Tragedi Kemalangan Di Genting: Pemandu Tiada Lesen, Bas Pula Buruk


Pemandu tiada lesen


KUALA LUMPUR: Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan di Genting Sempah, Kilometer 36, Lebuhraya Karak, semalam, sehingga menyebabkan tujuh kematian daripada 44 mangsa, disahkan tidak memiliki lesen memandu bas.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, pemeriksaan mendapati pemandu bas berkenaan, Muthumani Subramaniam, 40, menipu mengenai dakwaan kononnya lesen memandunya hilang.

“Ketika ditemui di lokasi kejadian, dia (pemandu) mendakwa lesen bas miliknya hilang kerana takut dan cuba menyelamatkan diri selepas terbabit dalam kemalangan itu.

“Polis melakukan semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan akhirnya mendapati pemandu berkenaan tidak memiliki lesen memandu bas.

“Berikutan itu, dia akan direman selama empat hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan,” katanya.

Difahamkan, pemandu yang direman itu patah kaki kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sementara itu, Ketua Polis Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh mengenai insiden berkenaan sebelum membuat kesimpulan mengenai punca sebenar kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya bas terbabit dipandu laju selain mengalami masalah kerosakan brek.

“Ini berdasarkan kerosakan yang berlaku terhadap bas itu selain penemuan minyak di lokasi kejadian, dipercayai daripada sistem brek,” katanya.

Che Husin berkata, pihaknya juga akan meneliti kotak hitam bas itu bagi mengenal pasti kelajuan sebenar bas itu ketika kejadian.

“Malah, kita juga akan merakam percakapan mangsa, termasuk kedua-dua pemandu bas terbabit.

“Orang ramai, terutama media, diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya.

Tinjauan wartawan Metro Ahad di HKL mendapati sembilan mangsa, termasuk kedua-dua pemandu, dikejarkan ke sini selepas terbabit dalam kemalangan.

Difahamkan, tiga mangsa dibenarkan keluar kira-kira jam 4 pagi semalam selepas diberikan rawatan.

Sementara itu, di SUBANG JAYA, siasatan punca nahas bas rombongan penduduk Kampung Baru, Mukim Siong, Baling, yang terbalik berhampiran terowong Genting Sempah, dekat Genting Highlands, kelmarin, akan diketahui dalam tempoh dua minggu.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata, banyak faktor perlu diambil kira seperti pemandu bas, tayar kenderaan, keadaan bas mahupun struktur jalan raya yang boleh menyumbang kepada kejadian berkenaan yang mengorbankan tujuh orang.

“Kemalangan boleh dielak jika mereka mengikut peraturan ditetapkan dan tidak mementingkan diri,” katanya sewaktu menghadiri majlis Pelancaran Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Deepavali di galeri Mufors, di sini, semalam. -hm Grafik: BH


Kemalangan maut di Genting: Bas buruk

BALING - Keluarga tujuh mangsa yang maut dalam kemalangan bas pelancongan di KM38 Genting Sempah dekat Kuala Lumpur malam tadi mendakwa bas yang dinaiki mangsa adalah bas buruk dan bukannya bas yang dijanjikan syarikat terbabit sebelum ini.

Kebanyakan anggota keluarga yang ditemui di Kampung Baru, Mukim Siong di sini reda dengan kejadian itu tetapi kesal kerana pihak syarikat bas berkenaan tidak menunaikan janji seperti yang dibuat.

Mustaffa Ibrahim, 60, berkata, keluarganya menerima kejadian yang menimpa anaknya Mohd Fahmi, 17, itu sebagai takdir tetapi kesal apabila mendapat tahu bas yang sepatutnya membawa rombongan itu digantikan dengan bas buruk.

"Saya reda dengan ketentuan Ilahi, tetapi kesal kerana bas yang mereka naiki untuk rombongan itu bukan bas yang dijanjikan oleh pihak syarikat bas itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Dalam kejadian 7.50 malam tadi, sebuah bas yang membawa 44 anggota Belia 4B dari Kampung Baru Siong terbabit dalam kemalangan ketika menuruni bukit selepas bertolak dari Genting Highlands.

Mereka yang maut adalah ketua rombongan, Mohd. Zaidi Mohd. Sufian, 28, yang merupakan seorang guru agama, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Selayang, Selangor semalam.

Sementara enam lagi terdiri daripada Mohammad Amirul Mohamat Isa, 13, Mohamad Khairy Mohamad Marzali, 14, Mohamad Yussof Akhil, 16, Mohamed Firdaus Rosedi, 16, Mohd Fahmi Mustaffa, 17, dan Mohd Ridzuan Husin, 17, yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Mustaffa berkata, semua mangsa yang maut mempunyai hubungan keluarga antara satu sama lain. - Bernama


6 comments:

View Comments/Post a Comment

6 comments:

Anonymous said...

Apa ajensi-ajensi penguatkuasa kita seperti JPJ dan PDRM buat?Buat sekatan jalanraya diceramah-ceramah parti pembangkang memang hebat.Itu keutamaan,nyawa rakyat dijalanraya tak penting.Biarlah ramai yang terkorban dijalanraya,asalkan UMNO/BN terus berkuasa.

Anonymous said...

Produk BN, produk DEB Malaysia Boleh. Dahlah pakai duit susah payah rakyat, buat pulak projek mengunjung tempat judi. Taukeh judi sponser bilek kot. Tak hairan bala menimpa.

Kalau buat dengan halal, pasti perkara buruk tak berlaku. Tapi pasal mau untung bergandaan, bas buruk disewa. Pasal mau lagi berlebihan untung, tarak lesen pun tak apa.

Kesian budak-budak yang jadi mangsa atas projek cari untung.

Anonymous said...

macam UMNO dan BN juga dah buruk, patut ganti baru dengan Pakatan Rakyat

Anonymous said...

Mengapa tidak disiasat dan dakwa penganjur projek berkenaan..!!??

Takkan sebelum rombongan itu bergerak tiada satupun surat-surat kebenaran dan kelulusan daripada pihak tertentu seperti POLIS dan JPJ.

Jika telah dibuat mengapa masalah BAS BURUK dan PEMANDU TIDAK BERLESEN SAH itu tidak dapat dikesan.

ATAU ada sesuatu yang TERSEMBUNYI.

Pihak belia 4B UBN sila buat penjelasan.

-Lawatan ke Genting itu tujuan ape? Nak melalikan anak-anak muda melayu sahaja. Supaya mereka boleh terus-terusan dilebong..!!??

-Apa tujuan anjur 'baca yasin' keseluruh negara.?? Nak raih simpati orang ramai atau nak sembunyi sesuatu.

Jangan salahkan orang ramai yang mempersoalkan dan mempertanggungjawabkan bencana seperti itu terhadap pihak POLIS, SPRM, SPRM serta berbagai agensi lain yang kononnya mencukupi dengan laporan akhbar pun dah boleh mulakan siasatan...!!??

Ketua silih berganti, namun prestasi tetap sama bahkan lebih meragukan dan mendukacitakan rakyat yang hakikatnya adalah pembiaya akan kewujudan agensi berkenaan.

Atau ia hanya 'Lawak Antarabangsa' agensi kerajaan berkenaan semata-mata...???

Yang pasti saban masa berbuah-buah bas awam tergolek-tergelantang di jalan raya lalu bas dan pemandu yang ditudingkan sebagai pemunca bencana...

Simpati sungguh kepada yang telah terkorban itu. Kehilangan rakyat secara sia-sia.

Selagi UBN masih mentadbir negara ini, kemungkinan 'senario' mati beramai-ramai oleh apa yang dinukilkan dengan frasa 'kesalahan pemandu dan teknikal bas' akan berulang lagi..

Segerakanlah PRU ke-13. Rakyat dah tak sabar menanti 'pengumuman' 'tarikh keramat' itu..

Maaf andai terkasar. Beringat sebelum berkeringat di Akhirat nanti.

kembara putih said...

Selagi Najib dan BN tidak dijatuhkan selagi tu la kes2 macam ni akan berulang. Najib lebih berminat buat bangunann 100 tingkat dari menambahbaik sistem pengangkutan awam.

Anonymous said...

sebelum buat program mesti la kena jalankan persediaan rapi..sebelum melakukan program check semuanya termasuk latar belakang pemandu,kenderaan dan sebagainya..bkn sediakan jadual program yg hendak dilakukan sahaja...takkan la nk tunggu pihak berkuasa tahan tepi jalan baru nk tau bas teruk n pemandu takde lesen??kuikui...

Kembali ke Laman Utama




Tajuk-tajuk Terbaru di Kelab GB: