6 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Teoh Beng Hock Bebas Alkohol Atau Dadah (updated)

Mayat setiausaha politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, mendiang Teoh Beng Hock bebas dari alkohol atau dadah.

Demikian keterangan saksi ke 7, Zaihara Awang (gambar) yang bertugas sebagai Ahli Kimia, Jabatan Petaling Jaya semasa prosiding inkues kematian mendiang yang masuk hari ke 2 hari ini.

Zaihara memberitahu mahkamah hasil daripada analisisnya tidak terdapat apa- apa kandungan alkohol atau dadah dalam kandungan darah, air kencing dan kandungan perut dari spesimen mendiang berusia 30 tahun itu.

Peguam keluarga mendiang, Gobind Singh Deo menyoal Zaihara samada beliau membuat kajian dengan mengambil kira kemungkinan lain yang menyebabkan kematian mendiang. Beliau bertanya mengenai kemungkinan terdapatnya kandungan adrenalin yang tinggi jika seseorang itu hampir jatuh atu ditolak dari tempat yang tinggi dan Zaihara menjawab dengan mengiyakan soalan Gobind.

Zaihara menjelaskan Adrenalin bukanlah satu jenis dadah biasa dan ia hanya dihasilkan secara semula jadi dalam badan.

Mahkamah tegang seketika apabila peguam negara Tan Hock Chuan membantah soalan Gobind.

Gobind kemudiannya membalas dengan bertanya mengapa perkataan "ditolak" dan 'bunuh diri" tidak boleh digunakan memandangkan inkuiri ini diadakan bagi menyiasat punca kematian mendiang.

Majistret bagaimanapun menerima bantahan pendakwaraya.

Gobind kemudian mempersoalkan mengapa Zaihara tidak membuat ujian adrenalin sejurus saksi ke 7 itu menjawab pihak polis tidak mengarahkannya berbuat demikian.

Gobind bertanya sama ada beliau akan menjalan ujian tersebut jika diminta oleh pihak polis, Zaihara berkata, ujian toksikologi tidak termasuk ujian adrenalin.

Prosiding inkues hari ini bermula dengan mahkamah sekali lagi memanggil saksi ke 6, Abdul Rahman Rahim. Semalam majistret Azmil Mustapha Abbas meminta pihak peguam mengemukakan buku catatan keluar masuk bangunan Plaza Masalam Shah Alam berikutan saksi ke 6 mengatakan buku berkenaan tidak diisi sejak berbulan lalu.

Abdul Rahman mengesahkan bahawa buku itu tidak dikemaskini setiap masa. Melalui buku ini, inkues berharap dapat menemui siapa yang mendapat akses ke bumbung tingkat lima Plaza Masalam, dimana mayat mendiang ditemui.

Enam saksi telah dipanggil memberi keterangan semalam. Mereka terdiri daripada pengawal keselamatan di bangunan Plaza Masalam, seorang juruteknik dan seorang anggota polis dari balai Shah Alam.

Mahkamah berhenti rehat setengah jam sejurus memanggil saksi ke 8 iaitu Ahli Kimia di Jabatan Kimia Malaysia, Saiful Fazami Mohd Ali. Saiful bertugas di Seksyen Kriminalistik bahagian forensik Jabatan Kimia Malaysia.

Saksi ke 8 ini kemudiannya mengecam bahan kes yang diserahkan kepadanya untuk dianalisis sebelum dilepaskan dari kandang saksi. Bahan- bahan tersebut termasuklah sehelai seluar yang berlumuran darah, sebatang skru 5cm panjang, seutas jam tangan, pin penyambung jam tangan, klip logam, butang logam serta pelapik kaki lima.

Mahkamah kemudiannya memanggil saksi ke 9, DR Seah Lay Hong yang bertugas sebagai Ahli Kimia di Seksyen Scologi DNA sebelum mahkamah berhenti rehat dan perbicaraan disambung semula pada pukul 2.25 petang.

Dr Seah mengandaikan sample DNA yang dijumpai pada mayat mendiang kemungkinan milik 2 individu yang berlainan. Mengulas kenyataan itu Gobind berkata,

"Dr Seah memberitahu mahkamah tentang hipotesis berkaitan 3 sampel DNA yang dijumpai dikawasan jaket dan tali pinggan mendiang. Ini menguatkan teori bahawa 2 atau 3 orang pegang tali pinggan dia, kemungkinanlah. Esok majistret akan melawat kawasan kejadian di bangunan Plaza Masalam. Lusa kita akan dengar keterangan dari pakar patologis," katanya.

Mahkamah kecoh seketika apabila Gobind mempersoalkan Dr Seah yang membuat analisis tanpa langsung melihat foto keadaan mayat mendiang ditemui. Gobind mengandaikan bahawa Dr Seah menjalankan analisa mengikut arahan polis.

"Pada saya untuk dapat gambaran yang lebih tepat semasa menganalisis punca kematian mendiang ialah dengan melihat gamba mendiang. Ini menjadi perkara yang hangat dalam perbicaraan tadi," tambahnya lagi.

Perbicaraan disambung dengan Dr Seah diminta menyerahkan barang kes yang diujinya. Antara barang kes tersebut ialah spesimen rambut, kepala, kuk, pemotong kuku, kad FTA, sepasang kasut hitam, sebatang gigi, stik swab.

Turut sama diuji ialah, kemeja lengan pendek warna kelabu, blazer hitam, tali pinggang, seluar dalam warna kelabu dan sarung kaki warna biru kelabu.

Majistret Azmil memutuskan menangguh perbicaraan inkues ini ditangguh esok. -TVA




Saksi: Teoh mungkin dipegang lebih 2 orang sebelum jatuh

Dr Seah sahkan ada 3 sampel DNA lelaki tidak dikenali

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK, MSTAR

SHAH ALAM: Saksi kesembilan inkues kematian Teoh Beng Hock, Dr Seah Lay Hong mengesahkan terdapat sekurang-kurangnya tiga sampel DNA lelaki yang tidak dikenali diambil daripada kesan tali pinggang yang terputus milik si mati.

Semasa memberi keterangan kepada mahkamah hari ini, Dr Seah juga tidak menolak kemungkinan bahawa Teoh telah dipegang oleh lebih daripada dua individu lain sebelum terjatuh dari tingkat 14 bangunan Plaza Masalam dekat sini.

Beliau sebelum itu menjawab soalan peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo berhubung laporan ujian DNA yang dilakukannya keatas tali pinggang milik si mati yang menyebut terdapat sekurang-kurangnya satu lagi DNA lelaki yang tidak dikenali.

"Apa maksud anda dengan mengatakan sekurang-kurangnya?" soal Gobind.

Kemudian Dr Seah menjawab: "Ya, jumlah yang kecil atau juga mungkin lebih... bagaimanapun jika nak katakan ada DNA keempat, ia mungkin agak lemah."

Dr Seah merupakan seorang pakar DNA yang berkhidmat di Jabatan Kimia Malaysia.

Beliau adalah salah seorang daripada tiga ahli kimia yang dipanggil hari ini sebagai saksi.

Minggu lalu Mahkamah Majistret Shah Alam diberitahu bahawa satu sampel DNA milik seorang lelaki yang tidak dikenali telah ditemui di bahagian belakang kot dan tali pinggang Teoh.

Peguambela dan peguamcara, Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan ketika prosiding inkues minggu lalu berkata, laporan DNA pertama daripada spesimen yang diambil di bahagian luar kot yang dipakai Teoh mendapati terdapat campuran DNA daripada dua individu iaitu yang menyamai spesimen darah Teoh dan seorang lelaki yang tidak diketahui.

Bagi mendapatkan penjelasana lanjut, Gobind kemudiannya bertanya kepada Dr Seah sama ada beliau turut menjalankan ujian terhadap baju atau barang-barang lain yang dibekalkan kepadanya terutamanya di bahagian pinggang, beliau berkata ujian tidak dilakukan secara keseluruhannya.

Jelasnya beliau menjalankan ujian DNA terhadap bahagian-bahagian tertentu pada pakaian si mangsa yang tidak terdapat kesan darah.

Gobind terus mengasak Dr Seah dengan soalan sama ada beliau yang mempunyai kepakaran mengenai DNA tidak berusaha untuk mendapatkan rakaman foto kedudukan si mati ketika ditemui bagi memberi gambaran yang jelas.

"Tadi kamu kata berdasarkan hipotesis kamu, didapati si mati mungkin dipegang oleh lebih daripada dua orang sebelum terjatuh.

"Jadi mengapa kamu tidak minta dibekalkan foto rakaman si mati ketika ditemui daripada pegawai penyiasat agar kamu boleh buat hipotesis dengan lebih jelas?" soal Gobind.

Dr Seah kemudiannya menjawab: "Saya tidak dibekalkan dengan foto-foto berkenaan".

Gobind bagaimanapun mempersoalkan mengapa Dr Seah tidak berusaha untuk mendapatkan foto-foto berkenaan jika ia boleh membantu beliau memberi gambaran yang lebih jelas.

"Saya hanya jalankan ujian terhadap barang-barang kes yang dibekalkan kepada saya, saya tak minta foto-foto berkenaan kerana saya fikir ia mungkin rahsia bagi kes ini," tegas Dr Seah.

Gobind kemudiaanya naik berang dengan bertanya: "Kamu tak cuba minta, bagaimana kamu nak tahu sama ada ia rahsia ataupun tidak?"

"Setuju ataupun tidak jika saya katakan dengan adanya foto-foto berkenaan ia akan lebih membantu anda membuat hipotesis terhadap kes ini?"

Jawab Dr Seah: "Ya setuju, tapi saya tidak dibekalkan."

Dr Seah kemudiannya lantas bertanya kembali kepada Gobind: "Boleh saya tahu adakah terdapat bahagian-bahagian tertentu yang saya tak jalankan ujian DNA dalam konteks kes ini?"

Soalan spontan Dr Seah itu mengundang gelak tawa sidang mahkamah termasuk Koroner Azmil.

Kemudian Tan bangun bertanya kepada Dr Seah sama adakah penyerahan rakaman foto si mati kepada ahli kimia sepertinya yang bertanggungjawab untuk menjalankan ujian DNA merupakan sesuatu prosedur normal.

Dr Seah berkata: "Tidak... ia bukan sesuatu yang normal."


1 ulasan:

me berkata...

Hmmm... last skali dia dibunuh oleh hantu atau alien....tgk la nanti...