Buktinya, sekalipun desakan demi desakan dan keritikan demi kritikan dilontarkan, hanya baru-baru ini kepimpinan PAS mengambil langkah untuk mewujudkan satu konvensyen anjuran Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat baru-baru ini.
Seperti yang ditegur oleh Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berkata, sepatutnya kelab Penyokong PAS itu sudah lama dijadikan sayap parti.
Kelab GB sebelum ini pernah menyuarakan tentang sikap dingin PAS terhadap Kelab Penyokong PAS yang leka dengan kemenangan serta leka dengan usaha-usaha mewujudkan kerajaan campuran/gabungan tetapi melupakan hal-hal yang lebih penting.
Hal ini pernah dibangkitkan oleh Penasihat Kelab Penyokong PAS (KPP), Hu Pang Chow yang mengkritik tindakan pemimpin PAS yang didakwanya "tidak serius" untuk membuka penyertaan bukan Islam ke dalam parti tersebut, menyebabkan pelaksanaannya menjadi lambat.
Presiden dan Timbalan Presiden PAS nampaknya lebih gemar mengutarakan gagasan kerajaan campuran atau kerajaan gabungannya dengan UMNO daripada memberikan tumpuan memperkasakan Kelab Penyokong PAS dan ini telah menimbulkan kekecewaan kepada para ahli yang selama ini bertungkus-lumus berusaha menjalinkan persefahaman dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat serta berusaha memasyarakatkan PAS terutama kepada bukan Islam.
"Kita masih hairan dengan kepimpinan PAS yang tidak pro-aktif di dalam menyelesaikan isu-isu yang penting dan yang melibatkan jemaah tetapi sebaliknya lebih menumpukan di dalam hal-hal yang mereka mempunyai kepentingan seperti isu kerajaan campuran dan seumpamanya," tegas seorang pemimpin PAS peringkat kawasan yang ditemui di muktamar hari ini.
"Kelab Penyokong PAS telah ditubuhkan sejak tahun 2004 lagi dan kini sudah 2009, ia tak dapat diselesaikan, ia jelas menunjukkan kealpaan pemimpin untuk mengiktirafkan sokongan kaum bukan-Islam terhadap PAS. Jangan sampai nanti mereka melarikan diri akibat kelemahan kita," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan