18 Mei 2009

UMNO BN Angkat Bendera Putih Di Penanti

Akhirnya UMNO-BN membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang dijadual 31 Mei ini.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.

Malah PKR juga telah mengumumkan calon mereka untuk bertanding di Penanti iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr. Mansor Othman, 56.

Selain PKR, calon bebas, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, turut menyatakan hasrat untuk bertanding.

Najib bagaimanapun sebelum ini pernah membayangkan bahawa BN mungkin tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil Penanti yang dijadual pada 31 Mei ini.

Sementara itu Bernama melaporkan pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang telah menjual empat borang pencalonan untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kawasan Penanti setakat ini, kata pengarahnya Morat Pora.

Beliau berkata sejak SPR mengumumkan kekosongan kerusi itu berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin dariapda Parti Keadilan Rakyat baru-baru ini, empat individu telah datang ke pejabat SPR di Komtar untuk membeli borang berharga RM20 itu.

"Kita tidak tahu borang itu untuk siapa kerana ia boleh dibeli oleh sesiapa sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.



Tiada ulasan: