11 Mac 2009

Selangor Negeri Pertama Isytihar Asset Secara Online

Kerajaan Selangor akan menjadi negeri pertama yang akan melakukan perisytiharan aset Menteri Besar dan para exconya secara talian di dalam laman web rasmi kerajaan negeri beberapa hari lagi.

Langkah tersebut sebagai menyahut titah Sultan Selangor sewaktu merasmikan sidang penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, baginda bertitah pengisytiharan aset tersebut dibuat bagi melaksanakan dasar pentadbiran baik yang dipromosikan dalam konsep kompeten, kebertanggungjawaban dan ketelusan.

Kerajaan negeri Selangor pimpinan bekas Menteri Besar dan anggota Exconya tidak mengisytiharkan aset masing-masing.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pihaknya tidak menemui apa-apa perisytiharan harta dibuat oleh bekas Menter Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan barisan Excony.

Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bertitah, “Pada masa hadapan, beta menaruh keyakinan kerajaan negeri akan melaksanakan secepat mungkin pengisytiharan aset semua ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dalam usaha meletakkan Selangor di hadapan daripada aspek pelaksanaan tadbir urus yang baik."

Titah baginda lagi, pengisytiharan aset itu sewajarnya boleh dicapai orang ramai secara dalam talian.

Dalam ucapan hampir dua jam itu, Sultan Selangor turut berharap beberapa isu berbangkit di negeri itu – antaranya penstrukturan semula aset dan bekalan air, pembersihan Sungai Klang, sistem pengangkutan awam, peningkatan jenayah dan pemilikan tanah orang Asli – dapat diselesaikan segera.

Mengulas keselamatan di negeri itu, Sultan Sharafuddin bertitah, jumlah anggota polis perlu ditambah bagi mengimbangi nisbah penduduk di negeri itu.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga disarankan mengkaji penubuhan polis bantuan bagi menyokong usaha membeteras jenayah oleh polis yang menurut baginda mengalami kekurangan pegawai.

“Di samping itu, beta turut menyarankan skim gaji dan upah polis dikaji semula, seiring dengan pengorbanan dan sumbangan mereka yang berkhidmat untuk negara kita yang dicintai,” titah baginda.

Mengulas mutu alam sekitar di negeri itu, baginda bertitah, sudah sampai masanya kerajaan negeri memikirkan secara serius pembersihan Sungai Klang secara menyeluruh.

“Ini mungkin memakan masa sepuluh hingga 20 tahun, seperti mana pembersihan sungai yang pernah dijalankan di seluruh dunia,” titah tuanku.

Berhubung penstrukturan semula air di negeri itu yang menyaksikan ketegangan terbuka antara kerajaan dengan syarikat konsesi, baginda bertitah:

“Beta faham industri air ini teramat kompleks dan melibatkan banyak analisis kewangan. Oleh itu, beta berharap harga yang ditawarkan oleh kerajaan kepada syarikat-syarikat konsesi air berpatutan dan sesuai bagi memudahkan rundingan.”

Sultan Sharafuddin juga menyeru semua pihak menghormati sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tubuh kerajaan Selangor dan undang-undang negara dengan tidak menafsirkannya sesuka hati.

“Kita perlu sentiasa mengangkat martabat Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tubuh kerajaan Selangor dan undang-undang negara ke tahap tertinggi mengatasi segala kepentingan peribadi dan politik masing-masing,” titah baginda.

Sidang DUN akan berlangsung selama seminggu sehingga 17 Mac ini.


Tiada ulasan: