24 Sep 2010

Bas Sani 2 Tingkat Kamalangan Lagi

Bas ekspres Sani kemalangan lagi apabila bas ekspress dua tingkat yang sarat dengan penumpang itu bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga di Jalan Chendering-Kuala Terengganu awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, bas yang membawa 28 penumpang dalam perjalanan daripada Klang menghala ke Bandar Kuala Terengganu dikatakan telah merempuh bahagian sisi belakang sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang penuntut Maktab Perguruan Kota Bharu, Pengkalan Chepa.

Menurut pemandu bas, Mohd Sabri Osman 44 tahun, semasa kejadian kereta yang dipandu pelajar tersebut dikatakan telah memasuki lorong kanan secara tiba-tiba selepas keluar dari simpang tiga Chendering menyebabkannya merempuh bahagian belakang kereta kerana gagal mengelak.

“Saya sampai di simpang tiga, lampu hijau jadi saya terus jalan dan secara tiba-tiba, saya terkejut tengok sebuah kereta proton saga telah keluar simpang dan terus ke lorong kanan, jadi saya cuba mengelak namun gagal,”katanya.

Ekoran perlanggaran dibahagian belakang, kereta proton saga yang dipandu pelajar berkenaan seorang diri telah berpusing sehinggakan terlekat di tengah-tengah penghadang jalan.

Bagaimanapun, kesemua penumpang meneruskan perjalanan dengan menumpang bas lain selepas kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam pada itu, pemandu kereta proton saga, Mohd Ikram Abdul Hadi, 19 tahun penuntut Maktab Perguruan Kota Bharu juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan menjelaskan semasa kejadian dia dalam perjalanan dari rumah sewa rakannya di perumahan Chendering dan dalam perjalanan ke Masjid Zainal Abidin untuk solat subuh.

Dalam pada itu, Asistant Supritendent Khazahari Che Mat yang dihubungi mengesahkan kejadian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan keterangan dari kedua-dua pemandu telah direkodkan. -harakahdaily

1 ulasan:

Ir-Shah berkata...

tkt nak nek bas sani ekspress laa..hehehe.