25 Mei 2009

Husam Musa Sahkan Tanding Timbalan Presiden PAS

Naib Presiden PAS, Datuk Paduka Husam Musa mengesahkan beliau akan bertanding merebut jawatan merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu minggu depan.

Selain Husam, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dijangka akan mempertahankan jawatan tersebut.

"Saya buat keputusan muktamad pagi tadi...saya dah serahkan borang terima pencalonan sebentar tadi," kata Husam pada sidang media di sini hari ini.

"Saya yakin bahawa gandingan yang mantap boleh membantu Datuk Seri Tuan Guru memimpin PAS terus-menerus menerokai kemajuan dan pembukaan sehingga berjaya dari segi politik menggantikan tempat Umno sebagai teraju utama negara pada masa akan datang," katanya.

"Penolakan ke atas Umno adalah kerana sifat perjuangannya yang memisahkan aktiviti pemerintahan daripada hitungan akhirat dan bimbingan wahyu, yang membawa kepada berleluasanya korupsi, penyelewengan dan salah guna kuasa serta hilang puncanya
Umno dalam isu hubungan kaum dan agama di Malaysia."

Husam memberitahu beliau telah memaklumkan pendiriannya kepada Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat pagi tadi dan akan berbuat demikian apabila menemui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tengah hari ini.

Nasharuddin, Timbalan Presiden PAS sejak dua penggal, pagi tadi juga mengesahkan akan mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga.

Seorang lagi naib presiden Mohamad Sabu juga berminat jawatan nombor dua PAS.

Beliau dijangka mengesahkan bertanding hari ini, hari terakhir semua calon berbuat demikian menjelang pemilihan parti di muktamar tahunannya di Shah Alam bermula 5 Jun ini.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar juga mengesahkan bertanding jawatan naib presiden.

Seramai 16 pemimpin dicalonkan untuk merebut tiga jawatan kanan tersebut. Bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan jumlah sebenar mereka yang berminat.

PAS akan mengumumkan pemimpin-pemimpin yang ingin bertanding dalam satu sidang akhbar khas, esok.


Tiada ulasan: