29 Okt 2010

Gunung Merapi Meletus Kali Kedua Dan Masih Aktif

YOGYAKARTA – Gunung Merapi dekat sini meletus buat kali kedua semalam dalam tempoh tiga hari, dan kali ini menyemburkan awan panas abu volkanik sehingga 3,500 meter ke udara.

Kejadian itu berlaku pada pukul 4.40 petang waktu tempatan.

“Awan panas muncul kembali, setelah pasca letusan pertama yang berlaku pada Selasa lepas,” kata Ketua Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kegunungapian (BPPTK) Yogyakarta, Subandriyo semalam seperti dilaporkan agensi berita Bernama.

Awan panas itu, katanya, masih tergolong sebagai kecil dengan radius luncuran mencapai sekitar 3,500 meter dari puncak Gunung Merapi.

Dalam kejadian letusan sejak petang Selasa lepas, 33 orang telah terbunuh termasuk Jurukunci Gunung Merapi Mbah Maridjan, 83, serta seorang wartawan portal berita Vivanews.

Dalam letusan Selasa itu, Merapi menyembur awan panas abu volkanik sehingga 1,500 meter dan kesan abunya sampai sehingga ke Ciamis, Jawa Tengah, yang terletak 300 kilometer jauhnya.

Ia menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah Celsius di kawasan gunung berapi teraktif di dunia yang berusia 400,000 tahun itu dan memusnahkan beberapa perkampungan di kaki gunung tersebut.

Mangsa-mangsa yang terkorban akibat terkena debu panas dikebumikan secara beramai-ramai di dua tempat berasingan.

Mbah Maridjan dan empat yang lain dikebumikan di Kampung Srunen, Glagahsari, Sleman semalam manakala yang lainnya di Kampung Sidoredjo, Sleman.

Akhbar Kompas.com berkata, keranda kayu yang membawa jenazah Mbah Maridjan dipecahkan oleh penggali kubur sebelum dimasukkan ke dalam liang lahat.

Mbah Maridjan ditemui meninggal dunia dalam keadaan bersujud di rumahnya dekat Gunung Merapi di Kampung Kinahrejo selepas dia enggan berpindah atas alasan menjaga amanah menjaga gunung tersebut selepas dilantik oleh Sultan Jogja.

Sementara itu, angka kematian akibat tsunami di Kepulauan Mentawai di perairan Sumatera meningkat kepada 343 orang selepas lebih banyak mayat ditemui.

Tsunami itu berlaku pada Isnin lalu selepas berlakunya gempa bumi dalam laut sekuat 7.7 pada skala Richter. – Agensi


Umpama padang jarak padang tekukur


KAKI Gunung Merapi, gunung berapi yang memuntahkan asap dan debu sehingga mengorbankan 32 nyawa dan meninggalkan ratusan lain cedera, kini diibaratkan seperti 'padang jarak padang tekukur'.

Pokok layu menyembah bumi, manakala rumah, bangsal, surau dan kenderaan diselubungi debu tebal.

Kesan kemusnahan akibat letusan itu juga kelihatan sehingga lima kilometer dari kaki gunung berkenaan dengan haiwan ternakan seperti angsa dan lembu mati bergelimpangan di bahu jalan.

Malah, tiada seekor pun burung berterbangan di kawasan itu kerana debu gunung berapi itu mengeluarkan bau belerang yang kuat.

Penulis dan jurugambar tiba di rumah jurukunci Merapi, Mbah Maridjan, antara mangsa korban letusan gunung berapi berusia 400,000 tahun itu dengan bantuan penduduk tempatan, Eko, 27; dan Bluri, 26, menggunakan ngojek (motosikal sewa) jam 1 tengah hari semalam.

“Aktiviti di sini lumpuh mas (abang), harus lakukan sesuatu untuk pertahan hidup,” kata Eko sebelum membawa kami ke kaki gunung.

Operasi mencari dan menyelamat mencari dua penduduk tempatan yang dikatakan memotong rumput ketika Gunung Merapi meletus, Selasa lalu dihentikan semalam bagi menghormati upacara pengebumian Maridjan di Desa Srunen, Glasharjo selepas solat Zuhur.

Pengebumiannya dihadiri ribuan penduduk tempatan, selain Ketua Umum Partai Glokar, Aburizal Bakrie.

Pemandu kenderaan pelancong dari Kalasan, Purwanto 40, berkata Madrijan amat disegani penduduk setempat dan luar ekoran ramalan tepatnya pada 2006 yang gunung berapi itu tidak akan meletup walaupun mengeluarkan asap dan debu.

Kira-kira 400,000 penduduk di daerah sekitar Gunung Merapi terutama di Daerah Sleman, Klaten, Magelang dan Boyolali (Jawa Tengah) terjejas akibat bencana alam itu.

Tinjauan mendapati kebanyakan hospital di Yogyakarta termasuk di Hospital Umum Daerah Muntilan sesak berikutan pertambahan mangsa bencana alam itu, kebanyakannya mengadu mengalami masalah pernafasan.

Beberapa pusat pemindahan turut dibuka agensi kerajaan dan badan swasta di daerah terbabit dengan 3,000 mangsa ditempatkan di Lokasi Pemindahan Desa Keporharjo di Cangkringan, kira-kira lapan kilometer dari Gunung Merapi.

Sementara itu, di Yogyakarta, kira-kira 500 pelajar Malaysia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk Gunung Merapi meletus lagi.

Jika berlaku, mereka akan dipindahkan ke Universitas Negeri Surakarta (UNS) di Solo kira-kira 65 kilometer dari Merapi. -BH


Tiada ulasan: