22 Apr 2009

Nizar Sifatkan Lelongan Camry Satu Pembaziran

Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak untuk melelong 16 buah kereta Toyota Camry yang digunakan exco Pakatan Rakyat sebelum ini sebagai satu pembaziran wang rakyat.

Mnurut laporan MSTAR Nizar berkata, kerajaan negeri yang baru itu sepatutnya menggunakan terlebih dahulu kereta tersebut dalam tempoh lima hingga enam tahun sebelum menjualnya memandangkan ia baru sahaja dibeli Januari lalu.

"Kereta itu semua masih dalam tempoh jaminan tiga tahun. Mengapa mahu melelongnya sedangkan ia masih baru dipakai?

"Pada saya, elok mereka gunakan dahulu kerana tindakan membeli kereta lain bagi menggantikan Camry itu adalah sesuatu yang membazirkan duit rakyat," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Semalam, kerajaan negeri Perak dikatakan akan melelong 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 yang sebelum ini digunakan sebagai kenderaan rasmi exco Pakatan ketika menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut kenyataan tender terbuka yang dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dihantar ke bahagian iklan sebuah akhbar berbahasa Melayu di Ipoh semalam, lelongan kereta itu akan berlangsung pada 4 hingga 18 Mei ini dan kereta-kereta tersebut boleh dibeli secara pukal atau seunit dengan harga rizab RM148,000 sebuah.

Mengulas lanjut, Mohammad Nizar berkata, kesemua kereta Camry tersebut dibeli oleh pihaknya bagi menggantikan Proton Perdana V6 yang telah empat tahun digunakan oleh kerajaan BN sebelum Pakatan menerajui kerajaan Perak pada Mac tahun lalu.

"Kita pakai tidak sampai setahun tapi kos penyelenggaraan untuk sebuah kereta V6 amat tinggi sehingga ada yang mencecah RM80,000, boleh beli sebuah kereta lain pula.

"Jadi kita ambil keputusan untuk menukar kenderaan rasmi kerajaan negeri kepada Camry kerana jika diikutkan harga, harganya hanya RM96,000 sebuah berbanding V6 yang berharga RM102,000.

"Selain itu, Toyota Camry lebih tahan lasak dan kos penyelenggaraannya juga lebih murah berbanding V6," katanya.

Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, pembelian Camry oleh Pakatan itu juga bukanlah satu kesalahan memandangkan kerajaan BN sebelum itu yang diterajui Datuk Seri Mohammad Tajol Rosli sememangnya telah mempunyai peruntukan untuk menukar kereta rasmi kerajaan negeri.

Katanya, beliau tidak tahu sama ada BN akan membeli kenderaan rasmi yang baru atau menggunakan Perdana V6 yang lama.

Nizar berkata, jika BN mahu terus mempersoalkan pembelian Toyota Camry itu yang dikatakan tidak mengikut dasar negara yang mahukan penggunaan kereta tempatan, beliau turut mahu mempertikaikan pembelian Mercedez sebagai kereta rasmi kerajaan negeri di Terengganu dan Volvo di Sabah.


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sekaranglah kereta ni ada sentimental value. Jual sekarang ramai nak beli dan dapat harga lebih baik daripada tunggu hingga 3 tahun. Nanti dah basi dan tak ade orang nak beli. Lagi satu penjimatan tak payah tanggung kos selenggara. Kereta import, kita tahu selalunya parts dia lagi mahal. Kita kena galakkan penggunaan part tempatan supaya rakyat ada kerja.

Tanpa Nama berkata...

hm....bijak sungguh pendapat anonymous, iyerker kos selengara kereta import mahal dr kereta tempatan? awat cek pernah pakai keta import ka? keta import lagi baik la kualitinya dr keta tempatan. tujuan mb baru perak tuh nak juai sbb nak amik duit tuh, then kalo pakai v6, kalo nak repair bole p repair kat kedai anak menakan dia atau kedai kroni dia...kan masyuk...hehehhee pikir2kanlah dan selamat beramal...hehe

Tanpa Nama berkata...

"...Jadi kita ambil keputusan untuk menukar kenderaan rasmi kerajaan negeri kepada Camry kerana jika diikutkan harga, harganya hanya RM96,000 sebuah...." - Nizar

"..kereta-kereta tersebut boleh dibeli secara pukal atau seunit dengan harga rizab RM148,000 sebuah.." - SUK Perak

beli keta rega 96k, tolak 148k. ni betol punya bisness