7 Mac 2010

MCA Sambut Ulangtahun Ke 61 Ketika Parti Itu Hadapi Kemelut Terhebat

MCA merayakan sambutan ulang tahun ke-61 malam tadi di tengah-tengah kemelut yang semakin mendalam.

Parti politik kedua terbesar negara itu memulakan sambutan dengan majlis makan malam di Wisma MCA diikuti upacara menaikkan bendera dan menyanyikan lagu Negaraku dan ucapan serta pertunjukan kebudayaan di Dewan San Choon.

Selain presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat, setiausaha agung Datuk Wong Foon Meng, bendahari agung Tan Sri Tee Hock Seng, setiausaha agung Wanita Senator Heng Seai Kie, dan pengerusi penganjur Datuk Seri Kong Cho Ha, turut hadir ialah bekas timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan bekas naib presiden Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang baru pulang dari lawatan luar negara.

Bekas anggota Jawatankuasa Pusat (CC) yang bersekutu dengan Dr Chua seperti Loh Seng Kok, Chua Tee Yong dan Datuk Seri Tan Chai Ho turut hadir.

Yang jelas tidak kelihatan pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,200 orang itu ialah pemimpin dalam kumpulan yang menyokong Datuk Seri Liow Tiong Lai, termasuk Tan Kok Hong, Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun. Dalam ucapannya pada majlis itu, Ong berkata beliau tidak menyesal dalam perubahan yang dimulakan sejak mengambil alih pucuk pimpinan parti pada Oktober 2008, walaupun sepanjang tempoh itu terpaksa berhadapan dengan halangan dari pelbagai pihak.

Beliau turut memohon maaf atas kesalahannya dan berkata beliau juga sanggup dipersalahkan jika tindakannya menyebabkan perasaan tidak puas hati di kalangan anggota parti.

"Saya mempunyai impian untuk memulakan perubahan budaya politik dalam parti saya. Tapi mungkin saya telah mengambil mudah langkah seumpama itu. Saya akan sentiasa memastikan integriti dan kredibiliti parti saya tidak akan dirosakkan oleh mana-mana pihak," katanya.

Pergolakan parti itu memasuki episod baru apabila anggota jawatankuasa pusatnya meletak jawatan secara serentak pada Khamis.MCA menetapkan 28 Mac untuk pemilihan semula anggota CC manakala hari pencalonan pada 22 Mac. Dr Chua dan Ng meninggalkan majlis sebaik selepas acara memotong kek.

"Saya di sini kerana sambutan ulang tahun parti, bukan kerana mana-mana pemimpin parti. Ini berbeza daripada AGM," kata Dr Chua yang sebelum ini turut menyatakan tidak akan menghadiri AGM hari ini.

Ng pula berkata tidak salah untuk beliau hadir pada majlis makan malam itu dan menegaskan bahawa: "Walaupun saya bukan lagi dalam CC, saya masih anggota parti".

Pada sidang akhbar selepas majlis itu, Ong yang ditanya mengenai keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak hadir pada AGM esok, berkata: "Kami ambil maklum bahawa perdana menteri tidak akan hadir. Kami faham sepenuhnya keadaan itu".

Ditanya kemungkinan jumlah yang hadir esok amat sedikit, beliau mengingatkan perwakilan mengenai tanggungjawab mereka selaras dengan keperluan AGM.

Mengenai sama ada beliau sekali lagi akan dicabar pada pemilihan baru akan datang, Ong berkata: "Saya akan beri jawapan yang diperlukan bila tiba masanya". - BERNAMA

Tiada ulasan: