17 Feb 2010

Nasib Nizar Boleh Menimpa Najib, Mungkin Lebih Dasyat

Ku Li: Agong Boleh Lucut Jawatan PM

Tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah senada dengan pengamal undang-undang dan pemerhati politik bahawa Perlembagaan tidak memberi kuasa kepada istana untuk melucut jawatan Menteri Besar sepertimana yang berlaku di Perak.

Komen Ku Li itu yang dimuatkan dalam laman webnya menolak keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu yang mengisytihar Datuk Zambry Kadir dari Umno sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pendirian Ku Li itu tidak disenangi oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan berkata tokoh politik itu sering mengeluarkan kenyataan yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

Bercakap kepada TV Selangor, Pegawai Khas Ku Li, Mohd Lokman Ghani, berkata bagi Ku Li ialah kebenaran, bukannya mengeluarkan kenyataan untuk tujuan sebaliknya.

“Isu Perlembagaan Perak pada Tengku, dia tetap dengan pendirian bahawa raja tidak boleh memecat Menteri Besar. Kena ikut perlembagaan, kena diputuskan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Jadi Tengku tidak mahu kalau kita tidak mengikut Perlembagaan betul-betul, bermakna Yang Dipertuan Agong boleh membuang Perdana Menteri pada bila-bila masa,” katanya.

Ku Li dalam laman webnya menegaskan beliau yakin bahawa istana tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memecat ketua pemimpin kerajaan.

Beliau berkata, keputusan mahkamah berkaitan kemelut Perak itu memberi implikasi bukan sahaja kepada Perlembagaan perak, malah Perlembagaan Persekutuan.

Hakikatnya, jika keputusan mahkamah diterima, ia bermaksud Yang Dipertuan Agong boleh memecat Perdana Menteri sedangkan kuasa itu hanya dimiliki Parlimen.

Justeru, Lokman berkata, pemimpin Umno sendiri harus telus dalam membahaskan implikasi keputusan mahkamah berkenaan.
“Muhyiddin kata kenyataan Tengku kebelakangan ini berbeza dengan pandangan kerajaan, jadi takkanlah hendak Tengku berbohong. Ikut sahaja apa yang kerajaan mahu sedangkan perkara itu tidak betul,” katanya.

Ku Li sebelum ini dikecam hebat oleh pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) kerana mengambil pendirian rakyat Kelantan berhak menerima royalti minyak.

Lokman yang lama mengenali Ku Li berkata, pemimpin veteran itu akan terus bersuara kerana kenyataannya adalah benar dan termaktub dalam Perlembagaan.

“Jadi, apabila kerajaan menyatakan perkara yang tidak betul, dia terpaksa memberitahu perkara yang betul. Itu pendirian dia,” katanya. -TVS

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Undang-undang pun diperlekehkan, inikan pula perlembagaan. Satu dunia sedang memehatikan sistem perundangan Malaysia yang penuh dengan permainan politik!!!

Tanpa Nama berkata...

keadilan hanya boleh berlaku sekiranya BN ditumbangkan