24 Sep 2010

Kartun Memang Takut Dengan Kartun

Zunar, kartunis politik terkenal telah ditangkap di bawah Akta Hasutan 1948, sebelum buku barunya, CARTOON-O-PHOBIA dilancarkan pada malam ini. 10 orang polis telah menyerbu ke pejabat Zunar di Brickfield, Kuala Lumpur petang tadi, dan merampas 65 buah buku terbarunya.

CARTOON-O-PHOBIA adalah koleksi pilihan kartun-kartun Zunar yang tersiar dalam laman web Malaysiakini dari Disember 2009 hingga September 2010. Perlancaran buku ini dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam, di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur - Selangor, nanti.

Menurut peguamnya, Latheefa Koya, Zunar atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Ulhaque disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1984, di Balai Polis Brickfield.

Bagaimanapun, Zunar memperbarui status Facebook-nya pada kira-kira 5.30pm, berbunyi, "Zunar sini. Saya skrg sedang ditahan di balai polis brickfeild utk soal siasat, lps ini akan di bawa ke ipd pj. Pesan saya prgm mlm diteruskan walau tanpa saya. Terima kasih atas sokongan." -MR


Penerbitan Buku Komik Cartoon-O-Phobia

SAYA dengan ini mengumumkan penerbitan buku ketiga saya, CARTOON-O-PHOBIA bersama Kinibook yang merupakan anak syarikat Malaysiakini. Sebelum ini saya juga berkerjasama dengan penerbit yang sama untuk buku "1 Funny Malaysia" (2009) dan "Cartoon On Tun and Others... (2005)".

Kebanyakan karya-karya kartun dalam CARTOON-O-PHOBIA adalah koleksi pilihan kartun-kartun saya yang tersiar dalam laman web Malaysiakini dari Disember 2009 hingga September 2010.

Selain itu, ada juga karya-karya yang disiarkan dalam laman web saya, cartoonkafe.com dan ada juga yang tidak pernah disiar di mana-mana penerbitan.

Idea untuk menghasilkan buku ini diilhamkan apabila kerajaan (KDN) mengharamkan buku-buku kartun saya iaitu "1 Funny Malaysia", "Perak Darul Kartun" dan "Isu Dalam Kartun".

Ketika diharamkan pada Jun lalu, alasan yang diberi kerajaan ialah kerana buku-buku dan majalah saya itu dianggap "mengancam ketenteraman awam" dan "boleh mempengaruhi orang ramai supaya merusuh terhadap kerajaan."

Kerana itu, nama CARTOON-O-PHOBIA dipilih bagi menggambarkan ketakutan sesetengah pihak kepada karya-karya kartun.

Saya juga akan cuba mendaftar istilah CARTOON-O-PHOBIA di dalam kamus sebagai satu istilah baru yang menggambarkan defininasi "individu atau pihak yang takut kepada karya kartun sehingga menggunakan pengaruh politik bagi mengambil tindakan terhadap kartunis."

Secara peribadi, buku ini adalah lebih pedas, tajam dan padat berbanding dengan buku-buku saya sebelum ini. Saya menyentuh semua isu-isu yang menjadi perbualan awam seperti isu Altantuya, konspirasi terhadap Anwar, isteri PM, kehilangan jet enjin, Scorpene yang tak boleh menyelam, Sarawak, perkauman, korupsi dan lain-lain.

CARTOON-O-PHOBIA diterbitkan selepas saya dan Malaysiakini mengheret KDN ke mahkamah bagi mencabar pengharaman buku saya, dan di tengah-tengah ghairahnya pihak kerajaan merampas dan mengharam penerbitan-penerbitan yang tidak sehaluan dengan selera pemerintah.

Apakah buku terbaru saya juga menghadapi kemungkinan diharamkan? Sebenarnya saya tidak pernah terfikir soal ini semasa memproduksikan buku-buku saya. Saya percaya CARTOON-O-PHOBIA mempunyai kekuatan sendiri dan memenuhi kehendak pembaca. Namun saya bersedia menghadapi sebarang risiko jika buku ini diharamkan.

Jika buku ini tidak dapat dijual di pasaran terbuka (akibat pengharaman), saya bergantung kepada sokongan dari para pembaca. Hanya dengan sokongan peminat, pembaca dan rakyat Malaysia yang prihatin, penerbitan kartun-kartun dan buku-buku saya akan dapat diteruskan.

Lebih dari itu, saya telah memulakan langkah mereformasikan kartun-kartun politik di Malaysia dan ia tidak seharusnya berkubur.

Kerana itu saya berharap peminat dan pembaca akan memberi sokongan penuh kepada saya dengan membeli buku ini. Ia juga sebagai tanda sokongan kepada saya yang akan memulakan prosiding mencabar KDN di mahkamah yang dijangka bermula Oktober depan.

Dengan sebab itu juga, saya berharap kepada peminat dan pembaca untuk hadir di majlis pelancaran yang akan diadakan pada jam 8 malam, 24 September bertempat di Kuala Lumpur-Selangor Chinese Assembly Hall.

Perasmian akan dilakukan oleh Bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin.

CARTOON-O-PHOBIA mempunyai ketebalan 100 muka surat dan semua lukisan di dalamnya adalah berwarna penuh. Ia dijual dengan harga pasaran RM25. Ia juga boleh dibeli melalui online di cartoonkafe.com atau di pejabat saya di Brickfeilds, telefon 03-2272 4045.-Zunar

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

PDRM memang kartoon sebab takut dengan pelukis kartoon.Kementerian Dalam Negeri juga kartoon macam tak ada kerja lain nak buat.Cuba lihat macam mana negara ini dibanjiri oleh pendatang asing(sama ada resmi atau haram) - burung gagak berterbangan disana-sini.Ini kerja penting,utama dan mustahak-hak-hak.Dah tak buat kerja penting,buat kerja tangkap pelukis kartoon.Betul-betul dapat gaji buta.

Tanpa Nama berkata...

UMNO bimbang hilang kuasa, ramai melayu lain selain UMNO berkebolehan perintah negara.