22 Apr 2009

SMS Ugut ADUN UMNO Terengganu : Seorang Kerani Di Selangor Di tahan

Mengikut laporan BERNAMA Seorang kerani syarikat swasta sedang disiasat berhubung penghantaran SMS berbentuk ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN seminggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Fauzi Abduri berkata, lelaki berusia 31 tahun itu diberkas di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, Selangor, pada 9.30 pagi dua hari lepas.

Pada 13 April lepas, tiga ADUN Barisan Nasional terdiri Datuk Rosol Wahid (Ajil) Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) membuat laporan polis selepas menerima SMS yang mengancam keselamatan mereka.

Penghantaran SMS itu, dipercayai merujuk kepada desas-desus mengenai pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang berlangsung minggu lepas.

Fauzi berkata, polis turut merampas komputer peribadi lelaki terbabit bagi membantu siasatan.

"Kita telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan dan insya-Allah ia akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat," katanya.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan pula berkata polis telah mengenal pasti bahawa SMS itu bukannya dihantar oleh pegawai kanan di pejabat Menteri Besar seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Ramai yang tertanya-tanya terhadap teka-teki bagaimana ADUN-ADUN Umno yang mendakwa mendapat SMS tersebut menuduh bahawa nombor penghantar itu kepunyaan pegawai di pejabat Menteri Besar Terengganu sedangkan yang ditahan hari ini ialah pemilik nombor itu kepunyaan seorang kerani di Selangor.



Tiada ulasan: