29 Sep 2010

Pengurusan FELDA Tidak Perlu Berdalih Lagi

Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini memutuskan peneroka Felda berhak mendapatkan bayaran tanam semula sebanyak RM1,700 seekar dari Felda walaupun mereka tidak menanam semula ladang mereka melalui badan berkanun itu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mariana Yahya ekoran saman yang dikemukakan oleh 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 terhadap Felda kerana enggan membuat bayaran itu kepada mereka.

Namun, Hakim itu memutuskan, bayaran itu hendaklah dibuat oleh Felda dengan syarat peneroka memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Felda.

Hakim menolak hujjah pembelaan Felda yang menyatakan peneroka tidak berhak mendapatkan jumlah itu kerana jumlah caruman mereka tidak sampai.

Namun, hakim memutuskan Felda perlu membayar jumlah itu kerana ia telah ditetapkan oleh Felda sendiri.

Sepuluh peneroka Felda itu diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin manakala Felda diwakili oleh Tetuan Abdullah Zainudian yang diwakili oleh Puan Doshi. - Harakahdaily


Ada Pihak Didakwa Hasut Peneroka Ambil Tindakan Mahkamah Kepada Felda

ALOR GAJAH, 27 Sept (Bernama) -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mendakwa ada pihak yang kini menghasut peneroka Felda supaya mengambil tindakan saman ke mahkamah berhubung isu manipulasi perahan buah kelapa sawit.

Beliau mendakwa isu peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan yang memenangi kes terhadap Felda baru-baru ini telah dijadikan kes rujukan oleh pihak tertentu untuk menghasut peneroka-peneroka Felda lain untuk mengambil tindakan yang sama.

"Saya nak maklumkan berhubung kes saman (peneroka ) Felda Kemahang 3 itu bukan satu kes rujukan kerana kali ini Felda akan lebih bersedia dalam menghadapi kes-kes saman ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malam Himpunan Budi sempena Ulang Tahun ke-50 Felda Tun Ghafar Machap di Bukit Bulat, di sini malam tadi.

Dalam kes itu, 354 peneroka Felda Kemahang menerima RM11 juta daripada Felda kerana manipulasi gred buah kelapa sawit berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 26 Ogos lepas yang menolak permohonan Felda yang dibuat oleh panel lain pada 19 Jan lepas, yang menafikan kebenaran rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Baharu.

Pada 13 Jan 2008, Mahkamah Tinggi itu telah memerintahkan supaya Felda membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka itu apabila peguam agensi tersebut gagal hadir di mahkamah semasa saman berkenaan didengar dan mahkamah membuat keputusan memihak kepada peneroka selepas menerima keterangan tiga saksi.

Ahmad berkata agensi itu memikul amanah besar untuk membina dan membantu para peneroka.

"Kita mempunyai pakar daripada jawatankuasa teknikal kemajuan rancangan sehingga jawatankuasa perunding peneroka di peringkat Wilayah dan Ibu Pejabat untuk meneliti isu perahan dan gred buah kelapa sawit ini," katanya.

Beliau juga berkata Felda akan memanggil semua pengurus dan pemimpinnya di seluruh negara dalam masa terdekat bagi menghadiri satu penerangan mengenai isu-isu yang membabitkan Felda. -- BERNAMA


Ulasan GB

Kita berharap kemenangan ini tidak dicabar lagi atau dirayu lagi oleh pengurusan Felda seperti kes terdahulu.

Dan kita berharap tiada suara sumbang dari Felda lagi bahwa kononnya peguam Felda tidak hadir.

Bayar segera sebelum Felda dikenakan saman lagi kerana mengingkari perintah mahkamah.


Tiada ulasan: