23 Jan 2010

Sultan Selangor Lebih Terbuka Daripada UMNO dan J/K Disiplin PAS

Khalid Samad yang menghadap Sultan Selangor pagi ini telah dititah agar mengemukakan apa jua syor berkaitan dengan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 termasuk soal penggunaan kalimah “Allah”.

Semalam Khalid mendakwa enakmen itu sudah ketinggalan zaman.

Sultan Sharafuddin Idris Shah juga tidak mahu isu mengenai kalimah “Allah” berpanjangan sehingga menjadi polemik politik.

Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS itu berkata dalam pertemuan lebih sejam pagi ini, Sultan Selangor turut ada menyentuh polemik semasa membabitkan beliau dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Walaupun kunjungan ini bertujuan mendapatkan wawasan Tuanku mengenai Shah Alam, baginda juga ada membangkitkan isu semasa yang berkaitan dengan kalimah Allah dan pertikaian membabitkan Jais dan Mais.

“Baginda bertitah bahawa jika ada apa-apa pandangan hendak dicadangkan, tulis kepada Mais dan Tuanku, baginda akan memberi pertimbangan.

“Bagi saya ini satu respons positif daripada Tuanku, sikap terbuka baginda, yang menyatakan kesediaan baginda untuk mendengar pandangan semua pihak,” katanya.


Khalid menambah beliau menjelaskan kepada Sultan Selangor bahawa pendiriannya selama ini termasuk menerusi ceramah dan forum hanya bertujuan menangkis pandangan Jais dan Mais yang mengapi-apikan orang ramai dengan tindak-tanduk mereka.

Ketika ditanya sama ada beliau akan berhenti bercakap isu kontroversi kalimah “Allah” serta Jais dan Mais selepas ini, Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam berkata, oleh kerana ada jaminan Sultan Selangor maka beliau akan memenuhi apa yang dititahkan.

Khalid juga menambah, beliau akan membawa pandangan Sultan Selangor kepada pucuk kepimpinan PAS.

“Saya akan bawa kepada parti termasuk peringkat PAS Selangor... terpulang kepada pucuk kepimpinan untuk memberi pandangan berkaitan syor yang boleh dikemukakan kepada Sultan dan Mais,” katanya.

Selangor merupakan antara negeri yang mengguna pakai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

Ia antara lain melarang orang bukan Islam menggunakan secara bertulis atau lisan 25 perkataan.

Antara perkataan itu adalah, Allah, firman Allah, nabi, mubaligh, syariat, wahyu, mufti, Kaabah, hadis, rasul, iman, ibadah, fatwa, haji, kiblat, Ilahi, Injil, ulama, khalifah, wali, Syeikh, Iman dan dakwah.

Bukan Islam juga dilarang menggunakan 10 perbahasan seperti subhanallah, insya-Allah, astaghfirullahlah, masya-Allah dan Allahuakbar sama ada berbentuk lisan ataupun penulisan.

Kunjungan hormat Khalid, Ahli Parlimen penggal pertama, diadakan sehari selepas beliau menafikan tuduhan 16 pertubuhan bukan kerajaan bahawa beliau memberikan ucapan mencabar, memperlekeh dan mempertikaikan kedudukan Sultan Selangor ketika menyampaikan ceramah pada 12 Jan lalu.

Tegas Khalid, usaha mengheret institusi di bawah naungan Sultan Selangor ke dalam kancah politik dilakukan oleh golongan yang berkepentingan, bukan beliau.

Pada 18 Jan lalu 16 NGO lagi telah membuat laporan polis terhadap Khalid berhubung isi ucapannya di MPSJ bahawa Khalid telah mencabar, memperlekeh dan mempertikaikan kedudukan Sultan Selangor, dan mengheret baginda ke kancah politik.

“Usaha mengheret institusi di bawah naungan Sultan ke dalam kancah politik jelas kelihatan apabila demonstrasi diadakan di dalam Masjid Negeri pada 8 Jan.

“Demonstrasi tersebut disebut umum sebagai anjuran Jais dan Mais walaupun dinafikan oleh mereka kemudiannya,” katanya.

Beliau juga mahu kepimpinan dua institusi agama di Selangor - Jais dan Mais - dirombak selaras dengan pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat agar isu-isu semasa menyentuh umat Islam di negeri itu dapat ditangani dengan harmoni.

Khalid berkata beliau akan membawa syor itu ke peringkat atasan termasuk kepada Sultan Selangor jika mendapat peluang. -MI

Ulasan GB

Khalid Samad lagi. Sultan Selangor berlapang dada dan bersikap terbuka dengan meminta Khalid menulis kepada MAIS dan baginda jika ada apa-apa pandangan hendak dicadangkan setelah diketahui Khalid mengkritik Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 sudah ketinggalan zaman.

Baginda dilaporkan sedia mempertimbangkan.

Ia sekaligus menjadikan laporan polis oleh 16 NGO terhadap Khalid yang kononnya Khalid menderhakai Sultan Selangor tidak benar.

Ia juga menunjukkan Lembaga Disiplin PAS sendiri terutama DATUK Tuan Ibrahim Tuan Man tidak bersikap terbuka dan berlapang dada seperti Sultan Selngor apabila Khalid mengkritik Pesuruhjaya PAS Selangor, apabila kritikan itu dilihat sebagai satu "kesalahan".

Tuan Ibrahim telah beberapa kali dilihat bias dengan 'menghentam' Khalid terutama di dalam isu kalimah Allah sekalipun terbukti pendirian Khalid sejajar dengan pendirian parti. Sedangkan pendirian Tuan Ibrahim sendiri mengenai isu kalimah Allah lansung terpesong dari pendirian parti.


PAS arah Khalid Hentikan Kenyataan Tak Selari Dengan Parti

PAS mengarahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad supaya berhenti daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang bertentangan dengan pendirian parti berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Yang Dipertua PAS Shah Alam itu juga seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangannya bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan di kalangan ahli dan juga masyarakat.

"Dalam isu ini saya fikir YB (Yang Berhormat) Khalid perlu lebih berhati-hati.

"Isu ini sangat sensitif, kalau kita tersalah memberi pandangan, impaknya sangat besar," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perbalahan terbuka antara Khalid dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berhubung keputusan kontroversi Mahkamah Tinggi itu.

Media hari ini melaporkan bahawa Zulkifli mendesak supaya Khalid keluar dari PAS dan menyertai parti lain termasuk DAP kerana menyokong keputusan tersebut.

Zulkifli juga mendakwa kenyataan Khalid itu telah merosakkan imej PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Desakan Zulkifli itu dibuat sebagai respons kepada kenyataan awal Khalid yang dimuatkan dalam blognya iaitu Allah bukan Tuhan kepada orang Islam semata-mata tetapi Tuhan kepada seluruh alam semesta, termasuk orang bukan Islam dan Rasulullah tidak pernah menghalang penggunaan perkataan Allah oleh orang bukan Islam.

Katanya, al-Quran sendiri mempunyai banyak ayat yang menunjukkan bahawa orang bukan Islam, sama ada golongan Musyrikin, Yahudi mahu pun Nasrani menggunakan perkataan Allah apabila mereka memaksudkan Tuhan semesta alam.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS beranggapan bahawa kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam itu merupakan pandangan peribadinya dan tidak mewakili parti.

"Itu hanyalah pandangan peribadi beliau, bukan pandangan PAS secara keseluruhannya," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengambil sebarang tindakan terhadap Khalid, Tuan Ibrahim berkata: "Saya fikir tak perlulah sampai nak ambil tindakan disiplin terhadap beliau.

"Kita dalam PAS sentiasa mengamalkan dasar terbuka apabila mengeluarkan pandangan, tapi dalam hal ini beliau bercakap mengikut pandangannya berdasarkan hukum ciptaan iaitu tuhan kepada semua manusia ialah Allah."

Mengulas sama ada tindakan Khalid itu akan menjatuhkan imej PAS kerana masyarakat melihat wujudnya perselisihan pandangan di kalangan pemimpin parti itu terutamanya dalam isu-isu sensitif, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sememangnya tidak menyekat kebebasan bersuara.

"Kita tak sekat ahli-ahli PAS yang ramai ini untuk memberi pandangan, tapi pandangan yang menjadi dasar PAS adalah datang dari enam peringkat tertinggi dalam parti iaitu Mursyidul Am dan timbalannya, Presiden dan timbalannya, Setiausaha Agung serta Ketua Penerangan.

"Kenyataan mereka ini kita anggap sebagai kenyataan rasmi parti," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim lagi, pendirian PAS adalah jelas bahawa parti itu sememangnya membantah kebenaran yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi itu berhubung penggunakan kalimah Allah.

"PAS membantah sekeras-kerasnya mengenai perkara ini dan kami menyokong semua usaha termasuk rayuan yang akan dilakukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap keputusan itu," katanya. -MSTAR


Pendirian parti:

Beliau (Presiden PAS - TG Abdul Hadi Awang) yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengulangi ketetapan PAS seperti yang diputuskan oleh Lajnah Politik dan tulisannya sebelum ini.

"Pandangan kita (PAS) seperti yang saya tulis sebelum ini, seperti yang diputuskan (dalam Lajnah Politik) sebelum ini," jelasnya.

"Kita tidak boleh melarang mereka (penganut agama samawi) menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri walaupun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita," dipetik dari kenyataan rasmi Ustaz Abdul Hadi pada 7 Januari lalu.


Ini kenyataan Tuan Ibrahim pula:

Tambah Tuan Ibrahim lagi, pendirian PAS adalah jelas bahawa parti itu sememangnya membantah kebenaran yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi itu berhubung penggunakan kalimah Allah.

"PAS membantah sekeras-kerasnya mengenai perkara ini dan kami menyokong semua usaha termasuk rayuan yang akan dilakukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap keputusan itu," katanya. -MSTAR

Dari pendirian itu ternyata Tuan Ibrahimlah yang perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin.




12 ulasan:

As Syahid Furqan Dogan berkata...

salam wahai pak cik GB,,, pak cik saje je nak lage kan tuan ibrahim tuan man dengan tg haji hadi...isy..isy..isy..busuknye hati pak cik GB....pak cik GB kene paham ustaz tuan ibrahim tuan man beri pandangan berhubung kes mahkamah membenarkan majalah herald guna kalimah ALLAH, TG haji hadi pula beri pandangan pasal dari sudut kaedah Islam.....tu pun x paham ke.......pak cik GB, saya nasihatkan pak cik rajin g kuliah agama dan rajin hafal al quran....baru hati tu bersih sikit,,,,

Tanpa Nama berkata...

erdogan di atas nak menyamar sebagai ahli kumpulan erdogan nak belasah GB lagi

bila plak GB melagakan kedua pemimpin itu?

Apa yang majoriti ahli PAS lihat (yang buta cuma puak UG) Mereka sememangnya dah pun berlaga. Kenyataan Tn Ibrahim menyalahi pendirian PAS Pusat.

Anda menyatakan "TG haji hadi pula beri pandangan pasal dari sudut kaedah Islam", habis Tn Ibrahim ber pandangan dari sudut kaedah bukan-Islam?

Hai-hai busuk hati GB yek sedangkan hati kamu terlebih jauh busuknya.

Ahli PAS Shah Alam berkata...

Pecat Khalid Samad dan kekalkan Hassan Ali. Ramai yang akan bertindak keluar parti.

Tanpa Nama berkata...

cukuplah abang GB, jangan jadi blog celaka. Kenapa kita nak hangatkan perpecahan... Hormat ulama, jom usrah dan jom baca al Quran.

ridhwan

Tanpa Nama berkata...

kalau attend usrah dan baca quran tetapi biarkan ketidak-adilan dan kezaliman terus berpuaka di dalam jemaah itu mnunjukkan usrah dan bacaan tidak bererti dan bermakna.

saya sokong GB bersihkan parti dan jemaah ini.

Tanpa Nama berkata...

AKU SETUJU
JIKA ASYIK DGN USRAH TAPI HAL EHWAL JEMAAH DAN ISU SEMASA TAK DIIKUTI JADILAH AHLI PARTI YANG JUMUD.

PAS TAKKAN MAJU GITU

Tanpa Nama berkata...

ridhwan, blog celaka ialah blog yang mengampu dan blog yang berdiam diri di atas segala perkara yang merosakkan jemaah....

Tanpa Nama berkata...

kalian semua berjemaah, selesai cara berjamaah. Media terbuka tidak sesuai tuan. Tuan pun tahu adab berjemaah. Ikut cara ditentukan jemaah.

cukuplah abang GB.

Mari menulis untuk dapat pahala

ridhwan

Tanpa Nama berkata...

kesian sahabat yang mengutuk ustaz nasa dan TGHH, kononnya sokong TGNA. Tapi kini kutuk TGNA pula. Apa ni sahabat.

ucaplah alhamdulillah jika orang tak terima cadangan atau komentar kita.

Ucaplah istigfar jika orang menerima saranan kita..

isu Dalaman selesai cara dalaman..

media terbuka memburuk suasana. baik diam.

virus Kemuncup seperti orang PAS yang memasuki HAMIM dan BERJASA akan secara sendiri akan tercabut.

percayalah abang. abang lebih tahu tentang perjuangan ini drp saya...

ridhwan

Tanpa Nama berkata...

abis yang tn ibrahim tegur Khalid, beri amaran kepada khalid melalui akhbar tu apa pasal ridhwan. kenapa beliau x guna saluran dalaman?

Tanpa Nama berkata...

Tarikh Tuan Ibrahim Tuan Man buat kenyataan itu bila ye? tarikh kenyataan rasmi dikeluarkan bila??? Ya Allah,Alangakah baiknya jika tangan yang menulis ni tak di bakar api nerakaMu Ya Allah.

Unknown berkata...

Anonymous 7.58 berkata:
Tarikh Tuan Ibrahim Tuan Man buat kenyataan itu bila ye? tarikh kenyataan rasmi dikeluarkan bila???

Sekalipun selepas tarih kenyataan rasmi pas dikeluarkan pada 12 Jan, namun selepas dari tarikh itu Tuan Ibrahim masih keluarkan kenyataan yang menyalahi pendirian parti pada 17 Jan.

Anon boleh rujuk kenyatannya di sini.

Justeru itu saya berlepas tangan terhadap doa sdra "Alangakah baiknya jika tangan yang menulis ni tak di bakar api nerakaMu Ya Allah".

Tangan sdra dikhuatiri akan dibakar api neraka.