7 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Koh Minta SPRM Jahit Mulut Masing-masing Mengenai Kes Teoh

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon Isnin meminta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan pegawai-pegawai kanannya mengelak dari mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejas siasatan kematian Teoh Beng Hock.

Koh berkata adalah tidak wajar bagi mereka mengeluarkan komen terhadap sebarang kes yang sedang disiasat.

"Mereka hendaklah lebih sensitif terhadap perasaan keluarga Teoh yang kehilangan orang yang disayangi, tidak kira sebab kematiannya yang menjadi topik siasatan," kata Koh dalam satu kenyataan.

Koh memberikan respons terhadap kenyataan Ahmad Said bahawa Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong mempunyai beberapa kes suspek membunuh diri.

"Walaupun ini mungkin kenyataan fakta berkaitan ICAC, komen terbuka oleh ketua MACC pada ketika siasatan sedang berjalan boleh dianggap cuba mengandaikan bahawa bunuh diri mungkin menjadi sebab kematian Teoh, sedangkan siasatan belum mencapai keputusan konklusif," kata beliau.

Beliau berkata orang ramai mengharapkan hasil konkrit oleh MACC dalam memerangi rasuah, satu daripada enam bidang pencapaian utama nasional yang diumumkan Perdana Menteri.

Koh, yang bertanggungjawab menangani soal perpaduan nasional dan prestasi, adalah juga pengerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pencapai (Pemandu) di Jabatan Perdana menteri.

Koh berkata pegawai-pegawai MACC boleh menjelaskan kepada orang ramai mengenai dasar, perkara prosedur dan perangkaan kes yang disiasat.

"MACC mesti bebas dan dilihat bersifat demikian, dalam pengendalian sebarang kes,' ujar Koh.

Teoh, seorang pembantu politik kepada anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai selepas beliau disoalsiasat oleh MACC di bangunan yang sama. -Bernama

Tiada ulasan: