4 Jun 2009

Markah Bonus UMNO Untuk Husam Musa

Asalnya pilih satu antara dua amatlah susah, sekarang kena pilih satu antara 3, lagi tambah senak. Bukan risau akan yang tidak terpilih terguris, yang wajar dirisaukan sangat ialah sama ada para penyokong mereka dapat terima hahikat.

Antara Nasharuddin, Husam dan Mat Sabu (susunan nama tanpa prejudis lah)semuanya pemimpin berkaliber, teruji dan harus terus diketengahkan tanpa boleh seorang pun daripada mereka dipencil selepas pemilihan.

Ketiga-tiga mereka mempunyai karektor berlainan, tapi satu arah perjuangan. Mat Sabu sekian lama tergambar sebagai pemimpin yang tahan lasak, berjuang secara akar umbi, bersama akar umbi meredah halangan polis, bersama diheret dari jalan raya ke black maria.

Beliau jenis pemimpin yang tahan cuaca seperti cat PAR, kalau dalam tentera beliau ni jenis yang di tempatkan di barisan hadapan, menangkis serangan.

Nash (agak glamour juga disebut gini) berimej sederhana, bukan jenis pertahanan hadapan. Penampilannya yang ramah, senyum sokmo memang mudah didampingi. Beliau ni jenis senang diajak bicara, kalau dalam tentera beliau ditempatkan di mes pertahanan mental.

Bahasanya yang lembut mudah saja lembutkan stress anggota tentera pelbagai bahagian. Kemesraan yang memancarkan rasa ikhlas itu mudah saja menaikkan semangat juang anggota tentera yang memerlukan bimbingan agama dan kaunseling disiplin.

Husam? Beliau ada karektor lasak yang dimiliki Mat Sabu, berani lancar serangan, malah tidak gentar berlawan secara langsung di TV. Cuma, beliau bukan jenis yang merempuh kawalan polis, tidak juga mengepalai perarakan seperti Mat Sabu. Beza cara Husam ialah beliau lebih dilihat sebagai pemimpin, Mat Sabu pula memimpin.

Kalau Nash digambar sebagai antara pemimpin Pas yang menjana semangat ahli ala cikgu sekolah, Husam pula menjana semangat juang menerusi perancangan nekad. Beliau lebih tergambar sebagai antara pemimpin Pas yang kalau dalam tentera beliau adalah jeneral yang memerah otak menyusun serangan dengan pelbagai perangkap menjerat musuh.

Inilah bezanya mereka, sama junjung perjuangan Pas, cuma berbeza cara pelaksanaan.

Ada rakan yang terus-terusan asak saya jawab siapa lebih layak, siapa perlu diangkat untuk jawatan Timbalan Presiden Pas. Jawabnya semua, cuma yang akan menang nanti merupakan yang telah mendapat kelebihan markah dari luar kawalan ahli Pas sendiri.

Nyata setakat ini ialah, Husam mendahului markah bonus tersebut. Semalam dia mendapat markah bonus yang dihulur orang luar, UMNO apabila Nozula minta maaf kerana menfitnah Husam dengan dakwaan rasuah.

Nozula minta maaf secara publisiti meluas dalam akhbar arus perdana. yang hebatnya ialah bukan sidang akhbar tapi iklan notis. Habis satu Malaysia tahu bahawa Husam bukan perasuah, Husam adalah pemimpin Pas yang bersih dan disahkan oleh musuh, UMNO. Hebatkan?

Belum, yang hari ini lagi hebat apabila tidak cukup dengan iklan tersebut, Nozula jumpa Husam minta maaf secara bersemuka pula, tambah lah lagi bonus untuk Husam bahawasanya iklan semalam adalah benar, bukan Husam yang bayar untuk promosi diri.

Kehebatan berlipat ganda, muncul mula Adhan Kechik, lawyer UMNO minta maaf kerana menjadi regu Nozula fitnah Husam pada tahun 2007. Selesai sudah episod bermaaf-maafan sebelum menjelang Syawal.

Yang indah dalam episod ini bukan kemenangan bergaya Husam, yang indah ialah Husam satu-satunya pemimpin Pas, musuh semusuh musuhnya UMNO itu diakui tidak terbabit dengan rasuah sepanjang berada dalam kabinet pemerintahan Kelantan. Yang mengiktiraf ialah orang UMNO, bukan seorang tetapi dua orang.

Kalau orang UMNO sudah sahkan Husam ini bersih hati nuraninya, kuat imannya, maka apa kata orang Pas sendiri? Masihkah ragu-ragu menambahkan markah bonus buat Husam.

Akhir kata, teringin sangat saya berpesan kepada rakan saya yang asak saya jawab soalan dia, harap tolong saya bertanya soalan cepumas kalau jumpa Nozula atau Adhan, tanya mereka kenapa sepanjang 730 hari yang ada dipilih juga sekarang untuk minta maaf dengan Husam. Kebetulan atau terancang, ikhlas atau bersyarat? Soalan tanpa prejudis, saja nak tahu. -FUAZI IRWAN SHAH


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sebenarnya kisah Nozula minta maaf kerana menfitnah Husam dengan dakwaan rasuah memang patut kita terima dengan hari terbuka. Perbuatan seperti itu telah membersihkan nama Husam dari dihukum sebagai bersalah.

Namun perlu diingatkan kepada "saudara Husam", kita tidak boleh teruja sangat diatas apa yang telah dilakunkan oleh Nozula jumpa saudara minta maaf secara bersemuka itu, kerana kita perlu ingat kata-kata Perdana Menteri Malaysia terhadap rakyat negeri Perak "jangan teruja sangat dengan kemenangan Mohammed Nizar di mahkamah tinggi sebagai Menteri Besar Perak..."

Selalunya kita hanya berwaspada pada orang jahat saja, tapi kita leka dengan orang yang berpura-pura baik.....!