6 Ogo 2009

Kes Teoh Beng Hock : Timb Pengarah SPRM Sngor Ada Dalam Rakaman CCTV


Gambar Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Hishamuddin Hashim antara yang diperoleh daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lobi Plaza Masalam, Seksyen 9, di sini pada awal pagi hari, Teoh Beng Hock ditemui mati 16 Julai lalu.

Perkara itu dinyatakan peguam Tan Hock Chuan yang mengendalikan prosiding inkues semasa merujuk gambar nombor 35 itu kepada pengawal keselamatan, Abd Rahman Rahim yang bertugas dari jam 4 hingga 8 pagi hari tersebut.

Sementara itu, peguam Cheow Wee yang mewakili Majlis Peguam sebagai peguam pemerhati berkepentingan merujuk gambar sama dan bertanya sekiranya ada Abd Rahman, saksi keenam pernah melihat Timbalan Pengarah berada di situ pada waktu serupa hari berlainan.

Hock Chuan juga merujuk Abd Rahman, 51, kepada tiga gambar lain yang diperoleh daripada CCTV yang memfokuskan lif di lobi tingkat empat bangunan itu yang mana saksi sekadar mengenal dua lelaki dalam gambar itu bekerja di SPRM.

Bagaimanapun, Hock Chuan memberitahu tiga gambar itu ialah imej pegawai SPRM dikenali sebagai Asyraf yang menemu bual mendiang, pegawai SPRM dipercayai orang terakhir melihat mendiang masih hidup dan juga seorang lagi pegawai SPRM.

Sementara itu, rakan sekerja Abd Rahman, Wan Rosli Wan Adam, 38, yang bertugas di lobi daripada jam 12 tengah malam hingga 4 pagi, juga mengecamkan beberapa pegawai SPRM yang mana menurut Hock Chuan salah seorang ialah pegawai yang menemu bual mendiang.

Semua gambar dikemukakan pada hari kedua prosiding inkues siasatan kematian Beng Hock, 30, di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas. Hock Chuan mengendalikan prosiding inkues bersama Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abbas dan peguam Justin Wee dan Cains Tan.

Selain itu, Wan Rosli, saksi kelima yang berpengalaman empat tahun bertugas di plaza itu juga melihat beberapa pegawai SPRM keluar masuk di bangunan itu .

Ketika disoal peguam Gobind Singh Deo, Wan Rosli memberitahu, sudah menjadi kebiasaan untuk SPRM yang menduduki Tingkat 14 dan sebahagian ruang Tingkat 15 plaza itu bekerja lewat malam sehingga awal pagi

Dia juga memberitahu tidak ada cara untuk naik ke bumbung plaza itu kerana pintu laluan di Tingkat 20 dan juga koridor di tingkat lima berkunci.

Tiada ulasan: