menteri itu di sini hari ini.

Pagi tadi, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir melawat bapanya di hospital itu dan menikmati sarapan pagi bersama-sama bapa dan ibunya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Kenyataan berkenaan berkata doktor menasihati Dr Mahathir supaya terus berehat dan memaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri itu perlu diletakkan di bawah pengawasan di wad biasa hospital berkenaan selama beberapa hari lagi.

“Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah juga menyampaikan salam dan penghargaan mereka kepada semua yang mengutuskan ucap selamat dan mendoakan agar beliau lekas sembuh,” kata kenyataan itu.

Dr Mahathir, yang ditemani Dr Siti Hasmah, tiba di sini pada Khamis dan dijadualkan berucap pada seminar pembangunan insan anjuran Kelab Umno Australia Melbourne di University of Melbourne semalam.

Dr Mahathir meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang singgah di Melbourne setelah menghadiri Persidangan Forbes Global CEO di Sydney, berucap bagi pihak beliau pada seminar itu. — Bernama

Ulasan GB

Seseorang insan apabila disayangi Allah, Allah akan mengurniakan sedikit masa di zon umur subsidi. Pengalaman ramai yang menghidapi penyakit samada kronik atau pun tidak sehingga sudah terlantar di ICU pun, kemudian tiba-tiba seperti muncul satu keajaiban di dalam hidup, mendapati diri disegarkan semula oleh s.w.t. untuk satu jangkawaktu yang ditentukan olehNya.

Ia adalah satu zon waktu yang amat singkat, pemberian Allah s.w.t. kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan di waktu inilah sepatutnya dipergunakan untuk membersihkan diri serta memuhasabah diri agar kita dapat diterima kembali ke sisiNya.

Seandainya kita lalai untuk melakukan penghisaban diri sendiri sewaktu di zon berkenaan, alangkah ruginya kita, kerana selepas itu, kita kembali ke rahmatNya dan tidak akan datang-datang lagi ke dunia fana ini.

Naluri manusia cenderung ingin hidup selama-lamanya. Al-Quran melukiskan keinginan sekelompok manusia untuk hidup selama mungkin dengan firman Allah yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya kamu akan mendapati mereka seloba-loba manusia kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih loba lagi) daripada orang- orang musyrik. Masing-masing ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada seksa. Dan Allah mengetahui apa yang mereka kerjakan.” (Surah Al Baqarah: Ayat 96).

Maka itu Allah memperingatkan kita dengan pelbagai ujian berupa kekurangan, kesakitan dan sebagainya sebelum kita dibawa pulang selama-lamanya supaya nanti kita dapat melakukan penilaian diri disamping memohon ampun terhadap apa jua kesalahan dan dosa yang pernah dilakukan.

Andainya zon singkat itu diabaikan, tiada lagi peluang selepas itu. FirmanNya:

"Sehingga apabila maut mendatangi seseorang daripada mereka, dia berkata: "Rabbi (wahai Tuhanku), kembalikanlah aku (ke dunia). Agar aku kerjakan amal yang salih, terhadap yang aku tinggalkan dahulu. (Jawapan Tuhan)Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu cuma perkataan yang diucapkannya sahaja. Dan ke belakang (iaitu di hadapan) mereka ada barzakh (sempadan pembatas), sampai hari mereka dibangkitkan." (Al-Mukminun 99-100)


1 ulasan:

Putra IJ80 berkata...

doa ustaz Fadhil Nor di makbulkan Allah s.w.T,smuger dia dapat melihat kehancuran UMNO semasa hayat nya.Amin