23 Jan 2010

BERDOA KEARAH PERUBAHAN PAS - Sudah Termakbul?

PAS dan nama Allah
Oleh Zulkifli Sulong
Ketua Pengarang Harakahdaily

“75 peratus orang Melayu menolak pandangan PAS yang mengizinkan Kristian menggunakan nama Allah. Hanya 25 pertaus sahaja menyokongnya. Di kalangan bukan Melayu pula, 90 peratus menyokong PAS manakala 10 peratus sahaja menentangnya.”

Inilah kenyataan yang saya temui hari ini. Ia berdasarkan analisa rambang yang dibuat oleh beberapa pihak ekoran isu nama Allah.

“Jika begitu kedudukannya, PAS akan kalah di semua kerusi yang ditandinginya,” kata saya kepada pihak yang memberikan maklumat itu kepada saya. Analisa saya kepada maklumat itu adalah:

75 peratus dari 60 peratus orang Melayu akan mengundi Umno. Hanya 25 peratus sahaja akan mengundi PAS. Ini bermakna, PAS hanya akan mendapat 15 peratus pengundi kelompok ini.

PAS akan mendapat 36 peratus dari 40 peratus pengundi bukan Melayu di Malaysia. Ini bermakna, jumlah undi yang diperolehi PAS adalah 51 peratus berbanding dengan Umno 49 peratus dari seluruh kelompok masyarakat negara ini.

Jika begitu kedudukannya, walaupun PAS mendapat sokongan majoriti masyarakat Malaysia tetapi PAS akan kalah di kesemua kerusinya kerana PAS hanya bertanding di kawasan Melayu majoriti melebih 70 peratus.

Inilah dilema PAS... kalau dilihat kepada senario hari ini.

Namun, saya melihat dari perspektif berbeza. Benar inilah senario hari ini tetapi bukannya senario hari esok dan hari-hari seterusnya. Ini kerana, senario hari ini berlaku berdasarkan emosi orang Melayu dan bukan berdasar fakta sebenar kenapa PAS bertindak sedemikian dalam isu nama Allah ini.

Secara ringkasnya, pendirian PAS dalam isu nama Allah adalah:-

1) PAS setuju tidak salah agama Kristian menggunakan nama Allah kerana semua agama Samawi sememangnya menggunakan nama Allah untuk Tuhan mereka.

2) PAS tidak mahu nama Allah disalahgunakan untuk tempat-tempat yang tidak sewajarnya.


Jelas apa yang diputuskan oleh PAS adalah berdasarkan Islam yang menjadi dasar PAS selama ini. Keputusan itu tidak dibuat PAS kerana kepentingan politik atau kerana emosi para pemimpinnya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam itu. Ia pula dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi PAS selepas berbincang dan bermesyuarat.

Dan buat pertama kalinya selepas isu unity government, para pemimpin utama PAS bersatu hati dalam tindakan mereka. Kalau selama ini kelihatan semacam ada kumpulan-kumpulan dalam PAS, isu nama Allah telah menyatukan mereka kembali.

Pemimpin yang membuat kenyataan berbeza dari keputusan 12 Jan itu juga bertegas, pandangan mereka sebelum itu adalah pandangan pribadi. Kini pandangan mereka adalah sama dengan pandangan parti yang diputuskan 12 Jan itu.

Terbukti kini secara perlahan-lahan, PAS telah membuat keputusan yang tepat dengan keperluan parti dan keperluan negara sebenarnya. PAS bukan lagi parti kampung atau parti keagamaan sempit tetapi parti yang meletak kepentingan negara didepannya.

Bayangkan jika PAS berpendirian menentang keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Kristian menggunakan nama Allah itu. Saya yakin, kalaulah PAS mengambil keputusan itu, bukan lapan gereja yang menjadi mangsa “vandalism”. Bahkan, berpuluh-puluh gereja yang bakal menjadi mangsa. Ia bukan lagi dinamakan “vandalism” tetapi serangan berdasarkan “jihad agama”.

Saya katakan semua ini kerana sememangnya perasaan curiga di dalam masyarakat antara Islam dan Kristian ini sudah lama ditanam. Siapa yang menanamnya tidak diketahui. Yang pasti, ia umpama “fitnah” yang sedang tidur. Jika ia digerakkan, maka akan bangunlah ia.

Oleh itu, sesiapa yang masih tidak bersetuju dengan keputusan PAS ini perlu berfikir sekali lagi. Fikiran itu hendaklah dibuat dengan rasional dan berdasarkan sikap terbuka, bukannya emosi. Apakah yang PAS buat itu betul atau salah.

Benar, Umno menggunakan segala organ dan jentera yang dikawalnya untuk mempengaruhi masyarakat agar memihak kepada pemikiran sempitnya iaitu menentang permohonan Kristian itu. Ia bertujuan untuk memberitahu rakyat Umnolah pejuang agama sebenar. PAS (kononnya -GB) hanya memperalatkan agama bukannya pejuang agama.

Antaranya Umno menggunakan platform yang paling ampuh di kalangan orang Melayu iaitu mimbar Jumaat dan Istana untuk mempengaruhi emosi dan pemikiran orang Melayu.

Minggu lepas, sekurang-kurang hampir semua mimbar Jumaat di semua masjid dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membaca teks khutbah yang dibekalkan oleh pihak berkuasa agama yang dikawal kerajaan. Dalam khutbah itu, dibahaskan betapa tidak wajarnya Kristian dibenarkan menggunakan perkataan Allah. Ini kerana Kristian tidak percaya kepada Allah yang satu tetapi trinity.

Di Selangor, pihak berkuasa agama negeri mengeluarkan titah Sultan Selangor melarang nama Allah digunakan oleh agama Kristian.

Namun, ia tidak membawa kesan yang besar. Ini kerana, kewibawaan ulama PAS dalam hal agama ini jauh lebih baik. Bayangkan jika PAS juga bersama mereka... hancurlah negara.

Ulasan GB

Pertama kali saya membaca tulisan Sdr Zulkifli Sulong di era pasca UG. Sebelum ini saya kurang gemar membaca tulian-tulisannya ketika beliau beriya-iya benar menerang dan mempertahankan idea UG semasa beliau di SIASAH dulu.

Kini, seperti sikap yang diambil oleh Ustaz Zorkharnain Abidin, exco Dewan Ulamak Pusat, Zulkifli Sulong kembali berpegang kepada perjuangan PAS yang sebenar.

Dan sepastinyalah yang paling menonjol ialah sikap Presiden PAS sendiri yang merupakan pelopor kepada gagasan UG kini telah mengambil pendirian tegas untuk mengepalai dan mengumumkan pendirian PAS terhadap isu kalimah Allah, yang ternyata disambut kurang senang oleh para pengikutnya termasuk beberapa orang pemimpin kanan yang masih taksub dengan UG itu.

Meminjam kata-kata Zulkifli sendiri:

"Oleh itu, sesiapa yang masih tidak bersetuju dengan keputusan PAS ini perlu berfikir sekali lagi. Fikiran itu hendaklah dibuat dengan rasional dan berdasarkan sikap terbuka, bukannya emosi."

Mungkinkah doa "budak-budak" AdukaTaruna supaya BERDOA KEARAH PERUBAHAN PAS sudah dimakbulkan Allah dan menampakkan kejayaannya (?)

Jika demikian kena terus-terusan berdoa dan semarakkan lagi dengan membeli dan memakai T-Shirt keluaran mereka agar PAS terus berubah dan terus bersatu kukuh mengorak langkah ke hadapan menghadapi cabaran.

7 ulasan:

sb dehlawi berkata...

kena berhati2 dengan puak UG ni. hari ni bersama jemaah Pas. lain masa terliur pulak nak jilat jawatan menteri

Tanpa Nama berkata...

itu analisis UMNO/UG, majoriti orang melayu faham islam bukan macam UMNO?

Tanpa Nama berkata...

Sokong penuh TGNA dan GB kerana kebenaran bukan membabi buta.

Tanpa Nama berkata...

Analisa berasaskan nafsu UMNO bukan berasaskan ilmu agama..

Tanpa Nama berkata...

masih ada barua UMNO dalam PAS?

Tanpa Nama berkata...

sy sokong pas dlm isu nama Allah. yg penting kebenaran diutamakan. bkn emosi. sebenarnya ramai melayu yg berfikiran sederhana menyokong pas dlm isu ini. sikap pas sgt sesuai dan menepati realiti kehidupan bermasyarakat di msia. tahniah pas.

Tanpa Nama berkata...

singkirkan puak UG/pro UMNo dalam PAS, musuh dalam selimut.