11 Mac 2009

Isu PPSMI - Nik Aziz Bidas Hishamuddin

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas kenyataan Memteri Pelajaran Dato Seri Hishamuddin Hussein yang menuduh ada pihak mengambil kesempatan dari perhimpunan yang diadakan pada 7 Mac lalu.

Menurut Nik Aziz, pembabitan pembangkang dalam demonstrasi anjuran Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) bukan bertujuan mengambil kesempatan tetapi kerana mempunyai pandangan sama terhadap isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, disebabkan kedua-dua pihak iaitu pembangkang dan GMP mempunyai aliran yang sama maka berlakulah demonstrasi itu secara serentak.

"Ya lah, aliran pemikiran serupa, mana ada manusia yang cintakan bahasa tidak mahu masukkan ilmu Sains dan Matermatik dalam bahasa Melayu, kami pembangkang juga setuju," katanya ketika diminta mengulas penglibatan PAS dalam demonstrasi membantah pelaksanaan PPSMI di ibu negara Sabtu lepas.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demonstrasi itu diadakan kerana kerajaan tidak mempeduli bantahan yang dibuat oleh orang ramai berhubung isu PPSMI.

Hishammuddin pada hari ini pula mengubah iramanya apabila berkata kerajaan tidak pernah mempertikaikan keikhlasan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) yang membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Kita juga ingin perjuangkan dan perkasakan bahasa kebangsaan, (tapi) bila ia dibawa ke tepi jalan, dipolitikkan, itu akan mengeruhkan keadaan," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 di Dewan Rakyat hari ini.

"Saya percaya pihak parti pembangkang selama ini telah mengambil kesempatan dengan menjadikan isu ini (PPSMI) sebagai platform bagi mengelirukan rakyat sekali gus menimbulkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

"Saya sedar bahawa mereka telah mengambil kesempatan terhadap niat ikhlas kumpulan pejuang bahasa ini dan menggunakan peluang yang ada dengan apa cara sekalipun bagi meraih sokongan politik tanpa mempedulikan kesan dan natijahnya kepada keharmonian dan kesejahteraan negara," katanya.

Nik Aziz menegaskan kerajaan sebenarnya tidak memahami dengan kehendak pejuang bahasa yang mahu bahasa Melayu diutamakan sehingga sanggup menuduh GMP diperalatkan pembangkang.

Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad semalam telah menafikan bahawa mereka didalangi pihak tertentu termasuk pembangkang dalam isu bantahan itu.

Kenyataan Hishamuddin yang menyatakan GMP telah diperalatkan oleh pembangkang membuktikan beliau cuba menyembunyikan kelemahan dan sikap beku dan angkuh Kementerian Pelajaran di dalam isu PPSMI sekalipun telah ditegur oleh Perdana Menteri yang mahu isu itu diselesaikan segera.



Tiada ulasan: