7 Mac 2010

Pengundi Bagan Serai Desak Mohsin Letak Jawatan

Pengundi Parlimen Bagan Serai berasa amat kesal dan terkejut dengan tindakan mendadak Ahli Parlimen kawasan itu mengambil keputusan keluar KEADILAN sambil menyifatkan langkah itu bermotifkan kewangan yang didalangi Umno dan Barisan Nasonal.

Mohsin Fadzli Samsuri yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum 2008 lalu atas tiket KEADILAN mengumumkan keluar parti dan menjadi anggota bebas 3 Mac lalu.

Pada PRU 12 beliau memperolehi 18,943 undi dengan menewaskan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin dari Umno dengan majoriti 3,413 undi.

Pengundi yang ditemui Suara Keadilan berasa tertipu memikirkan samada kebajikan dan hak mereka akan terjamin oleh Ahli Parlimen Bebas seperti Mohsin.

Bagi Selamat Hashim, 41 tahun, yang membuka perniagaan berhampiran Pusat Khidmat Mohsin memberitahu beliau jarang melihat kelibat wakil rakyat itu di pejabatnya malahan beliau

sukar ditemui apabila pengundi memerlukan pertolongan dan khidmatnya.

Disoal tentang tindakan Mohsin keluar parti dan membelakangi pengundi yang memilihnya Selamat berkata tindakan itu sudah pasti akan mengguris hati mereka yang memilih beliau.

“Kalau tahu ini akan terjadi, awal-awal lagi kami tak akan pangkah dia, Mohsin dah tipu kami dan perbuatanya ini tidak bagus untuk orang yang memilihnya. Dalam agama sekalipun melarang kita mempermain dan menipu orang” katanya.

Pendirian yang sama juga disuarakan oleh Mohd Nor Faisal, 33, seorang peniaga minuman buah-buahan yang kesal dengan tindakan Ahli Parlimen mereka itu.

Tegas Faisal walaupun itu adalah hak dan pendirian peribadi Mohsin tetapi dia juga harus memikirkan kepentingan rakyat dan pengundi dan bukan hanya melihat kepada kepentingan peribadi.

Bagi Au Ken Seong, 28, walaupun Mohsin tidak lagi bersama KEADILAN ia tidak akan memberi sebarang perubahan kepada Bagan Serai kerana sejak dua beliau menjadi Ahli Parlimen kawasan itu terbiar tanpa pembangunan untuk rakyat.

“Dalam dua tahun kita dah nampak dan boleh nilai sendiri bagaimana cara dia melayan masyarakat Bagan Serai, saya pasti masyarakat Bagan Serai pasti akan bangun dan mendesak dia letak jawatan kerana itu adalah jalan yang terbaik untuk kami memilih wakil rakyat kami yang sebenar.

“Tapi semuanya bergantung pada dia lah, saya pasti dia tak akan melepaskan jawatan itu,” tambah Ken Seong.

Peniaga ubat tradisional Cina, Wong Chek Wok, 55, berkata rakyat telah ditipu bulat-bulat oleh pemimpin seperti lalang ini.

Beliau memilih KEADILAN kerana melihat parti itu mampu membela rakyat berbanding dengan Umno.

"Saya tidak kenal siapa Mohsin tapi saya percayakan Pakatan Rakyat. Kalau saya tahu dia akan buat begini sudah tentu saya tidak akan mengundi dia," kata Chek Wok.

Peniaga itu berkata lebih elok Mohsin meletakkan jawatan dan mengembalikan semula mandat kepada rakyat supaya mereka boleh memilih calon yang benar-benar ikhlas dan komited sebagai wakil rakyat. -SK


1 ulasan:

Anak Sungai Derhaka berkata...

Salam Tuan...

Petisyen desak Zahrain letak jawatan oleh pengundi Bayan Baru, saya dah publish disini..

http://darisungaiderhaka.blogspot.com/2010/03/kepada-yb-dato-seri-zahrain-bin-mohd.html