6 Ogo 2009

Kes teoh Beng Hock : Ahli Kimia Mengaku Tak Jalankan Ujian Adrenalin'

Seorang ahli kimia mengaku tiada ujian dijalankan untuk mengesan peningkatan kadar enzim 'adrenalin' dalam badan Teoh bagi menentukan sama ada mangsa berada dalam keadaan cemas sebelum kematiannya, Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu.

Zairaha Awang, 42, yang memberikan keterangannya sebagai saksi ketujuh dalam inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh, berkata beliau hanya melakukan ujian toksikologi bagi mengesan kehadiran alkohol dan dadah biasa saja daripada empat sampel Teoh seperti yang diminta pihak polis.

Zairaha berkata, ujian toksikologi dilakukan bagi mengetahui sama ada terdapat kesan racun atau sebarang bahan berbahaya ke atas sampel biologi sama ada pada haiwan ataupun manusia.

Bagaimanapun katanya, hasil ujian dilakukan terhadap dua sampel darah, air kencing dan isi perut menunjukkan tiada kesan alkohol atau dadah biasa ditemui dalam badan Teoh, yang membuktikan beliau bukanlah mati akibat diracun, mabuk atau berada di bawah pengaruh dadah.

Menjawab soalan peguam pemerhati keluarga Teoh, Zaraiha bersetuju jika seseorang berada dalam keadaan 'stress' atau tertekan, ketika jatuh dari bangunan yang tinggi, ia akan menyebabkan tahap kandungan adrenalin dalam badan meningkat.

Zairaha juga bersetuju dalam kes itu, beliau tidak melakukan ujian untuk memastikan tahap kandungan adrenalin Teoh kerana ia tidak diminta oleh pihak polis, selain meneliti latar belakang kes itu daripada laporan polis yang menunjukkkan Teoh mati akibat terjatuh daripada bangunan tinggi.

"Saya fikir adrenalin bukanlah tergolong dalam keadaan dadah biasa kerana ia muncul secara semulajadi dalam badan. Ujian toksikologi tidak termasuk ujian bagi mengesan kehadiran adrenalin," katanya.

Zairaha bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Gobind, bahawa beliau mungkin akan meminta individu lain yang boleh menjalankan ujian adrenalin jika pihak polis memintanya untuk melakukan ujian itu.

Tiada ulasan: