13 Mei 2010

Hari Ini 13 Mei : Jangan "Bergurau" Berhubung Tarikh Ini

PAS memberi amaran kepada semua pihak termasuk Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) supaya jangan sesekali “bergurau” berhubung tarikh 13 Mei kerana peristiwa berdarah itu sangat sensitif.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata tindakan memilih tarikh 13 Mei untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah 13 Mei itu adalah satu sentimen perkauman yang sempit.

“Hari ini Gertak memberitahu bahawa tarikh 13 Mei dipilih kerana hanya ketika itu bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai masa lapang untuk hadir.

“Alasan tersebut tidak boleh diterima dan saya rasa rakyat Malaysia juga mempunyai pendapat sama,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Perhimpunan “Melayu Bangkit” anjuran Gertak, yang dijadual berlangsung hari ini ditangguhkan, dipercayai ekoran tekanan daripada pelbagai pihak khususnya PAS.

Pihak penganjur berkata ia ditangguhkan selepas mendapat arahan Institut Integriti Terengganu (IIT) kerana melibatkan isu keselamatan negara.

Pengerusi Gertak, Razali Idris berkata IIT telah menasihatkan supaya perhimpunan tersebut ditangguhkan.

“Saya mendapat arahan tersebut kira-kira pukul 2 petang tadi yang meminta supaya perhimpunan ini ditangguhkan atas sebab keselamatan negara.

“Jadi kita terpaksa akur dengan arahan tersebut dan pada masa sama menghindari daripada fitnah yang dilemparkan sebelum ini,” katanya.

Salahuddin berkata PAS tidak menghalang untuk mengadakan perbincangan yang memberi sumbangan kepada orang Melayu bukan perhimpunan untuk membangkitkan semangat dan kesedaran tentang peristiwa 13 Mei.

“Kita tidak halang sebarang program yang boleh menganjak pemikiran orang Melayu melalui pentas-pentas ilmu dan motivasi yang boleh memberi impak kepada mereka.

“Selain itu, perbincangan yang diadakan perlu mempunyai intipati yang boleh menyumbang kepada masa depan negara, orang Melayu dan bangsa lain.

“Tetapi jika program ini mengenai perbincangan untuk membangkitkan semangat 13 Mei itu yang kita tentang kerana ia boleh beri kesan buruk kepada perpaduan selain bertentangan dengan semangat keharmonian negara,” katanya.

Kira-kira 10,000 orang termasuk anggota 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dijangka bakal menyertai program “Melayu Bangkit” untuk membincangkan beberapa isu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perancangan ke arah penyatuan orang Melayu secara khusus.

“Tindakan Gertak yang membuat perhimpunan untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah 13 Mei adalah tidak relevan dengan semangat yang diamalkan sekarang.

“Kita sudah berada di abad ke-21, itu bukan pemikiran orang sekarang yang sepatutnya lebih bijak berfikir,” kata Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau mengadakan sidang media membantah penganjuran program itu di ibu negara kelmarin.

Dewan Pemuda PAS Terengganu membuat laporan polis semalam berhubung penganjuran program itu.

Dalam pada itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata keputusan Gertak semalam untuk menangguhkan pertemuan hari ini adalah satu berita baik.

“Kesemua rakyat Malaysia harus sensitif dengan perasaan orang lain.

“Kita mesti sensitif dengan perkara-perkara tertentu... yang mengingatkan kita tentang pengalaman pahit masa lalu, peristiwa hitam 13 Mei,” kata beliau ketika dihubungi.

Kata beliau, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan boleh mengadakan pertemuan mereka.

“Kami tiada masalah dengan itu. Kami hanya bimbang dengan program yang berkaitan dengan peristiwa 13 Mei,” katanya.

Setiausaha Agung MIC S. Murugessan memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya gembira dengan keputusan menangguhkan pertemuan itu.

“Kami masih mengutuk program itu kerana perkara perbincangan masih sama. Jika mereka mahu bercakap mengenai isu 13 Mei dan mahu mendidik orang ramai, mereka seharusnya bercakap mengenai perpaduan bersama kesemua kaum,” katanya.

“Bagaimanapun buat masa sekarang, kami akan menunggu dan melihat konteks perancangan mereka untuk meneruskan pertemuan itu,” katanya. -TMI


Perhimpunan 13 Mei Tindakan Terdesak Umno Tarik Undi Melayu

Kerajaan Umno-Barisan Nasional terbukti begitu terdesak untuk meraih kembali sokongan rakyat khususnya kaum Melayu sehingga sanggup menggunakan sentimen perkauman sempit sebagai senjata terakhir untuk memenuhi kepentingan politik mereka.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mengulas demikian ekoran laporan Utusan Malaysia Isnin lalu berhubung cadangan kira-kira 10,000 orang termasuk ahli 45 pertubuhan bukan kerajaan pro-Melayu menyertai program 'Melayu Bangkit' anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak 13 Mei ini.

Menurut Salahuddin, Pakatan Rakyat membantah penganjuran program berkenaan kerana ia bakal mengancam keselamatan dan keharmonian hidup rakyat berbilang kaum di mana pemilihan tarikh tersebut merupakan perkara yang dirancang untuk mengembalikan sejarah tragedi rusuhan antara kaum pada 1969.

Pengerusi Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak), Razali Idris dilaporkan sebagai berkata, tarikh 13 Mei dipilih untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah yang pernah berlaku empat dekad lalu.

"Ini satu kenyataan yang serius yang menyebut secara nyata dan terang memilih tarikh tersebut sebagai satu tarikh untuk membangkitkan semangat orang Melayu.

"Ia merupakan suatu perkara yang tidak sihat, tidak perlu dan tidak wajar untuk diwujudkan dan diadakan di persada tanah air kita setelah merdeka lebih 50 tahun.

"Dan di saat Perdana Menteri bercakap tentang 1Malaysia yang menggunakan khidmat Apco membayar RM77 juta namun masih lagi nak membangkitkan satu peristiwa atau program yang sangat berunsurkan perkauman yang tidak sepatutnya wujud lagi," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS semalam.

Salahuddin juga menegaskan Pakatan Rakyat khususnya PAS menolak perbuatan segerombolan pihak tidak bertanggungjawab ini kerana perkara tersebut adalah bertentangan dengan perjuangan untuk membela semua kaum.

"PAS memandang kenyataan ini sebagai amat tidak bertamadun yang bertentangan dengan semangat yang kita bina dalam negara apatah lagi atas nama Pakatan Rakyat, kita mahu satu Malaysia yang lebih baik, adil dan saksama kepada semua kaum, semua agama tetapi tiba-tiba masih ada lagi kumpulan yang pada hari ini ingin menggunakan peristiwa berdarah 13 Mei itu untuk membangkitkan tragedi yang tidak sepatutnya diingini rakyat.

"Bukan sekadar orang Melayu, Cina mahupun India malah semua manusia yang bertamadun tidak akan membenarkan lagi peristiwa ini berlaku lagi dalam negara ini," katanya lagi.

Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat bangkit dan menyedari tentang kewujudan kumpulan yang menyumbang tercetusnya kepada kacau-bilau dalam negara.

"Mereka perlu untuk diberitahu bahawa inilah kumpulan yang sangat berbahaya dan sangat perlu dijauhi oleh rakyat Malaysia pada hari ini.

"Kalau setakat nak bincang tentang DEB (Dasar Ekonomi Baru), nak bincang tentang masa depan orang Melayu tidak menjadi satu kesalahan tetapi bukan forumnya kita mewujudkan satu program dengan niat begitu jelas yang dibangkitkan oleh pengerusinya memilih 13 Mei itu dan menyebut tarikh itu untuk membangkitkan semangat orang Melayu.

Beliau juga bimbang IIIM Terengganu dipergunakan untuk politik sempit Umno-BN.

"Saya sangat aktif dengan IIM dan banyak perkara yang dibangkitkan dalam IIM. Tapi IIM Terengganu dilibatkan dalam program yang sangat sempit dan ekstrim ini.

"Jadi saya minta Presiden IIM, Datuk Dr Mohd Tap Salleh mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap IIM Terengganu yang boleh dipergunakan oleh puak-puak yang ekstrim ini kerana saya yakin di belakang program ini adalah Umno."

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pula bertegas supaya program itu dibatalkan.

Menurutnya, pengajuran program berkenaan jelas melibatkan Unit Perancang Ekonomi di bawah Kerajaan Negeri Terengganu.

Beliau juga mempersoalkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijangka akan menghadiri program itu.

"Saya nak tanya Mahathir, adakah dia nak hidupkan kembali semangat perkauman ini? Dia sebagai negarawan, nak hadir ke program sebegini. Ini yang amat dikesalkan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Fariz Musa ketika dihubungi berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan untuk membangkitkan sentimen perkauman di kalangan melayu yang berupa mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

"Gertak jelas didalangi Umno kerana pimpinannya merupakan pemimpin Umno. Jadi sebab itu mereka menganjurkan program bagi membakar sentimen perkauman di kalangan orang Melayu.

"Ini menunjukkan Umno sudah semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dalam keadaan di mana orang Melayu tidak lagi memberi sokongan kepada mereka.

Katanya, perkara itu juga menunjukkan gagasan 1Malaysia yang diperkenal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal apabila Umno secara berterusan memainkan isu-isu perkauman demi kepentingan politik sempit mereka.

"Ini juga menunjukkan gagasan 1Malaysia telah gagal mewujudkan keharmonian kaum dan hanya digunakan sebagai sandiwara demi menjaga kepentingan politik Umno. Umno menjadi dalang dan bayang-bayang dalam penganjuran perhimpunan ini dengan meletakkan Gertak di hadapan. Kita mahu Umno dan NGO terbabit untuk hentikan perhimpunan itu kerana ia mampu mencetuskan keadaan huru hara dan menganggu gugat keharmonian kaum di negara kita," ujarnya. -SK



MCA dan Gerakan selar program "Melayu Bangkit"

MCA dan Gerakan menyelar program "Melayu Bangkit" yang bakal diadakan pada 13 Mei di Terengganu, malah MCA menggesa agar pemimpin parti komponen Barisan Nasional yang lain tidak menghadiri perhimpunan tersebut.

Jelas, seruan Presiden MCA, Chua Soi Lek ditujukan kepada pemimpin UMNO, agar berpegang kepada gagasan "1Malaysia" yang dijanjikan kepada rakyat. Namun, ketika ditanya semalam dalam sidang media, seandainya terdapat pemimpin yang tetap mahu hadir, Chua Soi Lek menjawab, biarpun kehadiran seseorang mungkin tidak membawa kesan negatif yang besar, tetapi cukup untuk rakyat menilai kelakuan pemimpin tersebut.

Timbalan Presiden Gerakan, Chang Ko Youn pula menggesa agar kerajaan campur tangan untuk menghalang perhimpunan 13 Mei yang berunsur perkauman oleh mana-mana pertubuhan, agar keharmonian antara kaum tidak dijejaskan.

Sambil mengakui bahawa tanggal 13 Mei sebagai detik yang bersejarah, Chang Ko Younmencadangkan ianya harus diperingati dengan bertitik tolak dari perspektif memupuk persefahaman antara kaum, dan bukannya menguar-uarkan marginisasi sesesuatu kaum.

Malah, Chang Ko Youn mempertikaikan, "Kita sering berkata bahawa jangan mengulangi sejarah, namun kita tidak pernah menghormati sejarah, sebaliknya menggunakan sejarah untuk mengancam dan menakut-nakutkan rakyat. Jadi, bagaimana kita mengambil iktibar dari sejarah?"

Pemuda KLSCAH desak PM nyatakan pendirian

Selain itu, pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor yang juga kecewa dengan perhimpunan ini mendesak agar Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said untuk menyatakan pendirian mereka, sama ada mereka menyokong atau tidak perhimpunan tersebut.

Ketua Pemuda KLSCAH Ng Chong Soon menganggap perhimpunan yang dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) Terengganu dan Gerakan Kebangkitan Rakyat (GERTAK) ini bertentangan dengan konsep "1Malaysia" yang disarankan oleh PM.

Malah, Ng Chong Soon juga memuji keputusan pemimpin PAS untuk tidak menyokong perhimpunan perkauman tersebut, sebagai kelakuan yang harus diteladani oleh pemimpin politik yang lain.

Dalam satu kenyataan semalam, Ng Chong Soon (gambar kiri) berpandangan bahawa semua isu semasa seperti kenaikan harga barangan, kemelesetan ekonomi, keganasan polis, pencemaran alam sekitar dan lain-lain adalah masalah yang mempengaruhi kehidupan rakyat tanpa mengira kaum atau agama, dan semua slogan berunsur perkauman seperti "Melayu Bangkit", "Cina Bersatu" ataupun apa jua slogan perkauman adalah slogan yang mengelirukan rakyat serta selalu dipermainkan oleh ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab.

Akhirnya, Pemuda KLSCAH menyeru agar semua rakyat bangkit dan menyokong nilai-nilai pluralisme serta hak asasi manusia dan menolak sebarang slogan dan perhimpunan yang berunsur berperkauman.

*Perhimpunan "Melayu Bangkit" telah dibatalkan setelah menerima arahan pimpinan tertinggi negara, menurut Pengerusi GERTAK, Razali Idris. -FMT


Tiada ulasan: