13 Mac 2009

Keputusan Rayuan Sivakumar Pulihkan Harapan Kerajaan Pimpinan Nizar

Keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V.Sivakumar boleh melantik peguamnya sendiri untuk mewakilinya dalam dua kes saman terhadapnya ekoran krisis kepimpinan di negeri itu telah dapat memulihkan harapan kerajaan Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Dato Seri Nizar untuk berdepan dengan kemelut politik yang berlaku ekoran rampasan kuasa oleh UMNO-BN oleh Najib Tun Razak di Perak.

Hakim Datuk Md Raus Sharif, Datuk Abdull Hamid Embong dan Datuk Ahmad Maarop hari ini telah sebulat suara berpendapat bahawa tidak ada peruntukan undang-undang yang menyatakan Speaker harus diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

"Seorang Speaker bukan merupakan pegawai negeri atau kerajaan negeri. Sivakumar bebas melantik peguam pilihannya," kata Raus dalam keputusan lisannya semasa membenarkan rayuan Sivakumar untuk mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh bahawa hanya Penasihat Undang-Undang Negeri sahaja boleh mewakilinya.

Pada 3 dan 5 Mac lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim enggan membenarkan peguam swasta mewakili Sivakumar.

Sivakumar kini berhadapan dengan kes saman. Yang pertama pada 2 Mac, dimana Menteri Besar lantikan UMNO, Datuk Dr Zambry Abd Kadir dan enam exconya telah memfailkan saman terhadapnya untuk menuntut perisytiharan bahawa keputusan Speaker menggantung dan menghalang mereka menghadiri persidangan DUN selama 18 bulan (Zambry) dan 12 bulan untuk ahli exco itu sebagai tidak sah.

Saman kedua dikemukakan terhadap Sivakumar oleh tiga Ahli DUN bebas Jamaluddin Md Radzi, Kapt.(B) Mohd Osman Jailu dan Hee Yit yang memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa kerusi DUN masing-masing di Behrang, Changkat Jering dan Jelapang tidak kosong dan mereka masih sah sebagai wakil rakyat.

Tommy Thomas, yang mewakili defendan iaitu Sivakumar dan anggota DUN pembangkang yang terkejut dengan keengganan Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim membenarkan peguam swasta mewakili Sivakumar sebelum ini turut hadir di mahkamah.

"Mereka membantah dengan menyatakan kami tidak mempunyai locus standi mewakili Sivakumar kerana Speaker adalah sebahagian daripada kerajaan dan hanya Peguam Negara atau peguam yang dilantik Peguam Negara boleh mewakili Speaker," katanya.

Tommy berkata Ridwan juga menolak hujah pihaknya bahawa akan berlaku konflik sekiranya penasihat undang-undang kerajaan negeri mewakili Speaker.

Ridwan juga, katanya, menolak permohonan mereka untuk menjadi peguam pemerhati dengan hak untuk mengemukakan hujah bagi pihak Speaker.

Dengan keputusan penal hakim di Mahkamah Rayuan hari ini, akan membolehkan Tommy Thomas mengetuai semula penal peguam yang akan mewakili Sivakumar. Selain Tommy, peguam lain yang turut mewakili Sivakumar termasuklah Can Kok Leong, Philip Koh Tong Ngee dan Augustine Antony.

Berita sebelum ini


Tiada ulasan: