23 Jan 2010

Kenyataan Bersama Hadi, Mohd Nor dan Asri

Kami telah dijemput sebagai mewakili parti masing-masing dan individu dalam Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada 21 Januari 2010.

Laporan beberapa akhbar harian pada 22 Januari 2010 telah menyatakan sebagai berikut :

“Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini mengambil kata sepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada 'God' tidak tepat.

Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam juga menyalahi hakikat sebenar kerana ia bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjur oleh agama Islam atas dasar setempat di Malaysia”.

Apa yang tidak dinyatakan di dalam laporan berkenaan ialah pendirian konsisten kami bahawa :

1-Penggunaan kalimah nama ”Allah” untuk tujuan amalan agama sesama penganut agama Kristian dan Yahudi adalah dibenarkan oleh Islam, dengan bersumberkan dalil Al Quran dan As Sunnah serta pandangan ulama muktabar.

2-Demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara, polemik ini hendaklah diselesaikan dengan menyuburkan budaya dialog antara agama secara matang dan bijaksana.

3-Berasaskan semangat musyawarah dan saling memahami dalam konteks masyarakat Malaysia, maka suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira dalam menentukan penggunaan kalimah “Allah” itu.


Penggunaan kalimah “Allah” secara tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

Oleh itu, satu garispanduan penggunaannya perlulah diwujudkan.

Kami juga ingin menyatakan bahawa sebagaimana yang telah dipersetujui oleh pihak penganjur dan para panel muzakarah, dan berdasarkan kepada tradisi keilmuan dan semangat perbezaan pandangan, maka tiada sebarang ketetapan rasmi telah dikeluarkan diakhir sesi muzakarah berkenaan.

Kenyataan Media oleh Tiga Panel Muzakarah Pakar :

Dato’ Seri Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Dr Mohd Nur Manuty
Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Dr Mohd Asri Zainal Abidin
Mantan Mufti Perlis

22 Januari 2010

Tiada ulasan: