29 Sep 2010

Kes Sosilawati Memang Kes Besar, Bukan Diperbesarkan

Kes Sosilawati: AG bimbang kes diperbesar, laporan polis hujung minggu

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini melahirkan kebimbangan berhubung kemungkinan siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, akan diperbesar-besarkan.

Beliau berkata terdapat banyak kenyataan yang dibuat pelbagai pihak dalam kes itu, dan media sepatutnya melaporkan hanya fakta tanpa sebarang penambahan kerana ia mungkin menjejaskan kes berkenaan.

“Saya fikir ikut sahaja nasihat KPN (Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar). Bertenanglah dan biarkan kami lakukan tugas kami.

“Saya rasa pada masa yang betul dan apabila siasatan telah selesai, mereka akan memberi satu kenyataan yang wajar serta mendedahkan segalanya. Ketika itu, tiada sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Gani (gambar) ditanya sama ada beliau melihat campur tangan pelbagai pihak yang tampil membuat kenyataan berhubung kes itu, termasuk keluarga ahli perniagaan India, akan menjejaskan siasatan kes pembunuhan itu.

Ahad lepas, Ismail mengingatkan media agar tidak menulis cerita berunsur spekulasi berhubung kes itu, sebaliknya menunggu pengesahan daripada polis.

Peringatan itu dibuat berikutan laporan media bahawa dua kubur telah ditemui di ladang tempat Sosilawati dan tiga yang lain didakwa dibunuh.

Sosilawati, 47, pemandu peribadi Kamaruddin Shansudin, 44, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu, selepas mereka ke Banting, Selangor, untuk urusan penjualan tanah.

Pada 13 September lepas polis mengesahkan kesemua mangsa telah dibunuh dan mayat mereka dibakar serta abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting.

Polis menemui tulang serta barangan lain dari sungai berkenaan dan telah menahan lapan suspek, termasuk dua adik beradik peguam, bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan kejam itu.

Ditanya jika Jabatan Peguam Negara boleh meyakinkan orang ramai bahawa akan ada satu keputusan di akhir siasatan kes berkenaan, Abdul Gani berkata: “Setahu saya, dalam semua siasatan, sesuatu akan berlaku iaitu sama ada kami dakwa atau tidak. Itu adalah sesuatu yang pasti,” katanya.

Mengulas mengenai kertas siasatan kes berkenaan yang dikembalikan kepada polis, beliau berkata tidak ada tarikh akhir untuk penghantarannya.

“Saya perlu menunggu mereka menghantarnya (kertas siasatan). Biar mereka siasat kes tersebut secara terperinci kerana ia membabitkan kepentingan awam.

“Terdapat banyak perkara yang perlu disiasat. Saya tidak boleh memberikan tarikh akhir kepada mereka, tetapi saya tahu mereka sedang bertungkus-lumus.

“Dan mereka akan memberikannya kepada saya secepat mungkin. Malah, saya bertemu dengan mereka hampir setiap hari,” katanya.

Mengenai kawasan yang perlu disiasat semula, beliau berkata: “Banyak, tetapi saya tidak boleh memberitahu anda mengenai kelemahannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara mengenai kertas siasatan kes Sosilawati dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Kita mempunyai kertas siasatan yang boleh dianggap sebagai mantap, tetapi terpulang kepada perbincangan kita dengan pihak Jabatan Peguam Negara. Iaitu sama ada mereka memerlukan kami untuk mencari bahan-bahan tertentu lagi dalam siasatan kami terhadap kes ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah terbuka Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya mengenai laporan DNA kes itu, Mohd Bakri berkata polis masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak memberi tekanan kepada Jabatan Kimia berhubung perkara itu kerana mereka memerlukan masa bagi menjalankan tugas yang rumit.

“Kita mesti berikan mereka masa, pakar patologi, Jabatan Kimia, bagi menganalisis tulang yang kita jumpa. Untuk mendapatkan DNA, bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya.

Mohd Bakri juga mengulangi amaran bahawa polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemberita yang salah melaporkan kes Sosilawati.

“Saya mesti memberi amaran kepada anda (pemberita) kerana saya akan mengambil tindakan sewajarnya, kami telah memberikan peluang secukupnya bagi anda mendapatkan maklumat, namun bukan untuk menulis sesuatu yang tidak benar, jika tidak, kami akan mengambil keterangan daripada anda,” katanya.

Sementara itu, Mohd Bakri berkata polis akan melawat beberapa lokasi lagi di sekitar Ladang Gadong, Banting untuk mencari bukti terbaru berhubung kes yang melibatkan suspek kes pembunuhan Sosilawati, berdasarkan beberapa petunjuk baru yang muncul dalam siasatan mereka.

“Anda semua perlu ingat, kita menyiasat dalam dua aspek, satu kes yang kita siasat sekarang iaitu kes (pembunuhan) Sosilawati bersama tiga orang, dan satu lagi ialah berkenaan kehilangan tiga orang, dan satu kes pembunuhan yang berlaku di Banting,” katanya. – Bernama

Ulasan GB

Saya hairan dengan sikap Peguam Negara dan PDRM di dalam hal ini.

Kes pembunuhan Sosilawati adalah satu kes yang besar, bukan sengaja dibesar-besarkan, dan justeru tentulah banyak andaian dan spekulasi timbul di kalangan semua pihak selagi siasatan terhadapnya belum lagi muktamad.

Sepatutnya Peguam Negara dan PDRM berterima kasih di atas perbincangan yang banyak kerana ia mungkin input-input berguna yang boleh membantu siasatan. Tetapi apa yang berlaku ianya tidak dihargai malah cuba disekat di atas alasan "mengganggu siasatan".

Masyarakat begitu prihatin dengan kes ini. Apa tidaknya, seolah-olah baru semalam mangsa hidup kemudian tiba-tiba dibunuh dengan kejam. Kemanusian apakah lagi yang ada pada si pembunuh?

PDRM menjalankan tugasnya, dan rakyat pula tetap akan tertanya-tanya terhadap tragedi itu, lantas pelbagai teori diketengahkan. Ia tidak boleh disekat. Mustahil untuk menyekatnya. Setiap orang melihat dari sudutpandangnya yang berbeza dan justerunya timbul pelbagai cerita

Kerana apa? Untuk mengelakkan tragedi yang serupa tidak berulang lagi ke atas mana-mana anggota masyarakat kita.

Yang nyata, sepertimana diakui oleh Ketua Polis Negara, tragedi itu sebenarnya BOLEH DIELAKKAN jika polis telah bertindak pantas semenjak hari pertama mangsa dilaporkan hilang. Ketika itu polis sudah pun menunjukkan kecekapannya untuk menciumi gerak suspek. Tetapi, polis tidak efektif di dalam strateginya bagi menyelamatkan mangsa.

Bukankah selama ini maklumat dari orangramai itu amat berharga dan amat diperluka di dalam menyelesaikan banyak kes-kes jenayah?

Teruskan kerja. Kami tidak berhasrat lansung untuk menganggu tugas polis. Malah kita mahu semua pihak berkerjasama dengan polis supaya kes ini dapat diselesaikan dengan cepat, tepat dan berkesan.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jenayah kejam meningkat dianggap kecil, sebab yang mati rakyat, bukan pemimpin UMNO

Tanpa Nama berkata...

Jenayah besar apabila melibatkan pemimpin PR... yang kecil diperbesarkan dan yang besar diISAkan..

Tanpa Nama berkata...

Kalau nak tengok pdrm bertindak pantas,cekap dan tangkas senang aje..... tunggu apabila ada kespemimpin2 umno mati samada dibunuh, terbunuh, bunuh diri. Kalau rakyat marhean, ibarat anjing kurap yang mati di tepi jalan. Inilah amalan double-standard yang terlalu pekat oleh pdrm. Apa kurangnya sprm dan yang seamalan dengannya

kembara putih berkata...

Jika bukan Datuk sosilawati yang terlibat, pastilah kes ni kecik jer atau takde kes langsung. kesian beberapa orang yang mati akibat berurusan dengan peguam tu. Akhirnya kes mereka dibuka juga.

Tanpa Nama berkata...

Yang silap rakyat jugak. Bila ada pemimpin umno mati masing2 mula rasa sedih. Mcm2 kata pujian keluar konon2 kehilangan besar pd negara. Heloo rakyat sekalian... kalau dia mati just ucap innalillah je... cukup. Tak payah nak puji2. Masa hidup kau org kutuk. Dah mati nak puji pulak.