24 Sep 2010

I'da World Gagal Jelaskan Kompaun RM20 Ribu Kepada SSM

Sebuah akhbar tempatan melaporkan dua pengarah syarikat I'DA World Group Sdn. Bhd yang mencetuskan kontroversi kerana menyumbang RM4 bilion kepada Pas Kelantan baru-baru ini sedang berhadapan tindakan undang-undang oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ini kerana, menurut akhbar tersebut, kedua-dua pengarah itu dan syarikat mereka gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan SSM yang kesemuanya berjumlah RM20,400 pada April lalu kerana melanggar peraturan di bawah Akta Syarikat 1965.

Kesalahan yang dilakukan syarikat yang didaftarkan di SSM pada 3 April 2007 itu adalah gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan gagal menghantar penyata laporan tahunan dan untung rugi syarikat itu.

Jurucakap SSM berkata, dua pengarah I'DA World Group dan syarikat mereka masing-masing telah diberikan notis kompaun tersebut pada April lalu.

"Mereka diberi masa sebulan selepas menerima notis tersebut untuk menjelaskan kompaun itu namun sehingga kini ia masih belum dilakukan.

"Jadi SSM sedang melaksanakan proses untuk mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Syarikat terhadap pengarah dan syarikat itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

I'DA World Group sebelum ini mendakwa sumbangan RM4 bilion kepada Pas Kelantan itu bertujuan membangun dan menambah baik infrastruktur di sempadan Rantau Panjang, Kelantan.

Bagaimanapun, sumbangan tersebut menimbulkan keraguan banyak pihak termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengaku tidak tahu-menahu mengenai sumbangan itu kepada pihaknya.

Nik Abdul Aziz turut menyifatkan dakwaan syarikat itu yang mengumumkan pemberian sumbangan peribadi kepada Pas Kelantan sebagai mengarut.


Dalam pada itu, jurucakap SSM itu berkata, dua pegawai agensi itu ada membuat lawatan ke pejabat I'DA World Group di Kelana Jaya hari ini bagi membuat pemeriksaan lanjut terhadap syarikat itu.

"Syarikat itu memang wujud dan berdaftar dengan SSM. Namun soal mereka memberi sumbangan RM4 bilion kepada mana-mana pihak bukan terletak pada bidang kuasa SSM," katanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Alahai tuan-tuan, kalau fikir secara negatif semua benda akan menjadi negatif. Tapi kalau bijak kita tuntut saja duit tu dan agihkan sebagai zakat kepada banyak orang yang miskin dan yang memerlukan di Malaysia ini. Banyak sangat rakyat golongan kecil yang terkandas disebab kejatuhan ekonomi. Kadang-kadang kesilapan disebabkan kegopohan seseorang menjadi advantage yang boleh dimanafaatkan. Bukan rasuah kalau buat secara terang dan tiada sebab musabab sebab projek pun tak ada ? Kalau propoganda UMNO lagi best, tuntutlah dari pihak belakangnya yang berkepentingan.Berjuang dan berkata-katalah untuk kebenaran...