25 Mei 2009

Penanti : Calon Bebas, Aminah Sekadar Cari Publisiti Murahan

Dakwaan calon Bebas, Aminah Abdullah yang akan mengemukakan bukti Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuba menawarkan ganjaran kepada supaya menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini, dianggap sebagai publisiti murahan.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin berkata, bukan sifat dan prinsip PKR yang sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa membelakangi amalan demokrasi demi kemenangan.

Difahamkan, bekas pemimpin Wanita PKR terbabit juga tidak menolak kemungkinan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

Kata Badrul Hisham, terpulang kepada Aminah untuk meneruskan niatnya melaporkan perkara tersebut kepada SPRM atau sebaliknya.

“Biasalah calon Bebas pun perlukan publisiti untuk menonjolkan dirinya kepada pengundi di kawasan terbabit, barulah dikenali. Apa yang penting, pengundi mengenali dan mengetahui khidmat serta bakti yang dilaksanakan oleh PKR di kawasan terbabit.

“PKR tidak akan terjejas dengan kenyataan yang dibuat Aminah, malah ia akan terus menguatkan jentera penerangan memastikan kemenangan pada pilihan raya terbabit,” katanya.

Sementara itu di BANDARAYA MELAKA, Ahli Jawatankuasa Perhubungan PKR negeri, Abdul Wahab Ibrahim berkata, jika Aminah benar-benar menerima tawaran rasuah daripada pihak tertentu, dia seharusnya melaporkannya kepada SPRM dengan segera.

“Jika calon Bebas itu bercakap benar menerima tawaran daripada PKR, lebih elok dia membuat laporan segera kepada SPRM, tidak perlu tunggu lama.

“Kita yakin beliau hanya mahu mencari publisiti murahan sahaja menjelang kempen pilihan raya kecil itu. Hakikat sebenar, apa yang dikatakan itu hanyalah sekadar retorik kosong, yang mahu menjatuhkan imej bersih PKR terhadap pengundi di Penanti,” katanya.

Katanya, PKR adalah parti yang mendahulukan rakyat, bukannya wang.

“Oleh itu, saya merasakan bahawa dakwaan yang mengatakan ada ahli memberi rasuah kepada calon Bebas untuk tarik diri adalah satu pembohongan semata-mata.

“Saya yakin beliau berbuat demikian kerana mahu memburukkan PKR sahaja. Ini kerana kita yakin, PKR akan terus menang dan berjaya menawan Penanti dengan majoriti lebih besar,” katanya.



Tiada ulasan: